Kebebasan bersuara bukan hak sebarkan kesesatan

 

KEBEBASAN bersuara tidak diberikan secara mutlak untuk mengatakan apa-apa sahaja tanpa batasan, sebaliknya wujud sempadan moral, agama, undang-undang dan adat tatasusila supaya tidak merosakkan manusia serta meruntuhkan peradaban.

Oleh itu, masyarakat perlu disedarkan terhadap bahaya pemikiran liberalisme yang memberi kebebasan kepada manusia melakukan apa sahaja tanpa sekatan agama dan nilai murni.

Ini termasuk menghalalkan sesuatu yang jelas haram dalam Islam, menyamaratakan semua agama dan menolak autoriti agama.

Pengarah Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban Raja Zarith Sofiah (RZS-CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Khalif Muammar A Harris, berkata kebebasan bersuara juga tidak boleh digunakan sebagai hak menyebarkan kesesatan.

Khalif Muammar mengingatkan maksud dan tujuan kebebasan bersuara perlu jelas kerana ia tidak boleh difahami secara liberal di negara yang Islam ialah agama negara dan akidah seseorang boleh terjejas dengan berpegang kepada doktrin liberalisme.

“Kebebasan bersuara tidak boleh digunakan sebagai hak untuk menyebarkan kesesatan kerana sesuatu yang sesat dan haram adalah perkara batil.

“Ini kerana hak bermakna benar, sekali gus menyebabkan kebebasan menyebarkan kesesatan bukan hak.

“Semua ini perlu dipatuhi, barulah kebebasan itu bermakna. Jika tidak, ia menjadi kebebasan yang merosakkan,” katanya kepada Ibrah BH di Kuala Lumpur.

Khalif Muammar menegaskan konteks Barat yang mengamalkan dasar sekular tidak boleh diguna pakai di negara ini yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.

Beliau berkata, Islam juga tidak boleh ditafsirkan sewenang-wenang oleh individu yang tidak berautoriti, sebaliknya perlu merujuk mufti dan ilmuwan tempatan.

Ini kerana tidak semua pandangan luar sesuai di negara ini, apatah fahaman liberalisme yang difatwakan sesat sama ada di negeri mahupun persekutuan.

Menurut Khalif Muammar, pengaruh liberalisme bukan perkara baharu melihat kepada sejarah dan latar belakang gerakan itu sejak abad ke-19 dan awal abad ke-20.

Wujud golongan modenis yang membawa agenda reformasi Islam dengan membawa idea Barat dan merombak ajaran Islam.

Pada masa itu, majoriti umat Islam masih dalam era penjajahan dan kebiasaan golongan terjajah berasa rendah diri hingga meniru penjajah. Meskipun negara umat Islam bebas daripada penjajahan, masih ada yang akal fikirannya terjajah.

Mereka hanya mahu berfikir dengan kerangka pemikiran penjajah yang memiliki pandangan alam dan agama serta nilai berbeza.

“Golongan liberal mahu cara berfikir dan hidup mereka diwariskan serta disebarkan kepada generasi muda tanpa mengetahui mereka sebenarnya bukan sahaja keliru, bahkan menganggap berada di pihak benar.

“Mereka tidak membaca karya ulama dan ilmuwan Islam tetapi membaca karya golongan modenis serta liberal.

“Malah, mereka menuduh ilmuwan Islam sebagai jumud dan keras kerana tidak mahu mengubah ajaran Islam untuk disesuaikan dengan kemodenan Barat,” katanya.

Tidak hairanlah, umat Islam yang berpegang teguh kepada Islam, mengharamkan homoseksual, pluralisme agama, lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT), arak serta zina dianggap ketinggalan zaman dan mundur.

Sebenarnya, golongan itu sudah hilang keyakinan terhadap Islam, lebih parah lagi, mereka mahu memaksa Islam tunduk kepada idea liberal.

 

 

Khalif Muammar menjelaskan, terdapat beberapa kategori golongan liberal, iaitu kelompok keliru kerana jahil dan keliru pada tahap teruk disebabkan keras kepala.

Menurutnya, kelompok pertama mudah ditangani apabila mereka masih boleh diberitahu dan dididik, tetapi kategori kedua agak susah kerana tidak akan mendengar apapun hujah dikemukakan dan tidak menghormati autoriti, sebaliknya hanya mahu mendengar apa yang ingin didengar.

“Kategori pertama ini, kita perlu mengambil pendekatan menegur dan mendidik dengan lembut kerana mereka masih boleh diubah melalui didikan.

“Golongan kedua pula, bukan hanya keliru tetapi berusaha keras mengelirukan orang lain. Oleh itu, tiada jalan lain kecuali mengambil tindakan tegas melalui penguatkuasaan undang-undang,” katanya.

Beliau berkata, Perlembagaan meletakkan Islam di bawah kuasa raja-raja, maka fatwa negeri serta persekutuan dikeluarkan mufti mengikat hingga kerajaan boleh menggunakan fatwanya sebagai dasar polisi.

Bagaimanapun katanya, penerangan berterusan kerajaan, badan berkanun dan majlis agama Islam negeri mesti dilakukan dengan lebih baik kerana cabaran liberalisme semakin hebat.

Ilmuwan, agamawan, mufti dan pendidik perlu memahami cabaran fahaman liberal untuk menghalangnya daripada merebak bukan sahaja peringkat sekolah dan universiti, bahkan madrasah dan pondok.

“Apa juga cubaan menyebarkan faham liberal perlu diberi perhatian serius, tidak sepatutnya berlaku dan tidak boleh dibiarkan.

“Jika dibiarkan, akan muncul lebih ramai yang bertindak lebih berani, sekali gus jelas menimbulkan keresahan awam dan ketidakharmonian masyarakat,” katanya.

Wujudkan ruang, peluang berfikir secara benar dan ilmiah

Fahaman bercanggah dengan Islam seperti relativisme, liberalisme dan atheisme perlu dibendung dengan mewujudkan ruang serta peluang berfikir yang benar kepada generasi muda Islam sejak awal.

Ini kerana ketiadaan ruang dan peluang berfikir secara lebih terbuka tetapi ilmiah menyebabkan Islam kadang-kala dilihat sebagai agama tidak menggalakkan penggunaan akal, logik dan rasional.

Penolong Profesor di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC), Dr Amran Muhammad, berkata Islam yang diajarkan kepada generasi muda kini sepatutnya membawa mereka berfikir dengan lebih logikal dan rasional mengenai agama.

Beliau berkata, dengan cara itu mereka mengetahui dengan lebih mendalam mengenai pelbagai cabaran dan pengaruh pemikiran yang melanda umat ketika ini.

Generasi muda yang terdedah dengan pelbagai bentuk pemikiran baharu ketika ini beranggapan Islam agama kaku atau jumud.

“Apabila tidak boleh berfikir dengan betul dan tepat, maka terjadi dua ekstrim, iaitu satu pihak beranggapan Islam menolak langsung peranan akal dan logik hingga berpendapat tiada rasionaliti dalam Islam.

“Di sebelah pihak yang satu lagi, mula berfikir tetapi disebabkan tanpa panduan awal kaedah pemikiran Islam, mereka mengambil pemikiran ekstrim seperti skeptik, sinikal dan liberal,” katanya.

Beliau berkata, ilmu kalam ingin membawa umat Islam berfikir mengenai agama untuk mendalaminya dengan berbincang dan berbahas berkaitan perkembangan, kesan serta cabaran pemikiran semasa.

Menurut Amran, jika tidak ada ruang dan peluang untuk berfikir secara sihat, itulah yang sering membawa kepada pemikiran yang silap dan bertentangan dengan Islam.

Tegasnya, peranan akal penting dalam Islam tetapi daya pemikiran itu perlu dipandu wahyu dan asas pemikiran Islam setiap masa kerana manusia tidak boleh sekadar menggunakan logik atau rasionaliti semata-mata.

“Sebaliknya, sangat perlu digabung jalin akal dan wahyu bagi memelihara keutuhan pemikiran Islam yang akhirnya merujuk kepada kebenaran wahyu,” katanya.

Amran berkata, masyarakat Malaysia sudah memasuki zaman pascamoden yang menyaksikan kemunculan kecelaruan pemikiran seperti kaedah politik pasca kebenaran hingga umat Islam lebih keliru untuk memperoleh jalan keluar.

Beliau berkata, sekiranya golongan agama menolak perbincangan dan sekadar menetapkan hukum-hakam, golongan muda tidak akan menerimanya, lalu lebih tertarik kepada fahaman relatif, skeptik serta liberal.

“Jika artikulasi Islam sekadar bersifat hukum-hakam dan tidak mengizinkan umat berfikir, membuatkan mereka akhirnya berputus asa dan mencari identiti sendiri.

“Islam perlu disampaikan dengan lebih logikal dan rasional, selain dari terus mengajak, iaitu dengan menggalakkan umat berfikir menerusi dialog serta interaksi,” katanya.

Beliau berkata, peluang dan ruang untuk bertanya serta berbincang membolehkan masyarakat khususnya generasi muda menilai secara ilmiah berbanding pendekatan seperti berceramah yang hanya menyampaikan secara satu hala.

Apabila Islam hanya menghukum tanpa hujah, ia ibarat propaganda. Akhirnya, golongan itu beralih kepada kelompok yang dianggap lebih sesuai untuk mencari pemikiran baharu.

Amran berkata, sebenarnya ramai ilmuwan, pakar dan golongan agama sendiri yang boleh membantu mengatasi kecenderungan generasi muda terhadap fahaman relativisme, liberal serta skeptik.

Malah, media juga mempunyai pengaruh yang besar dan wajar memainkan peranan untuk memberi ruang, peluang serta penjelasan berkaitan cara melihat agama dari sudut penggunaan akal benar lagi tepat.

Menurut beliau, skop perbincangan ilmu agama tidak sepatutnya dihadkan kepada aspek hukum-hakam fiqh dan kesahihan hadis sahaja kerana banyak bidang yang boleh menggalakkan masyarakat untuk berfikir.

Antaranya, isu alam sekitar, sains dan teknologi serta cabaran relativisme pascamoden dalam dimensi politik, ekonomi, sosial dan etika. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts