Kedah benar kehadiran jemaah separuh ruang solat

Alor Setar: Kedah membenarkan solat fardu dengan kehadiran jemaah separuh ruang solat masjid dengan syarat lengkap divaksin berkuat kuasa hari ini.

Pengarah Jabatan hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK) Mohd Yusri Md Daud berkata, keputusan dibuat selepas mengambil kira kadar vaksinasi penduduk Kedah melebihi 60 peratus selain kes Covid-19 di Kedah juga sudah menurun di bawah paras 1,000 kes serta kadar penggunaan katil pesakit Covid-19 di hospital menurun kepada 60 peratus.

“Bagi solat Jumaat kita turut membenarkan kehadiran jemaah separuh ruang solat masjid iaitu tidak kurang daripada 50 jemaah termasuk pegawai dan jawatan kuasa masjid.

“Pengurusan masjid dibenarkan menyediakan ruang solat terbuka khusus kepada musafir.

“Wirid, doa dan solat sunat dibenarkan dengan masa yang singkat dan hendaklah segera beredar selepas menyempurnakannya. Bagaimanapun amalan beriktikaf selepas solat di masjid dan berkumpul selepas solat tidak dibenarkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari semalam

Mohd Yusri berkata, program keagamaan seperti kuliah selepas Maghrib hingga Isyak, kuliah Subuh, bacaan Yassin malam Jumaat dan tazkirah sebelum solat Jumaat dibenarkan tidak melebihi satu jam.

Katanya, penyampai kuliah hendaklah sudah lengkap divaksin dengan kapasiti jemaah mengikut ketetapan had solat fardu dan Jumaat.

“Penyampai kuliah dari luar lokaliti yang perlu rentas daerah dan negeri tidak dibenarkan, semua aktiviti solat dan kuliah mestilah dengan jarak fizikal satu meter dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Menunaikan solat di luar lokaliti atau kariah serta aktiviti kemasyarakatan seperti program khas, jamuan, kenduri, gotong-royong, aktiviti menyediakan makanan iaitu memasak di kawasan masjid juga tidak dibenarkan,” katanya.

Mohd Yusri berkata, solat jenazah bukan Covid-19 pula dibenarkan manakala pengurusan pengebumian, talkin dan doa dibenarkan tidak melebihi 20 orang terdiri daripada pegawai dan jawatan kuasa masjid, petugas dan ahli keluarga si mati saja.

“Amalan ziarah kubur dibenarkan dengan SOP yang ketat tidak melebihi lima orang bagi satu kubur tertakluk kepada ketetapan dibuat oleh pihak pengurusan kubur dan jawatan kuasa masjid.

“Mana-mana masjid atau surau yang melanggar dan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan, boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa dan kebenaran melaksanakan aktiviti keagamaan boleh ditarik balik serta-merta,” katanya.

Beliau berkata. jemaah atau ahli kariah yang hadir solat berjemaah di masjid dan surau wajib jujur dengan kondisi diri masing-masing iaitu memastikan tidak bergejala, bukan kontak rapat kes positif Covid-19 dan bukan dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) atau lokasi berisiko tinggi penularan wabak berkenaan. -My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts
Read More

Gaza mula bermandi api

  GAZA – Beberapa jam selepas Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas) menggesa dilancarkan intifada terbaharu menentang rejim Zionis,…