Kelantan lancar Ops Ramadan, beri kunseling wanita tak tutup aurat

 

KOTA BHARU, Khamis – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) dilaporkan mengeluarkan amaran dan kaunseling kepada wanita yang tidak menutup aurat.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah JAHEIK, Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, setakat ini seramai 24 wanita telah diberi amaran manakala tujuh lagi dikaunseling berikutan mendedahkan aurat.

“Kami hanya memberikan kaunseling serta amaran kepada mereka kerana tujuan kami adalah untuk mendidik masyarakat supaya menghormati bulan Ramadan,” katanya.

Sebelum ini JAHEIK memaklumkan pihaknya melancarkan kempen ‘Ops Ramadan dan Aurat’ yang beroperasi pada jam 11 pagi sehingga 5 petang serta akan bertindak pada waktu malam jika mendapat sebarang maklumat.

Sementara itu, pengarah JAHEIK, Datuk Che Mohd Rahim Jusoh, berkata operasi itu diadakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat di negeri ini mengenai kewajipan menutup aurat mengikut syariat Islam.

“Untuk permulaan Ramadan, fasa pertama bagi operasi cegah aurat serta perbuatan tidak sopan adalah peringkat didikan serta nasihat manakala untuk operasi puasa, kita lebih ke arah fasa penguatkuasaan,” katanya.

Katanya, mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah Negeri Kelantan berkaitan Seksyen 5 (1) iaitu perbuatan tidak sopan yang membawa hukuman denda RM1,000 atau penjara enam bulan manakala bagi Seksyen 26 iaitu tidak berpuasa di bulan Ramadan akan dikenakan denda RM500 serta penjara tiga bulan atau RM1,000.

“Seramai 89 anggota di seluruh negeri ini akan dikerahkan dan kita mendapat kerjasama daripada Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) serta pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam memastikan operasi ini berjalan lancar,” katanya.

Sumber: http://www.ismaweb.net/2016/06/kelantan-lancar-ops-ramadan-beri-kunseling-wanita-tak-tutup-aurat/

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts