Kelebihan mengingati mati

Di dalam siri yang lalu, kita telah membahaskan hakikat kematian dan kesan mengingati mati kerana ia mampu memutuskan keinginan nafsu dan syahwat terhadap kelazatan dunia yang sementara.

Perbahasan tentang kematian pada kali ini pula membantu kita melihat dunia dari sudut pandang akhirat. Terdapat tafsiran yang dibawa oleh al-Qurtubi pada ayat ke-77 daripada surah al-Qasas.

وَٱبْتَغِ فِيمَآ ءَاتَىٰكَ ٱللَّهُ ٱلدَّارَ ٱلْآخِرَةَ ۖ وَلَا تَنسَ نَصِيبَكَ مِنَ ٱلدُّنْيَا 

Maksudnya: “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi.”

Kebiasaan manusia akan memahami ayat ini dengan menyimpulkan: “Kejarlah akhirat tetapi jangan lupa dunia dengan segala hak dan tanggungjawab.”

Namun ia tidak salah kerana sebahagian ulama’ juga ada yang berpandangan sedemikian.

Ada pula yang mentafsirkan ayat:

ولا تنس نصيبك من الدنيا

“Jangan kamu lupa bahawa kamu akan meninggalkan segala hartamu di dunia melainkan bahagian yang kamu dapat hanyalah kain kafan.”

Al-Qurtubi mengatakan bahawa tafsiran ini merupakan tafsiran yang sangat baik.

Benar. Itulah hakikat jika kita merenung dunia daripada pandangan akhirat, kita juga akan mengatakan perkara yang sama.

Cari dan kejarlah apa pun yang kita mahukan di dunia ini, namun harta dunia yang akan kekal tidak lain dan tidak bukan hanyalah kain kafan semata-mata.

Kelebihan Mengingati Mati

Terdapat beberapa kelebihan yang bakal diperolehi oleh sesorang yang mengingati mati.

Ad-Daqqaq berkata:
“Barangsiapa yang banyak ingat kepada mati akan dimuliakan dengan tiga perkara iaitu:
1. Bersegera bertaubat kepada Allah s.w.t.
2. Rasa cukup dengan dunia (qana’ah).
3. Rajin melakukan ibadah.

Manakala orang yang lupa pada kematian akan mendapat tiga perkara:
1. Suka menangguhkan taubat.
2. Hati tidak merasa cukup dengan dunia.
3. Malas melakukan ibadah.

Setiap dosa yang dilakukan hendaklah bertaubat dengan taubat yang bersungguh-sungguh kepada Allah. Jika dosa atau kesalahan melibatkan manusia pula maka hendaklah mengembalikan semula hak kepada mereka sebelum bertaubat kepada Allah.

Adapun sifat qana’ah yang disebutkan di atas, terdapat hadis Nabi s.a.w yang membenarkan perkara ini:

من كانتِ الآخرةُ هَمَّهُ جعلَ اللَّهُ غناهُ في قلبِهِ وجمعَ لَه شملَهُ وأتتهُ الدُّنيا وَهيَ راغمةٌ، ومن كانتِ الدُّنيا همَّهُ جعلَ اللَّهُ فقرَهُ بينَ عينيهِ وفرَّقَ عليهِ شملَهُ ، ولم يأتِهِ منَ الدُّنيا إلَّا ما قُدِّرَ لَهُ

Maksudnya: Barangsiapa yang menjadikan akhirat sebagai tujuannya, Allah akan memberikan rasa cukup ke dalam hatinya (qana’ah), dimudahkan segala urusannya yang banyak dan dunia akan datang kepadanya dalam keadaan terpaksa manakala siapa yang mejadikan dunia sebagai tujuannya, Allah akan menjadikannya merasa sempit, disukarkan urusannya dan dunia tidak datang kepadanya melainkan apa yang telah ditetapkan.”
(HR At-Tirmidzi – Sahih)

Kerajinan dalam ibadah pula merupakan kayu ukur yang paling jelas bagi seseorang individu dalam menilai sejauh mana dia mengingati mati bahkan sifat malas dalam ibadah hampir kepada sifat munafik. Allah s.w.t berfirman:

إِنَّ ٱلۡمُنَٰفِقِينَ يُخَٰدِعُونَ ٱللَّهَ وَهُوَ خَٰدِعُهُمۡ وَإِذَا قَامُوٓاْ إِلَى ٱلصَّلَوٰةِ قَامُواْ كُسَالَىٰ يُرَآءُونَ ٱلنَّاسَ وَلَا يَذۡكُرُونَ ٱللَّهَ إِلَّا قَلِيلٗا

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).”
(An-Nisa’:142)

Rawatan Buat Hati yang Keras

Imam al-Qurtubi membawa pandangan gurunya bahawa mengingati mati sangat bermanfaat untuk hati terutamanya hati yang keras. Terdapat empat perkara yang boleh merawat kekerasan hati:

1. Hadir ke majlis ilmu.
Majlis ilmu itu mestilah yang mengandungi nasihat, peringatan, menggalakkan amal kebaikan serta kisah-kisah orang yang soleh.

2. Banyak mengingati mati.
Seorang wanita yang datang bertemu dengan Aisyah r.anha mengadu bahawa hatinya keras. Lalu beliau menasihatinya agar banyak mengingati mati. Setelah wanita itu melakukannya, hatinya menjadi lembut lalu dia datang bertemu sekali lagi dan berterima kasih kepada Aisyah.
(Risalah Dzam Qaswah al-Qulub, m/s 27-28 oleh Ibnu Rejab al-Hanbali)

3. Melihat orang yang sedang nazak.
(Lihat semula artikel sebelum ini tentang kesan mengingati mati pada kisah al-Hasan al-Basri)

4. Menziarahi kubur.
Diriwayatkan di dalam sebuah hadis Nabi s.a.w:

“Nabi s.a.w menziarahi kubur ibunya lalu baginda menangis dan orang sekelilingnya turut menangis lantas baginda bersabda: “Aku meminta izin kepada Tuhanku agar dapat meminta ampun untuknya (ibu) akan tetapi Dia tidak mengizinkannya. Lalu aku meminta izin untuk menziarahi kuburnya lantas Dia mengizinkannya. Maka kalian ziarahlah kubur, kerana ia membuatkan kalian ingat kepada mati.”
(HR Muslim)

Di dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w bersabda:

“Dahulu aku melarang kalian menziarahi kubur, maka sekarang ziarahlah kubur kerana ia mampu membuatkan kalian bersikap zuhud terhadap dunia dan mengingatkan kalian pada hari akhirat.”
(HR Ibnu Majah – Dhaif)

Berdasarkan hadis-hadis di atas, dapat kita ketahui bahawa tujuan utama menziarahi kubur adalah untuk mengingati mati dan hari akhirat.

Ulama’ menyebutkan bahawa perkara yang ketiga dan keempat lebih kuat daripada yang pertama dan kedua kerana menghadiri majlis ilmu hanya mendengar melalui telinga manakala mengingati mati hanya memberitahu hati, di mana kedua-duanya adalah bersifat berita atau khabar. Sedangkan melihat orang yang sedang nazak dan menziarahi kubur lebih kuat kerana kita melihat sendiri peristiwa tersebut dan dapat mengambil pengajaran.

Jika dikiaskan dengan contoh yang mudah seperti kedahsyatan kemalangan atau bencana, sudah tentu tidak sama kesan dahsyat pada hati seseorang yang melihat di hadapan mata dengan kesan dahsyat orang yang hanya mendengar.

In sya Allah pada siri yang akan datang, saya akan bawakan perbincangan mengenai hukum seseorang meminta mati adakah dibolehkan ataupun tidak.

Moga Allah merahmati dan melembutkan hati kita semua.

Ustaz Luqman Afifi bin Sabri
Sarjana Muda Syariah, Universiti Yarmouk Jordan

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts
Read More

Indahnya Islam

Indahnya Islam – Sebuah platform bagi mengajak masyarakat untuk bersama merasai keindahan Islam melalui pengamalan Islam secara menyeluruh…