Kembali cari fitrah sebagai pemuda Islam

Seremban: Selepas lebih 10 tahun hidup terumbang-ambing tanpa panduan, seorang pemuda akhirnya kembali ke fitrah agamanya.

Meskipun pada kad pengenalannya tertera beragama Islam, lelaki itu tidak pernah mengamalkan ajaran agama itu, malah gaya hidupnya seperti orang bukan Islam dengan meminum arak dan makan makanan haram.

Semuanya bermula ketika dia berusia 12 tahun selepas ibu bapanya yang juga mualaf meninggal dunia sebelum membawa diri ke ibu kota lalu diambil sebagai anak angkat oleh pasangan berbangsa Tionghua.

Eddy, 27, berkata arwah bapanya berbangsa Cina manakala ibunya yang berasal dari Thailand beragama Kristian sebelum mereka memeluk agama Islam.

“Saya anak tunggal dan kami tinggal di Kelantan. Ketika berusia enam tahun, bapa meninggal dunia akibat dihempap pokok.

“Manakala ibu meninggal dunia ketika saya berusia 12 tahun menyebabkan saya hilang punca kerana tiada ahli keluarga lain,” katanya.

Tidak tahu ke mana tempat mahu dituju, Eddy kemudian membawa diri ke Kuala Lumpur dengan menyorok di ruang simpanan beg dalam sebuah bas.

Menurutnya, ketika berada di Kuala Lumpur, dia hidup bergelandangan di Hentian Putra selama seminggu sebelum dipelawa pasangan suami isteri berbangsa Cina untuk tinggal bersama.

“Saya bersyukur kerana mereka menyelamatkan saya, jika tidak saya tak tahu apa yang akan terjadi kepada saya sekarang.

“Cuma, hidup saya tersasar kerana tidak diajar mengenai Islam. Saya makan babi, minum arak dan berjudi, hidup sama seperti keluarga angkat,” katanya yang tidak pernah menyalahkan keluarga angkatnya itu.

Dia ditemui selepas berkongsi permasalahannya dengan Ahli Jawatankuasa Masjid Kariah Arraudah Taman Rasa Sayang, di sini, hari ini.

Menurutnya, dia memahami keadaan keluarga angkatnya ketika itu yang tiada pengetahuan mengenai Islam dan hidup dalam kesusahan.

Katanya, dia tidak berpeluang meneruskan persekolahan dan terpaksa bekerja mengambil upah mencuci pinggan dengan upah RM5 sehari.

“Hidup saya sangat susah waktu itu. Tapi setidak-tidaknya ada tempat saya menumpang kasih walaupun saya tercicir dalam agama Islam.

“Tahun lalu, saya nekad berhijrah ke Seremban untuk mencari semula agama Islam yang lama ditinggalkan, namun jalan bukan mudah kerana ada yang memandang sinis apabila saya meminta izin untuk masuk ke masjid,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur apabila akhirnya berjumpa dengan orang betul dan pada Ahad lalu kali pertama selepas usia 12 tahun, dibenarkan masuk ke masjid.

Katanya, keluarga angkatnya tahu ‘pencarian’ dan usahanya untuk kembali mendalami Islam dan mereka menyokong. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts