Kembalikan semula gemilang al-Quran

 

BANGI – World #QuranHour yang akan dilaksanakan serentak seluruh dunia pada 9 Zulhijah 1438H, adalah platform terbaik dalam usaha mengembalikan kegemilangan al-Quran sama seperti zaman Rasulullah SAW.

Timbalan Pengerusi Majlis Dakwah Negara, Profesor Datuk Zakaria Stapa berkata, senario kini memperlihatkan masyarakat Islam masih jauh daripada al-Quran.

“Masyarakat kita masih jauh dengan al-Quran. Ini kerana kegiatan seharian mereka bukan tertumpu pada bacaan al-Quran semata-mata.

“Mereka juga tidak berasakan apa-apa walaupun tidak membaca al-Quran dalam sehari, tetapi berasa janggal jika tidak membaca surat khabar, (barangkali),” katanya pada sesi temubual, semalam.

Seperti tahun lalu, program World #QuranHour sekali lagi akan berlangsung di Masjid Sultan Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Program itu akan diadakan serentak di seluruh negara bermula jam 11.30 pagi.

Zakaria yang juga Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim, Institut Islam Hadhari (Hadhari), Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, al-Quran bukan sekadar dibaca, tetapi bertadabbur, hayati, fahami dan amalkan dalam kehidupan harian.

“Tetapi mengapa dikatakan manusia itu tidak sempat nak membaca al-Quran, ini kerana banyak masa dan tenaga mereka dihabiskan pada kebendaan dan kuasa. Hidup dan mati untuk kebendaan. Jika tiada kebendaan, akan menjadi satu masalah.

“Kebendaan dalam hidup masyarakat sudah menjadi begitu diperlukan. Sehinggakan hantar anak masuk universiti satu kebendaan bukan kerana ilmu, tetapi apa yang ada di sebalik sijil berkenaan,” katanya.

Menurut  Zakaria lagi, ramai dalam kalangan masyarakat terpisah daripada matlamat sebenar dan tidak berinteraksi dengan al-Quran atas desakan kebendaan. Ini kerana tradisi masyarakat yang membaca al-Quran tanpa memahaminya.

“Kejayaan sebenarnya ada pada orang yang kembali kepada ALLAH SWT, dan kemusnahan akan ada pada orang yang jauh daripada ALLAH SWT,” katanya.

Menurutnya, untuk menanam rasa cinta terhadap al-Quran, ia perlu bermula daripada keluarga di samping mewujudkan ruang untuk membaca al-Quran.

“Tidak akan sesat hamba-NYA jika kita berpegang kepada dua perkara, al-Quran dan sunnah. Mereka yang sesat itu kerana tidak menjadikan al-Quran dan sunnah Rasul sebagai ajaran hidup,” katanya.

Sebagai panel pakar akidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zakaria  berkata, walaupun program tersebut memperuntukkan satu jam mengalunkan bacaan al-Quran, ia adalah platform terbaik untuk berinteraksi dengan al-Quran.

Sesuai dengan temanya, ‘Bangsa Berbudi dan Penyayang’,  katanya lagi, Islam itu sendiri menggambarkan cara hidup masyarakat, berbudi dan penyayang itu juga adalah  akhlak yang mulia di dalam Islam.

“Islam itu hadir untuk membentuk akhlak yang mulia. Apabila ditanya kepada isteri Baginda, Aisyah RA, bagaimana akhlak Baginda, jawabnya, akhlak Rasulullah SAW adalah al-Quran itu sendiri.

“Rasulullah SAW dalam setiap perbuatannya juga menghidupkan apa yang tercatat di dalam al-Quran,” katanya.

Tambahnya lagi, al-Quran adalah asas kepada Islam dan Islam merupakan agama yang menegakkan akhlak yang mulia. Nama-nama ALLAH juga merujuk kepada nilai-nilai berbudi dan penyayang.

“Walaupun, ada manusia yang ingkar akan perintah-NYA, tetapi ALLAH SWT masih terus memberikan mereka rezeki. Ini menggambarkan betapa ALLAH SWT, Maha Penyayang dan tiada keraguan,” katanya yang menganggap pemilihan tema amat bertepatan dengan  kandungan al-Quran.

Program baik, tidak bertentangan dengan Islam

Sementara itu, #QuranHour turut bergema pada malam sambutan kemerdekaan negara iaitu Merdeka #QuranHour yang akan berlangsung 31 Ogos ini di Dataran Merdeka bermula jam 8.30 malam.

Zakaria menegaskan, al-Quran dapat mencegah berlakunya kemungkaran.

Katanya, sambutan kemerdekaan biasanya disulami program hiburan sehingga melalaikan dan manusia lupa diri.

“Cintakan tanah air dan kemerdekaan  adalah sebahagian daripada iman. Kalau kita tidak merdeka bagaimana hendak melaksanakan perintah ALLAH SWT yang terkandung dalam al-Quran?

“Kerana itu, kita perlu sayang kepada negara dan kemerdekaan yang dikecapi hari ini. Ia adalah hasil kecemerlangan hidup di dunia dan ia juga asas kecemerla-ngan hidup di akhirat,” katanya.

Kempen juga adalah ‘bidaah hasanah’ yang dibolehkan dan tidak bertentangan dengan Islam.

Zakaria berkata, program itu sememangnya baik kerana ia antara usaha mendekatkan umat Islam dengan al-Quran.

“Ada pihak yang mendakwa program ini berbentuk bidaah iaitu perkara yang tak dilakukan pada zaman Rasulullah, tapi kita harus lihat perkara ini dari skop yang lebih luas. Dahulu tak ada program sebegini sebab aktiviti orang terdahulu semuanya berkaitan al-Quran.

“Sekarang, kegiatan harian kita tidak tertumpu pada bacaan al-Quran dan masyarakat kita agak jauh dengan al-Quran. Program ini sangat bagus, bawa umat Islam berinteraksi dengan al-Quran dan ia adalah bidaah hasanah iaitu bidaah yang baik,” katanya. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts