Kemunafikan dan pengkhianatan yang dipaksa

corporate

 

Pada permulaan, sebagai manusia yang biasa dan tiada keterikatan, kita akan memandang segala perbuatan buruk, penipuan, kezaliman, dan pengkhianatan adalah perkara yang buruk dan bertentangan dengan fitrah manusia yang cintakan kedamaian, kesopanan dan kasih sayang.

Namun apabila kita meningkat dewasa dan makin mengenali dunia, banyak keputusan dalam hidup kita tidak semudah yang kita fahami ketika kita masih ‘innocent’ dan setahun jagung.

Apa yang berlaku dalam negara hari ini boleh kita lihat sebahagian daripada fenomena ini.

Kita sebagai rakyat biasa secara tabienya memandang apa yang dilakukan oleh pimpinan negara merungkai kedaulatan, mengabaikan hak rakyat marhaen dalam pengurusan negara, dan menggadai masa depan negara.

Namun kita juga harus fahami bahawa apa yang dilakukan bukanlah sekelip mata, dan apatah lagi ia tidak berlaku secara serta merta.

Ia adalah godaan syaitan yang membisikkan, bermula dengan cintakan jawatan, mengumpul harta, hinggalah dengan mempertahankan kerusi walau satu negara menjadi korbannya.

Kebanyakan politikus terperangkap dalam permainan ini. Pada mulanya mereka berniat baik (mungkin) dalam mengambil tugas memikul tanggungjawab umat, namun tanpa sedar bisikan syaitan mula membarah dalam jiwa mereka yang mengakibatkan mereka rasuah, khianat, utamakan kroni dan yang sewaktu dengannya hingga akhirnya pertimbangan mereka jadi terbalik.

Pada mulanya syaitan menggoda, apabila dia sudah menjadi barah ia akan memaksa.

Seperti pesakit diabetes sebelum menjadi pesakit biasanya dinasihatkan secara lembut dan acah-acah oleh para doktor untuk kurangkan gula, apabila disahkan menghidap diabetes maka dia akan disarankan dan disuruh untuk kurangkan gula dan kawal pemakanan. Namun apabila sudah dipotong kaki, kesakitan dan penderitaannya akan memaksanya untuk kurangkan gula dan kawal makanannya.

Begitulah kisahnya manusia dengan syaitan. Apabila dia menjadi raja kepada hati kita, dia akan gunakan kuasa dan memaksa.

Syaitan akan memaksa kita untuk menipu, menjadi munafiq, mengkhianati amanah, serta menjual negara sendiri.

Taktik syaitan pada awalnya berupa was-was dan bisikan hati, lama-kelamaan ia akan dibawa hingga ke paksaan realiti dengan menggunakan tentera-tenteranya sendiri, berupa ugutan (blackmail), simpanan-simpanan x-files pihak-pihak tertentu yang mahu mengekalkan kerusinya, nyawa keluarga mereka dan apa-apa yang mereka jadi ‘kecut’ apabila diugut sedemikian rupa.

Ini adalah satu fenomena yang perlu kita tanggapi dalam melihat situasi politik dan negara yang berkecamuk dan bercampur baur antara maslahat dan mafsadah.

Jalan penyelesaian ?

Tiada jalan singkat melainkan memulakan dengan mendidik masyarakat dengan kembali kepada Tuhan, merujuk Al-Quran dan menggunakan neraca Islam dalam melihat satu-satu perkara.

Tiada jalan singkat melainkan dengan melahirkan masyarakat yang punyai jatidiri dan taqwa hingga mampu melawan tipudaya dan paksaan syaitan tadi.

Adapun sekiranya kita hanya melihat permasalahan hanyalah bermula dari puncak, kita hanya akan menggantikan si pengkhianat A dengan si ‘akan jadi pengkhianat’ B.

Fahamilah tipudaya syaitan yang berpengalaman memerangkap Adam AS sejak permulaan insan.

Ia mesti bermula dengan langkah pertama.

Ustaz Ahmad Syamil Md Esa

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts