Kerajaan Johor arah bacaan Qunut Nazilah setiap kali solat fardu

JOHOR BAHRU: Kerajaan Johor mengarahkan bacaan Qunut Nazilah dilaksanakan secara tetap di dalam setiap solat fardu di semua masjid dan surau di negeri ini, bermula semalam.

Pengerusi Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sudah mengeluarkan arahan kepada semua masjid dan surau negeri ini sebagai usaha memohon kepada Allah SWT supaya memberi kemenangan kepada perjuangan rakyat Palestin yang ditindas.

“Akibat kemudaratan dan kesulitan peperangan, khususnya kepada saudara Islam kita iaitu rakyat Palestin, Kerajaan Johor mengarahkan supaya bacaan Qunut Nazilah dilaksanakan secara tetap setiap kali solat fardu di semua masjid dan surau di Johor bermula hari ini.

“Solat sunat hajat juga ditetapkan bagi dilaksanakan oleh masjid dan surau di Johor pada setiap selepas solat fardu Maghrib.

“Semoga usaha ini akan melorongkan pertolongan Allah SWT bagi keamanan yang berpanjangan kepada umat Islam di Palestin,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Angka kematian akibat pengeboman Israel di Semenanjung Gaza dilaporkan meningkat kepada 9,500, dengan lebih separuh daripada mereka wanita dan kanak-kanak, menurut pejabat media kerajaan di Semenanjung Gaza.

Jumlah kematian akibat pencerobohan Israel di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober ialah 9,500, termasuk 3,900 kanak-kanak dan 2,509 wanita.

Serangan rejim Zionis Israel dilaporkan membawa kepada kemusnahan 55 masjid, tiga universiti, tiga gereja dan lima bangunan milik Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama di Gaza.

Kerugian dalam sektor penjagaan kesihatan di Gaza pula membabitkan 16 hospital, 32 pusat penjagaan primer dan 27 ambulans yang rosak, sebagai tambahan kepada 105 institusi perubatan.

13 Oktober lalu, Kerajaan Johor mengarahkan semua masjid dan surau di negeri ini mengadakan solat hajat dan membaca Qunut Nazilah bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan umat Islam di Palestin.

Kerajaan Johor dilaporkan mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis terhadap rakyat dan tanah Palestin. -Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts