Kerajaan sentiasa pantau ajaran tarekat mengelirukan

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan Pihak Berkuasa Agama Negeri sentiasa memantau ajaran tarekat yang didapati mengelirukan dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memelihara kesucian agama Islam di Malaysia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata pada prinsipnya, kerajaan menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tidak merekomendasi mana-mana kumpulan tarekat.

Bagaimanapun, katanya kumpulan tarekat yang didapati bercanggah dengan prinsip akidah dan syariah dalam kerangka Ahli Sunnah Wal Jamaah sahaja yang diputuskan menyeleweng.

“Antara yang pernah diputuskan menyeleweng oleh Muzakarah Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia adalah seperti ajaran al-Arqam, tarekat Naqsyabandiah Kadirun Yahya, tarekat Naqsyabandiah ‘Aliyyah Syeikh Nazim Haqqani, tarekat Samaniah Ibrahim Bonjol dan tarekat Mufarridiyah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul Titah Diraja bagi Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di Dewan Negara.

Ahmad Marzuk menjawab perkara yang dibangkitkan Senator Ir Ts Haji Khairil Nizam Khirudin yang inginkan maklum balas mengenai amalan kumpulan tarekat tertentu yang tersebar di media sosial yang boleh menyebabkan kekeliruan kepada orang awam.

Sehubungan itu, beliau menasihat orang ramai supaya tidak menyebarkan sewenang-wenangnya di media sosial kerana perbuatan tersebut dibimbangi akan menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat awam, di samping membuka ruang fitnah kepada pihak berkenaan.

Katanya, pendakwah dan agamawan disarankan berkongsi dengan masyarakat, hanya amalan-amalan yang telah diterima umum para ulama, memiliki sandaran syarak yang jelas dan tidak menjadi khilaf dalam kalangan mereka.

Mengulas penjelasan JAKIM mengenai aplikasi bagi membantu golongan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender) yang dikatakan mendapat bantahan sesetengah pihak, katanya aplikasi Hijrah Diri yang dibangunkan oleh JAKIM dengan kerjasama Yayasan Ihtimam Malaysia (YIM) merupakan inisiatif bagi membantu golongan LGBT yang telah kembali kepada fitrah.

“Bagaimanapun, aplikasi ini telah digantung dan dikeluarkan daripada Google Play Store setelah mendapat bantahan daripada beberapa pihak atas tuduhan kononnya ia adalah conversion therapy yang tidak beretika dari sudut perubatan.

“Sedangkan aplikasi tersebut adalah berasaskan psikospiritual Islam yang tiada kena mengena dengan kaedah conversion therapy di Barat,” katanya.

Beliau berkata, JAKIM ketika ini masih mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak Google berkenaan justifikasi penarikan aplikasi ini daripada Google Play Store.

Sementara itu, katanya kerajaan sentiasa cakna dan menghargai segala usaha ulama, pendakwah dan imam yang sentiasa memandu rakyat dalam melaksanakan ibadah mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan.

“Bagi menghargai usaha mereka di peringkat kebangsaan, pendakwah, imam dan ulama yang banyak memberi sumbangan kepada masyarakat, mereka sentiasa diberi peluang dicalonkan penganugerahan dengan beberapa kategori dalam Majlis Ma’al Hijrah, sama ada di peringkat kebangsaan atau negeri.

“Anugerah yang diberikan adalah suatu pengiktirafan berprestij kepada orang Islam di atas sumbangan mereka,” katanya menjawab cadangan Senator Dato’ Haji Ahmad Yahaya, supaya kerajaan memberi penghargaan kepada pihak ilmuan agama.

Selain itu, Ahmad Marzuk berkata, penghargaan kepada imam, bilal, guru takmir dan pendakwah turut diberikan sempena Anugerah Masjid Malaysia.

Katanya, antara anugerah penghargaan yang telah dan akan diberikan bagi menghargai jasa mereka ialah Anugerah Tokoh Imam Peringkat Kebangsaan, Anugerah Tokoh Guru Takmir Peringkat Kebangsaan, Bayaran Khas sebanyak RM500 secara `one off’ kepada imam, bilal, siak, noja, marbut, guru takmir dan guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA).

“Kerajaan melalui JAKIM juga memberikan Sijil Eksekutif Imam dan Sijil Eksekutif Muazzin pada tahun 2020 kepada imam dan muazzin yang dilantik daripada kalangan Pegawai Hal Ehwal Islam (PHEI) melalui latihan khusus yang diberikan kepada mereka,” katanya. – HARAKAHDAILY

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts