Kesatuan Melayu Islam adalah rahmah yang menguatkan negara

 

“KEBENCIAN membunuh, (sedangkan) cinta tidak pernah mati, itulah yang membezakan antara keduanya. Apa yang diperoleh cinta, akan selalu abadi. Apa yang diperoleh benci, akan menjadi beban hidup kerana kebencian akan melahirkan lebih banyak kebencian baru.” – Mahatma Gandhi.

Dalam pada dunia masih gamat lewat kejadian pembunuhan beramai-ramai di Christchurch, ramai pula politikus di Malaysia menjadikan tragedi ini sebagai modal dengkul politik.

Di Christchurch, tragedi ini akhirnya menjadi titik penyatuan yang menguatkan lagi sikap toleransi dan kasih sayang di antara penduduk yang berlainan kaum dan agama di New Zealand.

Sebaliknya di Malaysia, amat pelik apabila tragedi ini dimuslihatkan untuk menyemarakkan perpecahan kaum. Tidak hairan ada politikus bukan Melayu-Islam yang dek kerana ketakutan dan kebencian mendalam mereka kepada kesatuan orang Melayu-Islam, mereka terpekik lolong mengatakan kaum majoriti di Malaysia adalah bakal pengganas yang akan merosakkan negara ini.

Mereka ini adalah golongan yang sebab bencikan tikus seekor, habis sibuk rengkiang dibakar; kerana takutkan kuasa kemuafakatan orang Melayu-Islam, sanggup digelar kita yang majlis ini sebagai ganas.

Tetapi sifat kebencian kaum luar kepada orang Melayu-Islam boleh difahami dengan mudah dan diketepi dengan alasan: mereka tidak tahu, mereka tidak faham dan mereka itu jumud.

Namun, apabila yang meracau bagai orang mabuk yang sudah hilang akal adalah saudara sebangsa dan seagama, hairan yang timbul amatlah besar.

Pedih dikhianati bangsa sendiri jauh lebih menyakitkan kerana mereka ini orang yang berdiri sama saf dalam masjid yang sama dan melafazkan kalimah yang sama dengan saudara sebangsa dan seagama.

Mereka adalah darah daging yang sepatutnya menyokong kesatuan yang mengeratkan sesama Melayu-Islam. Amat dikesali apabila mereka pula yang meracun kesatuan ini dengan panggilan yang paling hina untuk orang Islam di alaf ini: pengganas. Sejak bila orang Melayu-Islam erat bersalaman itu dilihat sebagai dosa yang hina?

Siapa yang sebenarnya menyemarakkan keganasan? Orang Melayu-Islam yang terus diam dalam amarah setiap kali agama dan kaum ini dihina dan diperbudakkan atau mereka yang memomokkan orang Melayu-Islam sebagai makhluk kebencian?

Bentuk ketololan apa dalam politik hari ini sehingga benda paling mudah perlu diingatkan? Kebencian, keganasan dan terutama sekali korban nyawa bukan bahan mainan politikus berakal dangkal!

Malahan, permainan ini adalah jerat jenayah di bawah Seksyen 3(1)(e) Akta Hasutan 1948 [Akta 15] yang dengan jelas memperuntukkan: “Sesuatu ‘kecenderungan menghasut’ adalah kecenderungan bagi mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia.”

Meletakkan politik dalam wadah kebencian semata-mata untuk mempraktikkan strategi pecah dan takluk adalah perbuatan jahat yang sepatutnya disiasat sebagai hasutan memporak-peranda pemikiran rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia patut diingatkan bahawa kesatuan Melayu-Islam adalah rahmah yang akan menguatkan lagi negara kerana wujud kasih sayang yang akan memelihara kaum majoriti.

Daripada rasa kasih sayang ini juga akan mencambah rasa memulihara agar negara dapat sama bangkit. Jangan nanti, dek terlalu kerap dimomokkan sebagai pengganas, akhirnya kebencian berjaya disemarakkan.

Kerana semua sedia maklum, apabila fitnah tanpa segan silu ditabur bagi menghidupkan kebencian, yang timbul hanyalah makhluk rekaan yang jelek dengan politikus.

Jangan jadikan rakyat sebagai lurus-lurus sumpitan orang politik yang sanggup menghina kaum sendiri untuk menang kuasa politik.

Fatihah Jamhari
Pengamal undang-undang, Ketua Biro Undang-Undang dan Hak Asasi WAFIQ

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts