Ketika Ramai Leka dengan Telefon Pintar, Orang Melayu di MRT Isi Masa dengan al-Quran

KUALA LUMPUR — Dalam kesibukan pengguna pengangkutan awam yang kebiasaannya leka menatap skrin telefon pintar masing-masing, satu perkongsian di media sosial mencuri perhatian ramai apabila seorang pemuda meluahkan rasa kagumnya melihat penumpang Muslim meluangkan masa membaca al-Quran ketika berada di dalam tren.

Menerusi satu hantaran di aplikasi Threads, pemuda berbangsa India itu berkongsi pengalamannya yang kerap menggunakan perkhidmatan MRT dari Kajang ke KL Sentral. Menurutnya, dia gemar memerhati gelagat penumpang, khususnya mereka yang tidak menggunakan fon telinga sepanjang perjalanan.

“Saya perasan ramai orang Melayu membaca doa dan al-Quran ketika berada dalam tren. Ini sesuatu yang membuatkan saya kagum,” tulisnya.

Beliau turut membandingkan amalan tersebut dengan kebiasaan sebahagian besar penumpang yang menghabiskan masa melayari Internet, termasuk dirinya sendiri.

“Tatkala ramai yang melayari Internet termasuk saya, ada orang yang menghabiskan masa mereka dengan membaca al-Quran,” katanya lagi.

Perkongsian itu menerima pelbagai reaksi positif daripada netizen. Ramai yang menyifatkan pujian berkenaan sebagai satu peringatan dan teguran halus, khususnya kepada umat Islam, agar terus memperkasakan hubungan dengan al-Quran walaupun dalam kesibukan harian.

“Ini satu peringatan yang bagus tentang bagaimana saya boleh luangkan masa dalam tren pada masa akan datang,” kata seorang pengguna media sosial.

Seorang lagi netizen turut mengakui perkongsian tersebut memberi kesan mendalam kepadanya. “Saya dengar Spotify hampir 24 jam. Saya rasa teruk. Perkongsian ini buatkan saya mahu perbaiki diri sebagai seorang Muslim,” tulisnya.

Selain itu, beberapa individu turut mengingatkan bahawa dalam Islam, umatnya disunatkan untuk membaca al-Quran secara konsisten walaupun dalam kuantiti yang kecil.

“Terima kasih atas peringatannya. Dalam Islam, disunatkan membaca al-Quran sekurang-kurangnya sehelai sehari,” tulis beberapa individu lagi.

Menurut pelayar Threads lain, mereka berasa lebih gembira menggunakan pengangkutan awam kerana masa perjalanan yang ada dapat dimanfaatkan untuk perkara berfaedah, khususnya ibadah dan pengisian rohani.

“Ini salah satu sebab kenapa saya memilih untuk menaiki MRT. Saya ada lebih banyak masa untuk membaca al-Quran. Bangun awal pagi, kadangkala tidak sempat mengaji di rumah, jadi kami manfaatkan masa dalam tren untuk mengisi masa,” tulis seorang netizen.

Perkongsian tersebut secara tidak langsung mencerminkan bagaimana amalan keagamaan yang dilakukan secara sederhana di ruang awam mampu memberi inspirasi kepada masyarakat pelbagai latar belakang, di samping menunjukkan bahawa pengangkutan awam bukan sahaja berfungsi sebagai medium pergerakan, malah menjadi ruang untuk pengisian diri dan pembinaan sahsiah.

📲 Join telegram channel untuk lebih info Indahnya Islam: https://t.me/indahnyaislam

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts