Keunikan institusi fatwa sebagai menara rujukan

 

MALAYSIA unik kerana wujud beberapa institusi menaungi Islam sebagai agama Persekutuan seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan. Ia lebih terserlah melalui konsep Raja Berperlembagaan dengan wujudnya institusi Raja Melayu bertanggung jawab terhadap pengurusan hal ehwal Islam.

Ini ditambah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang sekarang dikenali sebagai Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI). Tugasnya adalah untuk menimbang, memutus dan mengeluarkan fatwa terhadap perkara mengenai Islam yang dirujuk oleh Majlis Raja-Raja.

Selepas mesyuarat Jawatankuasa, keputusan dan pandangan hukum diputuskan akan dimaklumkan kepada mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam dipengerusikan Perdana Menteri yang kemudiannya akan mengemukakan bersama dengan pengesyorannya kepada Majlis Raja-Raja untuk dibincangkan Jawatankuasa Fatwa Negeri bagi menentukan fatwa dan pewartaannya di peringkat negeri.

Keistimewaan Malaysia sebagai negara Islam lebih terserlah kerana isu membabitkan kefatwaan terletak di bawah bidang kuasa negeri. Melalui akta, enakmen dan ordinan berkaitan, institusi fatwa di negeri berhak mengeluar dan mewartakan fatwa di negeri masing-masing.

Malaysia juga satu-satunya negara yang mempunyai mufti di setiap negeri berjumlah seramai 14 mufti. Begitu juga hal berkait pewartaan fatwa yang menjadikannya sebagai antara peruntukan dilindungi undang-undang yang tidak terdapat di negara lain.

Jawatankuasa Muzakarah MKI berperanan sebagai medium penyelidikan dan penyelarasan hukum di negara ini, selaras prosedur pengeluaran fatwa di peringkat negeri yang memperuntukkan fatwa hanya boleh dikeluarkan ‘Sahibus Samahah Mufti’ bersama Jawatankuasa Fatwa Negeri melalui peruntukan undang-undang berkaitan fatwa.

Kuasa penyelaras dan penyeragaman terdapat pada Jawatankuasa di peringkat Persekutuan, tetapi tidak menyentuh atau menjejaskan kuasa Raja Pemerintah selaku Ketua Agama Islam Negeri dalam urusan pengeluaran fatwa.

Perkara 16 Peraturan MKI memperuntukkan, tiada apa-apa jua keputusan Majlis (MKI) yang boleh menyentuh kedudukan, hak, kelebihan, kedaulatan dan kuasa yang ada pada Raja Pemerintah sebagai Ketua Agama Islam seperti termaktub dalam Perlembagaan dan Perlembagaan Negeri.

Ini menjelaskan dari sudut amalan, fatwa mempunyai kesan perundangan kerana terdapat statut dan peruntukan undang-undang, sekali gus ia sebahagian undang-undang yang wajib dipatuhi. Jika seseorang melanggar atau memberikan pendapat bercanggah dan bertentangan dengan fatwa diwartakan, ia kesalahan dan boleh dikenakan tindakan.

Undang-undang berkaitan fatwa juga terdapat dalam perundangan di negeri, iaitu membabitkan pelbagai kesalahan berkaitan doktrin palsu, menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama, mencela dan menghina agama Islam, pendapat bertentangan fatwa, kesalahan berkaitan penerbitan agama bertentangan dengan hukum syarak serta kesalahan mengeluarkan fatwa.

Peruntukan undang-undang menjelaskan kedudukan fatwa masa kini dilindungi undang-undang. Justeru, perbuatan melanggar fatwa dianggap tidak mematuhi perintah Raja-Raja Melayu dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. Ia bagi meletakkan kedudukan fatwa sebagai sumber berautoriti dalam pertikaian hukum syarak di negara ini.

Keunikan ini menjadikan institusi agama terutama berkait kefatwaan tetap dihormati dan dianggap badan berautoriti tertinggi dalam menjelaskan hukum kepada masyarakat.

Pandangan hukum itu sama ada dikeluarkan Jawatankuasa Muzakarah MKI atau peringkat negeri, ia tetap menjadi rujukan kerajaan, institusi kehakiman serta perundangan, selain seluruh orang Islam.

Keahlian dalam Jawatankuasa Muzakarah MKI contohnya membabitkan semua mufti negeri dan ahli dilantik Majlis Raja-Raja mewakili pelbagai latar belakang seperti alim ulama, golongan profesional dan pakar serta wakil perkhidmatan kehakiman dan undang-undang.

Begitu juga Jawatankuasa Fatwa di negeri, gabungan ilmuwan pelbagai bidang. Penguasaan ilmu ikhtisas diadun dan dijalin bagi membincangkan isu hukum yang berlegar dalam masyarakat semasa, terutama membabitkan kesucian Islam.

Ia tidak tertakluk masalah fiqh dan akidah, bahkan mencakupi pelbagai isu termasuk pembangunan negara dalam ekonomi, sains dan perubatan, sosial serta perundangan. Keputusan dimuktamadkan secara kolektif bagi menunjukkan kesepakatan dan kesepaduan pemikiran ahli muzakarah.

Contohnya, antara pandangan hukum dan fatwa yang memberi impak kepada pengamalan ajaran sebenar dalam masyarakat ialah pengharaman ajaran al-Arqam, membendung pengaruh Syiah, pengharaman buku dan fahaman antihadis, anak tidak sah taraf, kedudukan senaman yoga dalam kalangan umat Islam serta ajaran Millah Abraham@Ibrahim.

Begitu juga masalah perpecahan orang Melayu, ajaran ilmu syahadah, zikir nafas dan berkait Ismail Kassim (PERAHMAT), ajaran Qadiani/Ahmadiah, pengharaman mengenai ajaran Azhar bin Wahab serta fatwa perlantikan peguam syarie dalam kalangan orang bukan Islam.

Ketika negara berhadapan COVID-19, beberapa keputusan hukum dikeluarkan berjaya diseragamkan fatwanya di peringkat negeri termasuk penangguhan aktiviti masjid dan surau seperti solat berjemaah dan Jumaat, pengurusan jenazah secara tayamum kematian akibat COVID-19, kaedah melihat anak bulan Ramadan, Syawal dan Zulhijjah dan penyelarasan kaedah pembayaran zakat fitrah ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain itu, panduan hukum berkaitan ujian saringan dan prosedur rawatan pesakit COVID-19 pada Ramadan, kedudukan saf solat jemaah ketika PKP dan pelaksanaan solat Aidilfitri ketika PKP. Keunikan ini ternyata menyerlahkan kehebatan institusi fatwa sebagai menara rujukan hukum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.- Berita Harian

 

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts