Khatib perlu bijaksana, beri khutbah mudah difahami

KHUTBAH Jumaat adalah metodologi dakwah berkesan bagi umat Islam memperoleh ilmu baharu sekiranya tidak berkesempatan menghadiri kuliah subuh atau maghrib.

Isi kandungan khutbah yang menarik, padat, tepat, ringkas pasti menjadikan khutbah tersebut mudah difahami oleh masyarakat.

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah baru-baru ini turut memuji barisan Ahli Jawatankuasa Khutbah dan Panel Khutbah Negeri Selangor bagi tahun 2021-2023 yang telah menghasilkan teks-teks Khutbah Jumaat yang amat baik dan cemerlang sejak tahun lalu.

Baginda mahu agar khutbah Jumaat menjadi antara platform wajib bagi umat Islam di Malaysia untuk merangsang dan menyegarkan kembali pemikiran mereka mengenai isu-isu berkaitan syiar agama Islam.

Justeru, penyampaian khatib perlu lebih efektif bagi memperoleh penghayatan daripada pendengarnya dan tidak sekadar menjadi pelengkap rukun solat Jumaat.

Tempoh masa 15 hingga 20 minit amat penting bagi memikat hati jemaah kerana ‘slot khutbah’ adalah tengah hari selain di dalam masjid atau surau Jumaat itu terdapat pelbagai peringkat umur.

Jika ditanya secara rambang, berapa ramai mengingati khutbah yang telah disampaikan pada minggu lalu. Malah, amat jarang kita mendengar orang melontarkan ‘khatib hari ini, baca khutbah best’.

Menurut penceramah bebas, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Izhar Ariff Mohd. Kashim, kebijaksanaan khatib dan ketertiban intonasi penyampaian amat diperlukan supaya khutbah yang dibaca tidak menjadi hambar sehingga membuatkan jemaah lesu, mengantuk akhirnya tertidur.

Selain itu, katanya, persediaan awal juga harus dilakukan supaya khatib memahami makna dan isi kandungan khutbah sebelum dibaca pada penghulu hari itu.

“Pernah berlaku, khutbah yang perlu disampaikan tertukar dengan khutbah raya. Jadi apabila berlaku begitu, khatib perlu ada pelan B supaya tidak canggung nanti dan akhirnya pe­nyampaian tidak berkesan.

“Berlatih itu penting. Malah saya semasa menuntut di salah sebuah universiti di Syria dahulu, menghafal lebih kurang 100 khutbah dalam bahasa arab dan disampaikan tanpa melihat teks.

Pemeriksanya pula adalah merupakan khatib terkemuka di negara itu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Beliau yang merupakan pensyarah Pusat Kajian Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memberitahu, tidak salah sekiranya khatib mengikuti kursus pengucapan awam dalam mengilap pengetahuan mereka berucap depan khalayak ramai dan berhujah dengan dalil yang sebenarnya.

Jelasnya, pengolahan sedikit ayat dalam teks disediakan juga boleh dilakukan mengikut situasi semasa lokasi pembacaan khutbah itu.

“Contohnya, khutbah dibaca dalam masjid universiti dan pada masa sama terdapat pelajar baharu masuk. Jadi tukarkan khutbah asal dibuat untuk orang awam di luar kepada warga universiti.

“Kita kena pandai guna istilah agar khutbah itu bersesuaian dengan jemaah berada di depan.

“Khatib perlu menjiwai isi khutbah ketika dibaca supaya tidak menjadikan mereka seperti ‘robot’ pembaca khutbah semata-mata,” ujarnya.

Jelasnya, penyampaian khutbah berkesan ­sebenarnya mampu menarik perhatian ma­syarakat bukan Islam mendekati agama kita.

“Saya bercakap berdasarkan pengalaman saya sendiri dengan khutbah dibaca di UKM kira-kira 10 tahun lalu membuatkan seorang mahasiswa kejuruteraan berbangsa Cina telah menganut Islam selepas beberapa kali mendengar khutbah dan kuliah saya dalam televisyen,” katanya. -KOSMO! ONLINE

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts