Kiswah Kaabah diganti malam ini, pembuka tirai Tahun Baru Islam

MAKKAH – Kain hitam bersulam benang emas dikenali sebagai Kiswah yang menutupi Kaabah di Kota Suci Mekah, Arab Saudi dijadual diganti pada hari ini (Jumaat), selepas solat Isyak waktu tempatan sebagai simbolik kepada pembuka tirai Tahun Baru Islam 1444 Hijrah pada Sabtu.

Jabatan Tertinggi bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi menerusi perkongsian di Twitter menyatakan kerja-kerja penggantian Kiswah akan dikendalikan oleh 166 kakitangan jabatan, sesuai dengan tradisi tahunan.

Agensi Berita Saudi (SPA) sebelum ini melaporkan Kiswah Kaabah akan diganti pada Sabtu (30 Julai), memetik kenyataan jabatan berkenaan pada 26 Julai.

Bagaimanapun, jabatan hari ini memaklumkan tiada anak bulan Muharram dicerap pada petang Khamis dan kiraan bulan Zulhijjah digenapkan 30 hari (30 Jun – 29 Julai) hari ini (Jumaat), sekali gus menjadikan 1 Muharram (Awal Muharram) ditetapkan pada Sabtu sebagai permulaan kalendar Islam di Arab Saudi.

Arab News dalam laporannya memetik Ketua Pengarah jabatan berkenaan, Sheikh Dr Abdul Rahman Al-Sudais sebagai berkata, sebanyak 200 pekerja mahir terbabit dalam pembuatan Kiswah itu di Kompleks Raja Abdul Aziz.

Kiswah diperbuat daripada 670 kilogram (kg) sutera berkualiti tinggi, 120kg benang emas dan 100kg benang perak.

Portal berbahasa Inggeris jabatan itu mengatakan, sejak beberapa dekad Kiswah diganti pada pagi 9 Zulhijjah, iaitu pada Hari Arafah selepas jemaah haji bertolak ke Arafah dan Masjidil Haram berada dalam keadaan tenang tanpa kesesakan manusia, memudahkan pihak berkuasa menjalankan upacara penggantian.

Perubahan masa upacara kali ini dilakukan sebagai sebahagian daripada perancangan jabatan untuk mengagihkan sambutan di Dua Masjid Suci dan juga sebagai simbolik untuk menyambut ketibaan jemaah Umrah dari dalam dan luar Saudi. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
1
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts