‘Kita tidak boleh mengiyakan LGBT’ – Menteri Agama

 

KUALA LUMPUR : Kerajaan tetap akan melakukan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Semakan 1988) (Akta 355) bagi membolehkan hukuman lebih berat dijatuhkan ke atas individu terbabit dengan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tindakan itu diteruskan kerana budaya LGBT bukan hanya menjadi satu kesalahan syarak dan undang-undang Islam, malah bertentangan fitrah manusia.

Beliau berkata, apa yang mahu dipastikan ialah lelaki terus kekal dengan sifat kelelakiannya manakala perempuan juga tetap dengan sifat keperempuanannya.

“Seperti mana kita tahu dari satu sudut budaya LGBT bukan hanya bertentangan dengan ajaran Islam, malah bertentangan fitrah manusia.

“Jadi kita tidak boleh mengiyakan (menerima) perbuatan seperti itu (LGBT). Cuma kita kena kendalikan isu berkenaan dengan penuh hikmah, mengajak dan mendidik mereka (golongan LGBT) kembali ke pangkal jalan serta sama-sama membetulkannya.

“Selebihnya kita kena tengok dari aspek perundangan dan pandangan pakar (Peguam Negara) mengenai pindaan sebelum Akta 355 dibentangkan ke Kabinet dan Parlimen untuk kelulusan ke arah mewujudkan keharmonian, kebaikan dan keselesaan dalam kehidupan masyarakat Malaysia pada masa depan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Zulkifli berkata demikian ketika mengulas desakan bekas kumpulan penjawat kanan kerajaan dikenali sebagai ‘G25’ membantah cadangan kerajaan untuk meminda Kanun Keseksaan Islam bagi menjatuhkan hukuman lebih berat ke atas LGBT.

Dalam satu kenyataan G25 dilaporkan berkata, pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Semakan 1988) (Akta 355) dapat ditafsirkan sebagai langkah pertama negara untuk melaksanakan hudud.

Ditanya sama ada pindaan Akta 355 akan dibentangkan ke Parlimen pada sesi sidang Dewan Rakyat akan datang, Zulkifli berkata, perkara itu belum ditetapkan.

“Proses pindaan mesti melalui beberapa proses, bukan semata-mata kita mesti bentangkan sekali gus atau terus tetapi kita akan menuju ke arah berkenaan.

“Kita juga melihat dari segi kemungkinan akan dibentangkan dan diluluskan terlebih dahulu ke Kabinet dan kalau tiada apa halangan dan suasana membenarkan kita akan masuk (bentang) ke Parlimen tidak lama lagi,” katanya. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts