KPM tegaskan Modul Hadis 40 Imam Nawawi hanya untuk guru dan pelajar Islam

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan hanya guru dan murid beragama Islam sahaja terlibat dalam pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

Perkara ini dijelaskan sendiri oleh KPM, apabila baru-baru ini Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.

MCCBCHST berhujah bahawa Perkara 12(2) dan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menghalang rakyat Malaysia menerima arahan dalam mana-mana agama selain agama mereka.

Kumpulan itu berkata kerajaan dan Menteri Pendidikan mesti berpandukan perlembagaan dan tidak membenarkan agama mempengaruhi dasar pendidikan.

Rentetan isu tersebut, KPM menegaskan tujuan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah adalah untuk memupuk semangat ihsan dan kasih sayang.

Selain itu, modul ini turut membantu guru dan murid beragama Islam untuk mengukuhkan kefahaman dalam agama.

“Inisiatif ini diharapkan mampu melahirkan generasi anak yang baik lagi cerdik seterusnya mengangkat karamah insaniah berdasarkan tiga elemen utama iaitu adab, akhlak dan integriti.

“KPM sentiasa berusaha menerapkan nilai-nilai murni yang merangkumi elemen perpaduan, silang budaya, kepelbagaian agama dan saling menghormati antara kaum dalam setiap inisiatif yang dilaksanakan di institusi-institusi pendidikan bawah kelolaannya.,” katanya dalam satu kenyatan hari ini.

Menurut KPM lagi, program rintis bagi pelaksanaan modul terbabit hanya melibatkan beberapa buah sekolah terpilih di Malaysia setakat ini.

Melibatkan 61 buah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan 228 buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) di seluruh negara.

Modul itu dibangunkan atas saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Bukan Islam jangan campur” – PPIM

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengingatkan kumpulan bukan Islam agar tidak campur urusan umat Islam.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan, berkata tindakan Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taois (MCCBCHST) membantah keputusan memperkenalkan subjek berkaitan hadis di sekolah adalah biadab dan mencabar umat Islam.

“Apa kaitan pendidikan hadis untuk pelajar beragama Islam dengan kamu, bukanlah kerajaan memaksa pelajar bukan Islam menduduki pengajian itu,” katanya.

Nadzim menegaskan lagi bahawa mereka tidak akan berdiam diri terhadap campur tangan terhadap agama Islam.

“Kami mahu hidup dengan harmoni, semua ada agama masing-masing, ada hak masing-masing, jangan campur urusan agama kami!” katanya dalam kenyataan semalam.

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts