Solat cincai umpama kain buruk

 

1. Ada dikalangan kita yang solat sambal lewa, tidak menyempurnakan rukun solat bahkan melakukannya secara cincai. Perlakuan ini ditegur oleh Rasulullah ﷺ dalam sebuah hadith. Sabda Rasulullah:

وَإِذَا أَسَاءَ الصَّلاَةَ وَلَمْ يُتِمَّ رُكُوعَهَا ، وَلاَ سُجُودَهَا ، قَالَتِ الصَّلاَةُ : ضَيَّعُكَ الله كَمَا ضَيَّعْتَنِي ، فَتُلَفُّ كَمَا يُلَفُّ الثَّوْبُ الْخَلِقُ ، فَيُضْرَبُ بِهَا وَجْهُهُ.

“Dan apabila seorang itu menunaikan solat secara tidak elok, tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya, solat itu sendiri akan bercakap kepada tuannya (pada hari kiamat).

Kata solat: “Sesungguhnya Allah akan mensia-siakan engkau sebagaimana engkau mensia-siakan aku (solat).” Maka dilipat solat itu seperti kain perca, lalu dicampakkan ke mukanya.” (HR al-Bayhaqi, Syu’ab al-Iman, dihukum daif).

2. Sekalipun hadith tersebut dihukumkan sebagai daif, namun maknanya benar. Solat yang tidak sempurna akan ditolak oleh Allah. Solat tersebut diumpamakan seperti kain buruk yang dilemparkan ke muka kita. Bayangkan bagaimana dalam keadaan yang sangat cemas di hari akhirat nanti, disaat kita bergantung dengan amalan kita, tiba-tiba Allah menolak amalan solat kita kerana kita menunaikannya sambal lewa.

3. Dengan sebab itu di dalam hadith yang sahih, Rasulullah ﷺ menegur seorang lelaki yang menunaikan solat secara tidak sempurna. Baginda ﷺ melihat lelaki yang menunaikan solat secara tergesa lalu menegurnya dengan berkata:

ارْجِعْ فَصَلِّ فَإِنَّكَ لَمْ تُصَلِّ

“Bangun dan tunaikan solat semula, sesungguhnya engkau tidak menunaikan solat!”

Rasulullah ﷺ kemudian membimbing lelaki tersebut supaya menunaikan solat secara sempurna, melengkapkan setiap rukun solat dan melakukannya dengan tenang.

4. Bahkan Rasulullah ﷺ menyifatkan orang yang melakukan solat secara tergesa-gesa ini sebagai pencuri. Sabda Rasulullah ﷺ:

إِنَّ أَسْوَأَ النَّاسِ سَرِقَةً الَّذِي يَسْرِقُ مِنْ صَلاتِهِ ” ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، وَكَيْفَ يَسْرِقُ مِنْ صَلاتِهِ ؟ قَالَ : ” لا يُتِمُّ رُكُوعَهَا وَلا سُجُودَهَا

“Sejahat-jahat pencuri itu adalah mereka yang mencuri di dalam solatnya. Sahabat bertanya: Bagaimana mereka mencuri di dalam solat? Jawab Nabi ﷺ: Mereka yang tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.”

Solat adalah medium komunikasi hamba dengan Tuhannya. Mari tunaikan solat secara tenang dan sempurna. Moga Allah memberkati kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts