Mesin relau khas lupuskan Al-Quran lama

 

Al-Quran adalah kitab suci yang perlu dijaga sempurna, namun jika ia sudah lama dan lusuh perlu dilupuskan dengan cara yang bersistematik mengikut syariat.

Pelbagai pihak melupuskan semua jenis bahan cetakan tertera ayat suci al-Quran sama ada dalam bentuk kertas, kain, kaca, seramik, kayu, plastik dan lain-lain dengan kaedah tertentu.

Di atas kesedaran dan kepentingan kaedah pelupusan itu, memberi idea kepada pengusaha dari Pusat Kraftangan Seramik, Kampung Temin, Jerantut, Pahang, Mohamad Zakaria, 45, untuk mencipta alat khas dengan lebih terurus.

Bekas pelajar teknologi seramik di Kuala Kangsar dan pernah belajar di Jepun dalam bidang teknologi seramik mencipta relau khas untuk membakar teks al-Quran, bahan kalimah berkaca dan berbingkai kayu sehingga diiktiraf oleh Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Mesin relau khas ini menggunakan teknologi Jepun dengan saiz 134 sentimeter (sm) panjang, 127 sm lebar dan 132 sm tinggi boleh melakukan pembakaran sebanyak 400 kilogram (kg) pada satu masa.

“Relau kedap haba yang saya cipta ini, menggunakan teknologi pembakaran sama seperti digunakan dalam industri seramik.

“Hasilnya kita dapat melihat abu berwarna putih dan halus serta kesan dakwat juga akan hilang.

“Relau tiga dalam satu ini membakar menggunakan gas yang boleh mencapai suhu sehingga 1,200 darjah celsius, selain mengadun dan membeku bahan yang dibakar,” katanya.

Bebas pencemaran udara

Uniknya, alat berkenaan juga dibina dengan menggunakan bahan diperbuat daripada ‘isolator brick’ dan gentian kaca.

Beliau berkata, bahang yang dibakar itu akan menghasilkan debu putih, 99.9 peratus bersih daripada tinggalan tulisan asal dan proses pembakaran bebas daripada pencemaran udara kerana tidak mengeluarkan asap.

Setakat ini, beliau turut membekal dua unit relau seramik kepada Muhibbul Quran Malaysia (MQM), pada Jun tahun lalu akan membuka pusat pelupusan al-Quran di Lembah Klang.

Bahagian Penyelidikan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) menjadikan Pusat Kraftangan Seramik, Kampung Temin, sebagai pusat pengumpulan dan pelupusan al-Quran yang rosak di Pahang khususnya selepas banjir besar sejak banjir 2014 lagi.

“Saya bangga kerana dapat menyumbang tenaga dan idea dengan cara ini, sekali gus dapat menyelesaikan masalah melupuskan al-Quran lama,” kata.

Kumpul 10 tan al-Quran lama

Menurut Ketua Penolong Pengarah, Noridzuan Abdul Manan, JAIP mengumpul kira-kira 10 tan al-Quran dan bahan bercetak mengandungi ayat al-Quran yang rosak dalam kejadian banjir di Pahang, baru baru ini.

Pengumpulan al-Quran yang rosak akibat banjir itu perlu dilupuskan mengikut tatacara pelupusan ditetapkan jabatan itu dengan kaedah hukum syarak seperti ditetapkan Majlis Fatwa Kebangsaan.

“Pusat Temin Kraf sudah melaksanakan tugas dengan baik dan mengikut kaedah hukum syarak ditetapkan dan dipantau Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Jerantut,” katanya.

Semua bahan itu mengambil masa kira-kira tiga bulan lebih untuk proses pembakaran kerana ia perlu dilakukan secara berhati-hati.

Kebanyakan al-Quran yang diterima Bahagian Penyelidikan, Jabatan Agama Islam Pahang, yang dikumpul dalam karung plastik hitam masih basah dan mengandungi tanah disebabkan ditenggelami banjir.

Semua bahan itu harus keluarkan satu-persatu dan biarkan ia kering supaya proses membakar tidak begitu lama.

Selepas menggunakan alat pembakaran khas di Pusat Temin Kraf ini, debu akan dibawa dan ditanam di tempat khas di kawasan berhampiran tanah perkuburan Kampung Pisang, Temin, tidak jauh dari pusat itu.

Pada 2014 sebanyak 12 tan al-Quran yang rosak ekoran bencana banjir turut dilupuskan di pusat berkenaan. -Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts