Kreativiti yang hilang dari umat Islam

Saya bukan pakar ekonomi atau perbankan. Ini cara fikir orang kampung yang simple, melihat bagaimana Barat mengaut keuntungan atas angin dengan mencipta sistem dan budaya hidup. Sekadar lontaran.

1. Tubuh bank.

2. Dia buka tawaran kepada orang ramai untuk simpan duit di bank yang dia tubuhkan. Orang ramai pun simpan duit di bank beramai-ramai. Siapa yang simpan duit, bank bagi buku akaun (kertas). Duit fizikal pindah terkumpul di bank, orang ramai mula pegang buku akaun (kertas).

3. Katakan jumlah simpanan orang ramai menyimpan duit mereka di bank berjumlah 1 juta, maknanya bank berjaya miliki jumlah itu yang sebenarnya adalah milik orang. Tangan orang ramai mula kosong dari duit (hanya pegang kertas – buku akaun).

4. Seterusnya bank tawar kepada orang ramai untuk pinjam duit dari bank dengan dikenakan interest/riba. Orang ramai dengan tujuan pelbagai meminjam duit dari bank (untuk buat rumah, modal bisnes, kegunaan peribadi dll). Ramai orang pinjam dari bank sampai melebihi jumlah duit tunai yang bank pegang, tapi bank tiada masalah untuk berikan hutang tersebut sebab bank cuma perlu bagi kertas/buku akaun.

5. Bila bank bagi hutang kepada orang ramai, mereka akan dapat buku akaun juga yang tertulis di dalam buku tersebut jumlah duit sekian-sekian. Duit tunai masih dipegang oleh bank. Tapi bulan depan orang yang berhutang sudah kena bayar ansuran hutang secara tunai bersama interest kepada bank. Dengan sistem itu, bank ada keupayaan bagi hutang lebih dari jumlah tunai yang dimiliki oleh bank. Akhirnya orang simpan duit di bank berjumlah satu juta, tapi bank boleh bagi pinjam kepada orang ramai 10 juta.

6. Katakan B pinjam dari bank 1 juta untuk bangunkan satu kawasan perumahan. Bank beri kepada dia buku akaun tertulis 1 juta. Dia mungkin nak tunai sikit, dia keluarkan 10 ribu. Bank cuma perlu bagi dia 10 ribu bila dia keluarkan. Bila B nak beli simen, dia beli dari tokei simen dan bayar pakai cek (kertas juga). Tokei simen ambil cek itu dan pergi bank depositkan dalam buku akaun dia. Bank masih tak keluarkan tunai lagi. Dan begitulah yang B buat kepada tokei kayu, pekerja dll, semua diberi cek dan cek didepositkan di dalam buku akaun masing-masing. Tokei simen, pekerja dll nak tunai untuk kegunaan harian, pergi bank dan keluarkan seribu dua sahaja untuk kegunaan hari-hari. Jadi dengan cara ini bank sentiasa menyimpan tunai orang ramai dalam jumlah yang besar. Dan makin ramai orang pegang kertas (buku akaun, cek dsb). Cara inilah yang membuatkan bank boleh bagi pinjaman lebih dari jumlah tunai yang dia miliki.

7. Keuntungan bank atas angin:
– Simpanan orang ramai dia laburkan dan untung dapat kat bank (sikit sahaja keuntungan dia pulangkan kepada pendeposit). Tunai bank bertambah.
– Orang pinjam duit dari bank, bank bagi kertas/buku akaun dan bank kutip bayaran ansuran bersama interest tiap bulan dalam bentuk tunai. Tunai bank bertambah lagi.

8. Sekarang buku akaun/kertas itu sudah bertukar bentuk ke kad ATM, perbankan internet dll lagi. Tunai tetap di bank. Bank pun buat satu jaminan bahawa deposit orang ramai selamat (dengan PIDM dll sistem sekarang) lalu orang ramai rasa selamat menyimpan juta-juta di dalam bank dan bank boleh guna juta-juta itu ikut apa yang bank rancang dan terus mengaut untung.

9. Sistem ini berkembang dgn munculnya banyak lagi orang tengah yang jadi pihak mengumpul duit orang ramai seperti kad touch n go, e-wallet, app parking, grab dsb. Orang ramai dirangsang untuk ada semua itu dengan cara jadikan kad-kad itu sebagai ‘lifestyle’.

Jika ini adalah kreativiti Barat dalam mengaut keuntungan, apa pula produk kreatif dari umat Islam yang mampu menandinginya? -Ismaweb

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts