Kuota haji Malaysia dinaikkan kepada 31,600

 

SEPANG: Kuota rasmi haji untuk Malaysia, tahun ini (1441 Hijrah), meningkat kepada 31,600 berbanding 30,200 jemaah pada tahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof, berkata penambahan kuota 1,400 orang itu adalah hasil rundingan Kerajaan Malaysia, khususnya melalui Lembaga Tabung Haji (TH), dengan Kerajaan Arab Saudi.

Beliau berkata, rundingan itu bertujuan mempertimbangkan kenaikan jumlah kuota terbabit seiring peningkatan populasi penduduk negara ini.

“Kita diberi kuota 30,200 jemaah berpandukan 0.01 peratus penduduk yang diambil daripada populasi tidak dikemas kini (iaitu 30 juta). Namun mengikut versi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2017, penduduk Malaysia sudah meningkat kepada 31,600,000.

“… kerana keputusan OIC (Pertubuhan Kerjasama Islam) yang menyatakan setiap negara mendapat (kuota haji) 0.01 peratus daripada populasi penduduk, maka kita memaklumkan peningkatan mengikut statistik (PBB) terbaru itu,” katanya.

 

 

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini, sebaik saja tiba dari Riyadh, hari ini.

Mujahid yang berada di Arab Saudi selama tiga hari sejak Ahad lalu, mengadakan pertemuan dengan Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Mohammad Saleh Taher Benten, di Makkah bagi membincangkan isu berkenaan hal ehwal pengurusan serta persiapan jemaah dari Malaysia bagi musim haji 1441 Hijrah.

Beliau turut mengadakan perbincangan dengan Menteri Hal Ehwal Agama, Dakwah dan Bimbingan Arab Saudi, Sheikh Abdullatif Abdulaziz Al-Sheikh, di Riyadh sebelum pulang ke Malaysia.

Mujahid berkata, penambahan kuota rasmi itu akan dapat mengurangkan jumlah mereka yang menunggu untuk menunaikan ibadah terbabit bagi musim haji 1441 Hijrah dan tahun-tahun berikutnya, sekali gus memendekkan tempoh giliran.

“Insya-Allah, seramai 31,600 jemaah Malaysia akan dapat menunaikan haji pada tahun ini,” katanya.

Ditanya mengenai persediaan pihak TH selaras penambahan kuota itu, Mujahid berkata: “Alhamdulillah… sudah tentu apabila kita yang meminta (penambahan kuota haji), pihak TH sudah bersedia dan semua aspek telah diambil kira.” – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

 

Total
0
Shares
1 comment
  1. masa pemerintahan bn tiap tahun dpt kouta tambahan 10 ribu tp permohonan pakatan untuk kuota tambahan tidak diluluskan..mengapa.

Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts