Laporan panel Hal Ehwal Islam dijangka awal Januari 2019: Tun Ahmad Sarji

 

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan akan bersidang selama lima bulan sebelum membentangkan laporannya kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada minggu pertama Januari 2019.

Pengerusinya Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata laporan itu akan merangkumi penemuan dan penilaian menyeluruh aspek serta pengakuan dan syor pengurusan hal ehwal Islam.

“Pada peringkat awal 102 institusi berkaitan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan akan dipanggil untuk memberi pendapat dan membentangkan memorandum berkenaan pengurusan dan pentadbiran mereka,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media pertama selepas pelantikan tujuh anggota jawatankuasa itu di Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja di sini, semalam.

Ahmad Sarji berkata pengumpulan maklumat daripada semua institusi berkenaan akan dipecahkan kepada lima kluster merangkumi sektor syariah dan perundangan, kewangan dan ekonomi, pengurusan, pendidikan dan dakwah.

Beliau seterusnya berkata proses pengumpulan data turut melibatkan pihak berkepentingan dalam kalangan ahli akademik, ahli politik, pertubuhan, badan bukan kerajaan (NGO) dan media selain wakil jabatan tertentu di negeri, mufti dan orang awam.

Pandangan masyarakat bukan Islam juga dialu-alukan, kata Ahmad Sarji berhubung mesyuarat jawatankuasa itu yang akan dibuat secara tertutup.

“(Apa-apa) memorandum yang dihantar kepada jawatankuasa ini akan diklasifikasikan sebagai sulit dan tidak dibenarkan disiar kepada umum,” katanya.

Terdahulu, tujuh anggota panel itu menerima watikah pelantikan daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad yang bertindak selaku setiausaha jawatankuasa berkenaan.

Jawatan timbalan pengerusi disandang Datuk Dr Afifi al-Akiti yang juga Felo di Oxford Centre for Islamic Studies.

Anggota yang lain ialah bekas Rektor Universiti Islam Antarabangsa Profesor Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan; bekas Mufti Johor Datuk Nooh Gadot; dan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Panel itu turut disertai wakil dari Sabah dan Sarawak iaitu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Datuk Aidi Moktar dan Menteri Muda Utiliti (Bekalan Elektrik) Sarawak Dr Abdul Rahman Junaidi. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts