Lembaga Zakat Selangor jejaki asnaf Orang Asli

 

GOMBAK: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerusi Skuad Jejak Kemiskinan membanci golongan fakir, miskin dan mualaf di Orang Asli di daerah ini.

Operasi bancian berkenaan menyasarkan 35 keluarga dari 40 rumah di Perkampungan Orang Asli Batu 12, bertujuan mengenal pasti individu dan keluarga yang layak menerima zakat.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Hussin Mohd Ali, berkata bancian itu antara usaha pihaknya menangani isu kemiskinan di Selangor.

“Operasi ini dilaksanakan secara terus iaitu lawatan rumah ke rumah bagi memudahkan semakan dan meneliti kelayakan mereka berdasarkan haddul kifayah, iaitu garis penentuan kemiskinan.

“Sebaik sahaja mereka layak dan didaftarkan sebagai asnaf, LZS akan menyalurkan bantuan zakat menerusi pemberian kewangan bulanan, bantuan perubatan, kelengkapan sekolah serta bantuan lain mengikut keperluan semasa,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke operasi berkenaan, di sini, hari ini.

Turut hadir dalam operasi bancian itu ialah Pegawai Jabatan Kemajuan Orang Asli Bukit Kala, Suhaimi Alias dan Presiden Pertubuhan Kebajikan Budiman Malaysia, Abdul Manaf Rosdi.

Hasil bancian di kampung mendapati 11 keluarga layak menerima bantuan zakat dan didaftarkan sebagai asnaf miskin.

Katanya, bancian dilakukan sepanjang tahun untuk menjejaki golongan yang memerlukan dan meluaskan agihan zakat kepada mereka.

“Usaha ini turut membabitkan semakan untuk memastikan status terkini penerima yang sudah berdaftar.

“Semakan ini penting kerana bantuan yang disalurkan berbeza-beza mengikut keperluan berdasarkan haddul kifayah dan kriteria yang ditetapkan.

“Penerima yang sudah bertukar status kepada bukan asnaf akan dipantau selama enam bulan untuk memastikan mereka mempunyai kemampuan yang stabil dan tidak lagi memerlukan bantuan LZS,” katanya.

Beliau berkata, sejumlah RM17 juta peruntukan disediakan bagi menampung pelbagai bantuan kepada golongan asnaf di Gombak.

Dalam bancian di Jalan Gombak Batu 8, LZS turut menyerahkan susu khas dan lampin dewasa kepada seorang asnaf yang menghidapi sakit saraf muka dan lemah otot. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts