Lembutkan Hati Dengan al-Quran

1. Sayyid Qutb dalam karyanya menukilkan kisah bagaimana al-Walid ibn Mughirah, seorang pembesar Qurasyh yang tersohor memberikan reaksinya mengenai al-Quran. Beliau pada suatu hari diminta oleh Abu Jahal untuk memberikan pandangan tentang al-Quran. Setelah mendengar al-Quran, al-Walid berkata:

صبأ والله الوليد، ولتصبون قريش كلها

Maksudnya: Sesungguhnya (aku) al-Walid telah terpukau (mendengar al-Quran ini), dan pasti Quraysh akan terpukau mendengarnya.

Reaksi al-Walid ini membuatkan Abu Jahal kecewa. Al-Walid adalah tokoh Quraysh yang hebat. Bukan sahaja beliau hebat, anak beliau Khalid al-Walid juga adalah tokoh Islam yang terkemuka. Namun, apabila mendengar bacaan al-Quran ini, al-Walid menjadi tersentuh dengan keindahan al-Quran.

2. Ibn Hisham pula meriwayatkan kisah bagaimana ‘Utbah ibn Rabiah, seorang pembesar Qurasyh yang datang menawarkan kepada Rasulullah ﷺ harta serta pangkat dengan harapan supaya Rasulullah ﷺ berhenti daripada berdakwah.

Setelah selesai dari segala tawaran tersebut, Rasulullah ﷺ membacakan kepada beliau potongan ayat dari surah Fussilat. Sehinggalah apabila Rasulullah ﷺ membaca ayat sujud (sujud sajdah), Utbah turut sujud bersama-sama dengan Rasulullah ﷺ. Lihatlah bagaimana Utbah yang pada awalnya datang untuk menghentikan dakwah Rasulullah ﷺ, akhirnya sujud bersama Rasulullah ﷺ setelah mendengar al-Quran.

3. Al-Bukhari pula meriwayatkan kisah bagaimana Rasulullah ﷺ surah al-Najm di hadapan khalayak ramai. Abdulullah ibn Mas’ud yang menyaksikan peristiwa ini berkata:

أن النبي صلى الله عليه وسلم قرأ بالنجم فسجد، فلم يبق أحد إلا سجد

“Sesungguhnya Rasulullah ﷺ membaca surah al-Najm, lalu Baginda sujud dan tidak ada seorang Quraysh yang mendengar surah tersebut melainkan sujud bersama Baginda.”

4. Begitu juga kisah Saidina Umar yang popular yang mendengar Surah Taha sehingga menjadi punca kepada keislaman beliau.

5. Perhatikan insiden-insiden yang direkodkan dalam Sirah Rasul ﷺ ini, bagaimana manusia yang keras hatinya boleh terpukau dan terpesona dengan al-Quran. Hati mereka turut lunak menghayati maksud yang ingin disampaikan.

6. Ingatlah kata-kata Yahya bin Muaz, seorang tokoh sufi yang terkemuka pada kurun ketiga. Kata beliau:

دواء القلب خمسة أشياء: قراءة القرآن بالتفكر، وخلاء البطن، وقيام الليل، والتضرع عند السحر، ومجالسة الصالحين

“Penawar hati itu ada lima: Membaca al-Quran sambil bertafakkur, mengosongkan perut, qiamullail, berdoa penuh khusyuk di sepertiga malam dan bergaul bersama orang-orang yang soleh.” (al-Azkar, al-Imam al-Nawawi)

Semoga Allah membimbing kita

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts