Lima prinsip dasar Islam jamin hak asasi manusia: MACSA

 

USAHA mewujudkan dasar yang jelas pada peringkat nasional mengenai acuan hak asasi manusia perlu menjadi keutamaan bagi Malaysia yang mempunyai keunikan tersendiri melalui sejarah, budaya dan latar belakang masyarakat berbilang kaum dan agama.

Sungguhpun Malaysia mempunyai kepelbagaian seumpama ini, hakikat sejarah dan latar belakang budaya sejak sekian lama membuktikan betapa Islam memainkan peranan signifikan dan kukuh dalam penyediaan asas pemeliharaan dan usaha mempromosi hak asasi manusia yang lebih dekat dengan acuan jati diri watan, hatta sejak sebelum kemerdekaan.

Banyak peranan Islam diketengahkan dalam wacana hak asasi manusia, terkini dalam muzakarah bertajuk ‘Pakar Hak Asasi Manusia: Analisis Kritis Selepas 70 tahun Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR) 1948’ pada Mei lalu.

Muzakarah itu juga telah menyentuh input disumbangkan Perikatan Pertubuhan Masyarakat Sivil dalam Proses Semakan Sejagat (UPR) Malaysia (MACSA) yang mengemukakan laporan pemegang hak kepada Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, menjelang pusingan ketiga sesi UPR, November ini.

Dalam agama ini, manusia dianugerahkan hak al-karamah (kemuliaan) dan hak al-fadlilah (keutamaan). Malah, misi Rasulullah SAW bersifat rahmatan lil ‘alamin yang menjadikan kemaslahatan dan kesejahteraan sebagai tawaran untuk umat manusia dan seluruh mayapada.

Ini dilakukan tanpa mengakibatkan sebarang kompromi atau mengorbankan prinsip dasar dalam Islam berkaitan akidah, syariah dan akhlak yang membentuk kerangka agama yang benar di sisi Allah SWT.

Mempertahan akidah

Agenda di atas sering dikenali umum sebagai usul al-khams (lima prinsip dasar) yang merangkumi hifzudin, hifzu nafs wal irdl, hifzu aql, hifzu nasl dan hifzu mal.

Hifzudin memberi jaminan hak kepada umat Islam untuk memelihara agama dan keyakinannya (ad-din).

Islam juga memberi jaminan bersesuaian terhadap kelompok penganut agama lain, menjamin kebebasan mengamalkan agama bagi penganut bukan Islam dan larangan adanya pemaksaan agama Islam ke atas penganut agama selainnya.

Namun, peruntukan seperti dinyatakan dalam Perkara 11 (4) memberi kuasa kepada kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal atau menyekat penganut agama bukan Islam menyebar atau mengembangkan ajaran atau kepercayaan mereka kepada orang Islam.

Ini bukanlah sesuatu yang asing dalam menggambarkan usaha Islam mempertahankan akidah umat Islam.

Hifzu nafs wal irdh memberi jaminan hak atas setiap nyawa manusia untuk menjalani kehidupan selayaknya. Dalam hal ini, Islam menuntut adanya keadilan, hak atas penghidupan, hak pekerjaan, hak kemerdekaan dan keselamatan serta bebas daripada penganiayaan.

Hak ini termasuk untuk setiap Orang Kelainan Upaya serta yang berada dalam kategori Orang Tanpa Kewarganegaraan akibat kegagalan sekian lama pihak berwajib dalam memastikan mereka memperoleh pengiktirafan status sewajarnya.

Hifzu aql adanya jaminan kebebasan bersuara, kebebasan mengeluarkan pendapat, melakukan penyelidikan dan pelbagai aktiviti ilmiah. Islam melarang perbuatan merosakkan akal melalui sebarang bentuk penyeksaan, penyalahgunaan dadah, minuman keras dan lain-lain.

Pada waktu sama, larangan penghinaan dan perlecehan terhadap agama lain, termasuk melalui penulisan, karikatur dan sebarang bentuk media perlu sebagai cerminan terhadap usaha Islam memelihara kesejahteraan akal dalam kalangan masyarakat awam.

Bersuara tanpa batasan

Justeru, wujud keperluan menyeimbangkan kebebasan bersuara terhadap semua warganegara. Sebagai contoh, melalui inisiatif perundangan tertentu yang melarang hak bersuara tanpa batasan.

Hifzu nasl ialah jaminan atas kehidupan peribadi setiap individu, perlindungan atas pekerjaan, jaminan masa depan keturunan dan generasi penerus yang lebih baik dan berkualiti.

Amalan zina dan seks songsang yang berteraskan gaya hidup seperti lesbian, gay, biseksual, transgender, interseks dan ‘queer’ (LGBTIQ), ialah contoh perbuatan yang dilarang kerana bertentangan dengan hifzu al-nasl.

Kementerian Kesihatan mendedahkan statistik mengikut faktor risiko yang menunjukkan pengamal homoseksual dan biseksual ialah penyumbang terbesar peningkatan jangkitan HIV/AIDS dengan 1, 697 kes pada 2017 jika dibandingkan dengan faktor lain.

Justeru, pendekatan Islam yang menutup terus pintu kejahatan yang terhasil melalui kempen terdesak pergerakan LGBTIQ, satu mekanisme terbaik menangani ancaman terhadap kemaslahatan umat manusia secara umum.

Hifzu mal dimaksudkan sebagai jaminan atas pemilikan harta benda dan bentuk pemilikan lain yang sah di sisi undang-undang termasuk larangan terhadap perbuatan mengambil hak dari harta orang lain seperti mencuri, rasuah, monopoli dan bentuk penyelewengan lain.

Hal ini perlu menjadi perhatian utama masyarakat Malaysia, khususnya umat Islam dalam menjamin kesejahteraan dan pemeliharaan hak asasi manusia setiap warganegara.

Prinsip Islam relevan

Lima prinsip dasar di atas sangat relevan untuk setiap warganegara (Islam dan bukan Islam), malah seiring dengan prinsip hak asasi manusia.

Islam memberi ruang luas bagi tumbuhnya pemeliharaan dan usaha mempromosi hak asasi manusia dengan cara menyediakan pandangan alam yang jelas kepada manusia mengenai tujuan kehidupannya di dunia dan matlamat selepas kehidupan mereka.

Konsep ini seharusnya menjadi panduan umat manusia dalam memastikan bahawa pendekatan kontemporari yang dibawa UDHR 1948, tidak terkeluar dari tujuan sebenar mengejar hak asasi manusia sejak sekian lama.

Ruang kosong yang wujud akibat penolakan prinsip dan peranan agama ketika UDHR 1948 mula-mula dibentuk, menjadi sebab utama pemuka dan aktivis hak asasi moden hari ini semakin berani menuntut hak yang pada hakikatnya menghancurkan tujuan manusia dijadikan.

Mereka hilang pedoman lantas menjadikan akal semata-mata untuk memenuhi tuntutan hawa nafsu seperti gerakan kebebasan beragama berkempen supaya tindakan murtad oleh orang Islam diiktiraf sebagai ‘hak kebebasan’, selain membiarkan ajaran murni Islam ditafsir sesuka hati oleh mereka yang bukan ahlinya.

Selain itu, wujud golongan fidofilia mahu diberikan ‘pengiktirafan’ sebagai sebahagian kumpulan LGBTIQ yang cuba menampilkan gagasan tafsiran baharu revolusi gender bagi menafikan fitrah kemanusiaan mengenai kategori jantina manusia.

Mereka juga menuduh bahawa pendekatan diskriminasi positif dalam agenda ekonomi sebagai bersifat perkauman. Tuntutan sebegini bercanggah dengan tujuan asal UDHR 1948 yang menjadi aspirasi dan kehendak negara anggota PBB suatu ketika dulu.

Rumusan hak asasi manusia bersifat substansial dalam Islam perlu menjadi rujukan dalam memperjuangkan usaha memelihara dan mempromosi hak asasi manusia secara adil dan lebih berwibawa di bumi Malaysia.

Azril Mohd Amin
Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts