LZS bantu bina 32 rumah asnaf terjejas banjir

Shah Alam: Sebanyak 32 rumah asnaf fakir dan miskin yang terjejas akibat banjir pada Disember tahun lalu akan dibina semula manakala 150 lagi akan dibaik pulih.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Saipolyazan M Yusop berkata, buat masa ini kerja bancian serta taksiran masih dilaksanakan agensi berkenaan di lapan daerah terjejas banjir bagi mengenalpasti asnaf memerlukan bantuan.

“Proses pembinaan dijangka akan bermula pada Februari ini dan LZS memperuntukkan RM93,000 bagi pembinaan semula rumah (termasuk kos rawatan tanah dan lain-lain).

“Bagi rumah akan dibaikpulih, peruntukan sejumlah RM31,500 ditetapkan mengikut jenis kerosakan dan sehingga rumah siap, mereka akan ditempatkan di rumah yang kita sewakan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke Kampung Bukit Lanchong, dekat sini, semalam.

Mengulas mengenai keadaan rumah penduduk di Kampung Bukit Lanchong, Saipolyazan berkata, terdapat sebuah rumah asnaf perlu dibina semula manakala 24 lagi akan dibaik pulih.

Katanya, hasil bancian awal dilakukan Penolong Amil Kariah turut mendapati 50 rumah lagi terjejas dan akan dilakukan pemeriksaan sama ada layak dikategorikan sebagai asnaf.

“Sekiranya mereka layak dikategorikan sebagai asnaf, kita akan bantu dan jika tidak, maklumat berkenaan akan diserahkan kepada agensi kerajaan negeri dan persekutuan untuk tindakan susulan,” katanya.

Dalam pada itu, Saipolyazan berkata, agensi itu menjangkakan pertambahan asnaf fakir miskin sehingga 72,000 pada tahun berikutan bencana banjir dan penamatan moratorium.

Katanya, mengikut rekod, jumlah terkini asnaf berdaftar adalah 65,000 manakala 15,000 asnaf miskin sementara turut direkodkan susulan pandemik Covid-19.

“Sebanyak 30,000 permohonan bantuan Zakat Peduli Selangor untuk mangsa banjir sudah diluluskan dengan menerima RM600 secara one-off sejak 28 Disember lalu.

“Permohonan masih dibuka sehingga 31 Januari ini,” katanya. – My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts