Maal Hijrah: Pertahan syiar dan syariat Islam untuk ummah

ustzamri

 

Tidak berapa hari lagi kita akan menyambut awal tahun baru Islam iaitu Awal Muharram dan lebih mesra di kalangan masyarakat awam sebagai Maal Hijrah. Negara ini telah memberikan pengiktirafan rasmi kepada peristiwa penting ini dengan sambutan rasmi peringkat negara dan diikuti peringkat negeri dan seterus sehingga ada yang menyambutnya sampai ke peringkat kampung.

Sudah tentu sambutan-sambutan begini bukan sekadar amalan turun temurun dan kebiasaan sahaja namun apa yang diharapkan falsafah, roh, semangat dan pengajaran peristiwa besar dalam sejarah umat Islam itu dijadikan ubat penyelesaian kepada kemelut umat hari ini.

Peristiwa hijrah Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah adalah bukti bahawa umat Islam wajib menyediakan sebuah negara yang membolehkan Islam dapat diamalkan sebagai cara hidup secara bebas dan harmoni samada cara hidup secara peribadi, bermasyarakat mahupun bernegara secara sebebas-bebasnya, kerana hakikatnya Islam adalah cara hidup bukan terhad kepada ritual-ritual tertentu sahaja.

Berikan Islam peluang membuktikan bahawa Islam menawarkan rahmat dan kesejahteraan  kepada manusia dan alam. Selama mana Islam tiada tapak untuk diamalkan sepenuhnya maka “wajah” Islam itu akan sentiasa dibayangi dengan kecomotan yang sengaja diada-adakan menyebabkan manusia melihat Islam dari sisi gelap bukan dilihat sebagai cahaya yang memandu kepada jalan selamat menuju Allah SWT.

Sepatutnya umat Islam di Malaysia merasa bertambah yakin dan berbangga untuk  sepakat mempertahankan syiar dan syariat sedia ada bahkan jangan berhenti untuk terus setapak demi setapak merealisasikan Islam sebagai asas bernegara.

Bandingkan betapa sukarnya Rasulullah SAW dan para sahabat mengharungi rintangan dan cabaran dari peringkat awal dakwah secara sembunyi sehinggalah tertegaknya sebuah negara yang bebas, berdaulat dan di hormati. Ada yang terkorban syahid, ada yang terpisah dari keluarga tercinta, ada yang sehelai sepinggang meninggalkan harta dan kedudukan yang tinggi. Seribu satu bentuk tribulasi kepada generasi awal pejuang-pejuang sebuah negara Islam.

Sedangkan kita, Allah SWT telah menganugerahkan “modal-modal” asas untuk terus menuju ke hadapan menaiki tangga kesempurnaan mendaulatkan Islam di dalam negara ini. Kita ada modal sejarah yang kukuh bahawa Islam pernah menjadi rujukan utama hidup bernegara ini bahkan di nusantara ini, bilangan orang Islam yang membentuk majoriti rakyat negara ini juga adalah satu “modal” kurniaan Allah kepada bumi bertuah ini. Jika kehendak majoriti ini sepakat mahukan tanah air ini sebagai tapak yang subur untuk pengamalan Islam maka impian ini akan terlaksana.

Satu lagi modal sedia ada namun sering dilupakan oleh umat Islam di negara ini ialah pengiktirafan perlembagaan negara terhadap kedudukan Islam sebagai jati diri negara ini. Beberapa artikel di dalam perlembagaan negara secara jelas memberi ruang dan peluang kepada rakyat muslim negara ini menyediakan ruang yang selesa untuk dilaksanakan Islam sebagai rujukan utama bernegara dan bermasyarakat di negara ini.

Umat Islam diseru  agar mengambil pengajaran daripada peristiwa Hijrah Rasulullah dan mengambil satu keinsafan untuk membaiki keadaan umat. Cabaran yang kini dihadapi oleh umat Islam terutamanya ancaman liberalisme, pluralisme, syiah dan lain-lain dalam masa yang sama umat Islam berpecah dan terbelenggu dalam agenda politik yang didominasi oleh bukan Islam menyebabkan umat Islam perlu bersungguh-sungguh berhijrah untuk menjadi umat yang lebih kuat dan bermaruah.

Berhijrah dari hanya  memelihara kepentingan-kepentingan kelompok sendiri kepada mengutamakan maslahat Islam dan umatnya di dalam menyatakan pendirian atau membuat apa-apa keputusan. Tokoh-tokoh pula mengalami pemikiran inferior atau kerendahan diri lalu memilih pendekatan-pendekatan yang mengalah apabila berhadapan dengan agenda musuh Islam, maka seharusnya umat Islam mengambil inspirasi perjuangan hijrah baginda SAW.

Hijrah Rasulullah adalah satu proses membina kekuatan daripada umat yang lemah dalam suasana tertindas kepada umat yang memiliki kekuatan bermaruah dan bersatu padu. Mari lah kita sehati sejiwa mendaulatkan Islam di negara ini.

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Negeri Perak

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
1 comment
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts