Majlis Fatwa Negeri Sabah putuskan vape haram

PUTATAN: Muzakarah Khas Majlis Fatwa Negeri Sabah yang bersidang hari ini sebulat suara memutuskan hukum menghisap vape dan rokok elektronik termasuk menjualnya sebagai haram kepada umat Islam.

Keputusan ahli muzakarah berkenaan yang dianggotai 10 individu daripada pelbagai agensi berkaitan di negeri ini, menjadikan Sabah negeri ke-11 mengharamkan vape selain sisha.

Mufti Sabah, Datuk Bungsu Jaafar, berkata berdasarkan hujah dan pandangan dikemukakan ahli muzakarah, mereka bersetuju penggunaan vape, rokok elektronik dan sisha adalah haram kepada umat Islam.

“Oleh itu umat Islam dilarang menghisap sisha, rokok elektronik dan vape atau apa-apa aktiviti berkaitan dengannya termasuk aktiviti penjualan dalam kalangan umat Islam.

“Salah satu dalil umum dalam penggunaan rokok elektronik, shisha dan vape ini ialah perbuatan itu memudaratkan tubuh badan dan boleh memberi kesan kepada kesihatan, jadi syariat Islam melarang perbuatan itu,” katanya kepada media selepas Muzakarah Khas Majlis Fatwa Negeri Sabah di Balai Cerap Al-Biruni, di sini, sebentar tadi.

Ahli muzakarah itu disertai tokoh akademik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), pakar undang-undang, hakim mahkamah rayuan syariah, penasihat syariah Bank Negara dan wakil Jabatan Peguam Negara.

Berikutan keputusan itu, Bungsu berkata, pihaknya akan memaklumkannya kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin sebelum diserahkan kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk diwartakan sebagai fatwa.

Katanya, selepas itu terpulang kepada kerajaan negeri untuk menguatkuasakannya sebagai undang-undang bagi membolehkan penguatkuasaan penggunaan vape dan rokok elektronik dilaksanakan kepada umat Islam.

“Jawatankuasa Majlis Fatwa cuma menentukan hukum iaitu sama ada haram atau tidak tetapi untuk mewartakan bidang kuasa lain dan ia terserah kepada kerajaan negeri. Namun kita boleh mengesyorkan kepada MUIS dan kerajaan negeri untuk diwartakan,” katanya.- Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts