Malaysia cadang Bahasa Melayu bahasa kedua ASEAN

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan perbincangan dengan pemimpin ASEAN untuk mencadangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.

Perdana Menteri berkata, ia adalah usaha untuk memartabatkan bahasa ibunda itu di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata, selain Malaysia, beberapa negara jiran seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, Selatan Filipina serta di sebahagian Kemboja turut menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

“Jadi, tiada sebab kita tidak boleh jadikan Bahasa Melayu sebagai satu bahasa rasmi ASEAN. Kita akan selaraskan perkara ini dan saya akan bincang dengan pemimpin negara ASEAN yang memang menggunakan Bahasa Melayu, supaya mereka bersetuju jadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN.

“Selepas itu, kita akan bincang pula dengan pemimpin ASEAN lain, yang juga mempunyai penduduk yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan di negara mereka,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Zurainah Musa, berhubung kerjasama kerajaan dengan pemimpin negara ASEAN untuk menyelaraskan penggunaan Bahasa Melayu di peringkat ASEAN.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, pada masa ini, hanya empat daripada 10 negara ASEAN yang menggunakan Bahasa Inggeris dalam acara rasmi di peringkat antarabangsa, manakala enam negara lagi menggunakan bahasa ibunda sendiri dalam urusan rasmi masing-masing dan perlu diterjemahkan.

Ismail Sabri berkata, beliau sendiri sudah menggunakan Bahasa Melayu ketika lawatan rasminya ke Indonesia, Brunei, Kemboja, Thailand sebelum ini dan yang terbaharu, ke Vietnam dua hari lalu.

“Kita tidak perlu berasa malu atau kekok untuk menggunakan Bahasa Melayu di peringkat antarabangsa kerana usaha memartabatkan Bahasa Melayu ini juga selari dengan satu daripada bidang keutamaan Kerangka Dasar Luar Malaysia yang dilancarkan oleh kerajaan pada 7 Disember lalu.

“Usaha ini akan diteruskan dalam mana-mana pertemuan, mesyuarat dan persidangan antarabangsa, sama ada dua hala atau pelbagai hala, di dalam mahupun di luar negara mengikut kesesuaian,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Isa Ab Hamid, sama ada kerajaan meletakkan pegawai berkemahiran tinggi dalam Bahasa Melayu di luar negara, Ismail Sabri berkata, Kementerian Luar akan menyediakan latihan penterjemah kepada pegawai di luar negara.

Ismail Sabri juga mencadangkan, pegawai yang mempunyai kemahiran menterjemah dan berupaya membantu negara dalam urusan penterjemahan dalam urusan rasmi kerajaan, diberikan elaun khusus.

Selain itu, beliau berkata Kementerian Luar juga akan mewujudkan Unit Bahasa dan Kebudayaan di setiap pejabat kedutaan negara, selain menyediakan kelas Bahasa Melayu untuk pegawai dan anak mereka yang berada di luar negara.

“Kita dapati bahawa sesetengah anak pegawai diplomatik kurang mahir berbahasa Melayu kerana mereka memasuki kelas di sekolah antarabangsa. Sesetengah pegawai itu tidak pulang ke Malaysia sebaliknya ‘cross posting’ dihantar ke negara lain secara berterusan.

“Ini menyebabkan anak-anak mereka yang belajar bertahun di sekolah antarabangsa tak boleh berbahasa Melayu, jadi kita akan wujudkan kelas ini segera dan akan diperluas kepada rakyat Malaysia yang berada di luar negara,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Senator Muhammad Zahid Md Arip, mengenai usaha kerajaan memartabatkan penterjemahan buku di negara ini, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memperkasa Institut Terjemahan dan Buku Malaysia supaya lebih proaktif dalam menterjemah buku ke dalam Bahasa Melayu. – BERNAMA

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts