Malaysia mohon tambah kuota haji tahun hadapan

PUTRAJAYA – Malaysia telah menyampaikan hasrat kepada Arab Saudi untuk mendapatkan tambahan kuota haji kepada 31,950 pada tahun hadapan selaras dengan pertambahan jumlah penduduk negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Mohd Na’im berkata, hasrat itu disampaikan dalam pertemuan bersama Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabiah di sini pada Isnin sempena lawatan kerja Tawfiq selama tiga hari ke Malaysia bermula semalam.

“Insya-ALLAH perkara ini akan terus dibincang lanjut, malah Tuan Yang Terutama (Tawfiq) menyatakan komitmen untuk membuat pertimbangan sewajarnya terhadap hasrat kita ini,” katanya pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat dan mengadakan pertemuan dengan Tawfiq di pejabatnya di sini.

Kuota haji untuk jemaah Malaysia bagi musim haji tahun ini ialah 31,600.

Dalam ucapannya yang diterjemahkan oleh Pengarah Kanan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Abdul Karim Zakaria beliau berkata, kerajaan Arab Saudi juga bercadang meningkatkan jumlah penerbangan mingguan dari Malaysia ke Arab Saudi kepada 70 penerbangan.

Ketika ini, menurutnya terdapat 49 penerbangan seminggu dari Kuala Lumpur ke Arab Saudi.

Beliau turut menzahirkan penghargaan atas pelbagai inisiatif serta kecekapan Malaysia dalam mengendalikan operasi haji dan umrah bagi memudahkan urusan rakyat negara ini menunaikan ibadah di Tanah Suci.

Tawfiq turut memaklumkan terdapat aplikasi baharu yang telah dilancarkan untuk kemudahan jemaah haji dan umrah dari seluruh dunia iaitu Nusuk.

Aplikasi pelbagai bahasa yang boleh dimuat turun dari Google Play Store serta Apple App Store itu dilengkapi pelbagai maklumat dan kemudahan berkaitan urusan haji dan umrah. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts