Malaysia negara Islam: Wilayah wajib dipertahankan

 

KUALA LUMPUR – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) bersama Majlis Ulama Isma dan Persatuan Indahnya Islam buat julung kalinya menganjurkan Konvensyen Pertahankan Wilayah Islam (PERTIWI) 2018.

Konvensyen ini bertemakan “Mendepani Cabaran Dakwah Islam Era Malaysia Baharu” diadakan di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini

Bertitik tolak daripada Konvensyen PERTIWI 2018 ini, Isma telah menggariskan tujuh (7) resolusi seperti berikut;

1) Identiti dan kedaulatan Malaysia sebagai sebuah negara Islam hendaklah dihormati dan dipertahankan oleh seluruh rakyat Malaysia. Ini berasaskan demografi, sejarah bahkan perlembagaan yang menjadi teras kepada terbentuknya Malaysia hari ini. Sebarang usaha mencairkan identiti asal Malaysia ini seperti mencabar kedudukan agama Islam, Melayu dan Raja-Raja hendaklah dihalang kerana ia bukan sahaja mengancam kedaulatan Islam, malah boleh merungkai identiti teras kenegaraan ini.

2) Wilayah Islam yang merangkumi kuasa kepimpinan Islam dan persepakatan sesama umat Islam hendaklah dipertahankan dalam apa jua situasi dan keadaan politik semasa. Dalam hal ini, dominasi kuasa politik umat Islam wajib dikembalikan oleh seluruh umat Islam khususnya para pemimpin Melayu Islam dengan tindakan yang serius dan terancang.

Ini bagi mengangkat ketuanan Syarak iaitu menjadikan kehendak Syarak sebagai sumber perundangan tertinggi dalam negara mengatasi segala kehendak lain.

3) Persepakatan sesama umat Islam terutamanya dalam konteks politik hendaklah diperteguhkan tanpa mengira parti, selaras dengan prinsip Syarak yang mewajibkan wala’ sesama umat Islam. Sebarang usaha memecahbelahkan persepakatan sesama umat Islam serta kerjasama dengan parti bukan Islam yang memusuhi Islam mestilah dihentikan.

4) Semua menteri dan ahli parlimen Melayu Islam, institusi-institusi agama, pihak-pihak berautoriti serta NGO-NGO Islam hendaklah bersatu padu memberikan sokongan penuh terhadap segala usaha yang menguntungkan Islam.

Institusi-Institusi agama yang mengangkat syiar Islam di Malaysia perlu diperkasakan lagi supaya terus komited menjaga kepentingan umat Islam. Ini secara tidak langsung dapat memperkukuh kuasa politik umat Islam agar tidak mudah dipermainkan oleh pihak yang memusuhi Islam.

5) Program-program dakwah Islam yang lebih menyeluruh (syumul) merangkumi aspek kenegaraan hendaklah diperkasakan bagi menghidupkan semula jati diri dan jiwa umat Islam yang hampir mati.

Usaha dakwah kepada non-muslim perlulah dirancakkan lagi dengan memberi penerangan mengenai hakikat Syariat Islam yang menyeluruh tanpa berselindung. lni bagi menjamin kelangsungan “Wilayah Islam” jangka panjang di samping memelihara kesejahteraan hidup bermasyarakat yang berbilang bangsa dan agama.

6) Pemimpin dan kerajaan Malaysia baharu hari ini digesa agar tidak mempromosikan fahaman liberalisme dan sekularisme yang mencairkan identiti dan kedaulatan Malaysia sebagai negara Islam. Sebarang tindakan atau ucapan yang boleh menimbulkan kekeliruan kepada rakyat terutamanya umat Islam mestilah dielakkan.

7) Semua pihak terutamanya kerajaan, parti politik dan NGO hendaklah mengambil sikap berhati-hati terhadap campur tangan asing secara langsung atau tidak langsung sama ada melalui sumbangan dana, pelaburan, tajaan atau sebarang bentuk latihan.

Kecuaian terhadap perkara ini akan menyebabkan suatu entiti tersebut (kerajaan, parti politik atau NGO) akan terikat dengan kuasa asing lantas terpaksa melaksanakan apa jua kehendak agenda asing yang bertentangan dengan lunas perlembagaan dan ketuanan Syarak. Ini boleh memberi kesan negatif kepada hala tuju dan survival kuasa politik umat Islam.

“Malaysia negara Islam: Wilayah yang wajib dipertahankan!

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts