Malaysia tak wajar ikut model pendidikan rangkaan Bank Dunia

BANGI – Bank Dunia tidak hanya berfungsi sebagai pengawal selia dan pengatur cara kepada semua bank pusat, tetapi ia turut terlibat sebagai pemain utama dalam mencorakkan pendidikan antarabangsa.

Penyelidik Pendidikan Ikatan Muslimin Makaydia (ISMA), Nur Irdina Hakimah NorAzali berkata, sejak tahun 1950-an, penglibatan dan pengaruh Bank Dunia dalam bantuan pendidikan telah meningkat dengan ketara.

Beliau berkata, Bank Dunia menjadi organisasi antarabangsa yang dominan terhadap negara berpendapatan rendah, untuk memperbaharui sistem pendidikan mereka menerusi tawaran pembiayaan, bantuan teknikal dan penghasilan ilmu dan kepakaran baharu.

Selain menawarkan pembiayaan pendidikan, beliau berkata, Bank Dunia juga melobi negara-negara terlibat untuk menerima ‘preferred’ model pendidikan untuk diimplementasikan sebagai jalan keluar krisis pendidikan yang dihadapi.

“Usaha Bank Dunia dalam menawarkan ‘preferred’ model pendidikan ini dapat dilihat menerusi kerjasama yang dijalankan bersama badan-badan antarabangsa lain.

“Seperti Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), Dana Penduduk Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), UN Women dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dalam menganjurkan Forum Pendidikan Dunia 2015 di Incheon, Republik Korea,” katanya dalam kenyataan.

Nur Irdina berkata, forum ini berakhir dengan penetapan visi baharu untuk pendidikan menjelang 2030 menerusi persetujuan Deklarasi Incheon untuk Pendidikan 2030.

Jelasnya, resolusi forum pendidikan ini termasuk memastikan hak dan akses pendidikan terjamin, hak kesaksamaan jantina dalam pendidikan, pendidikan sepanjang hayat, galakan penyertaan belia dalam institusi vokasional serta isu indikator dan tadbir urus pendidikan termasuk kualiti kepimpinan pendidikan dalam konteks negara maju.

“Malaysia, dilihat antara salah sebuah negara yang menyambut baik model dan idea-idea pendidikan daripada organisasi antarabangsa menerusi idea model Kurikulum 2027 yang diperkenalkan atas faktor trend global, pentaksiran antarabangsa dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

“Pihak Kementerian Pendidikan (KPM) juga menerima saranan daripada Laporan Bank Dunia dalam isu kompetensi guru,” katanya.

Ramai ahli akademik menyifatkan Bank Dunia bersikap pragmatik, selektif dalam menawarkan solusi kepada permasalahan yang wujud kerana ia menyempitkan hanya kepada ruang lingkup ideologi neo-liberal dalam konteks pendidikan.

“Tumpuan pembangunan modal insan yang ditawarkan oleh Bank Dunia adalah dalam kerangka kapitalisme iaitu sumber manusia dibangunkan untuk memenuhi kehendak industri semata-mata dan keuntungan pihak tertentu.

“Bank Dunia akan menawarkan pinjaman kewangan serta laporan-laporan yang dilihat seperti satu inisiatif tetapi memberi impak tekanan dan menghalang negara-negara terlibat dalam menetapkan halatuju dan dasar pendidikannya secara mandiri,” katanya.

Dalam erti kata lain, Nur Irdina menjelaskan, negara yang terikat dengan pelbagai bentuk pinjaman dan polisi pendidikan daripada Bank Dunia tidak akan mampu membina kemandirian dalam membentuk corak pendidikan, sistem malah yang lebih mendasar ialah hala tuju dan matlamat pendidikan tersendiri.

“Pada dasarnya, pengambilan rangka Bank Dunia dalam menganalisis pendidikan boleh diletak sebagai rujukan sahaja, namun Malaysia perlu membina model pendidikannya tersendiri.

“Justeru, untuk membina ekosistem pendidikan yang sejahtera, KPM sewajarnya mewujudkan badan kajian khusus yang berperanan mengkaji dan menganalisis isu dan permasalahan sebenar dalam pendidikan nasional,” katanya. – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts