Masjid Besar Paris mahu dapatkan sijil halal JAKIM

 

PARIS: Pihak pengurusan Masjid Besar Paris (The Grand Mosque of Paris), di sini menyatakan hasrat mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai mengiktiraf pusat penyembelihan mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata hasrat itu disuarakan oleh rektor masjid tersebut, Dr Dalil Boubakeur ketika lawatannya ke masjid tersebut, semalam.

“Dalam pertemuan dengan Dr Dalil Boubakeur yang turut disertai Mufti Dr Khaled Abou Taleb dan Mufti Cheikh Bozidi hari ini (semalam), antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai permintaan mereka supaya JAKIM dapat memberi pengiktirafan dan sijil halal untuk pusat penyembelihan masjid tersebut.

“Mereka menyatakan bahawa pusat penyembelihan mereka telah mematuhi segala prosedur yang telah ditetapkan oleh pihak JAKIM dan mahu JAKIM memberi akreditasi dan pengiktirafan terhadap pusat penyembelihan mereka,” katanya kepada Bernama dan RTM di sini.

Dr Wan Azizah berkata, beliau sudah menyatakan kepada Dr Dalil Boubakeur bahawa hasrat itu akan disampaikan kepada JAKIM supaya tindakan seterusnya dapat diambil.

Ditanya mengenai tempoh masa untuk JAKIM melaksanakan perkara itu, Timbalan Perdana Menteri berkata, ia bergantung kepada jabatan itu tetapi yang pasti perlu melihat sendiri pusat penyembelihan berkenaan dan memantau kerja penyembelihan.

“Pihak masjid tersebut memang ada sijil mereka sendiri, tapi mereka mahu pengiktirafan daripada JAKIM kerana mereka percaya dengan kredibiliti JAKIM yang sangat meyakinkan,” katanya.

Dr Wan Azizah yang dalam rangka lawatan kerja empat hari ke Perancis bermula Ahad lalu, semalam, meluangkan masa kira-kira 40 minit melawat masjid terbesar di Perancis itu dan menunaikan solat Jamak dan solat Sunat di situ.

Masjid itu yang mempunyai ruang solat, taman, perpustakaan kecil dan kafeteria, dibina pada 1922 sebagai memperingati 100,000 Muslim Algeria yang berperang untuk Perancis ketika Perang Dunia Pertama. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts