Masjid jadi pusat transit mangsa keganasan rumah tangga

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meluaskan program menjadikan masjid sebagai pusat transit mangsa keganasan rumah tangga ke seluruh negara.

Timbalan Menterinya, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata beberapa negeri sudah pun menyatakan kesediaan mereka untuk membuka beberapa masjid sebagai pusat transit berkenaan.

Katanya, program ini dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri.

“Setakat ini Perlis sudah mencadangkan dua masjid, begitu juga Kelantan, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan sudah menyatakan kesediaan mereka dan perbincangan sedang dijalankan manakala di Selangor program itu akan dilaksanakan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO).

“Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 12 masjid terpilih menyediakan khidmat kaunseling kepada mangsa keganasan rumah tangga ini,” katanya menjawab soalan tambahan Nor Azrina Surip (PH-Merbok) di Dewan Rakyat.

Nor Azrina dalam soalan tambahan mahu mengetahui sama ada program masjid sebagai pusat transit mangsa keganasan rumah tangga dilaksanakan di negeri lain selain Wilayah Persekutuan.

Menjawab soalan asal Nor Azrina mengenai jumlah mangsa keganasan rumah tangga yang berlindung di pusat transit masjid, Zailah berkata, setakat hari ini, seorang mangsa keganasan rumah tangga mendapat perlindungan di Masjid Wilayah Persekutuan.

Katanya, inisiatif masjid sebagai pusat transit itu adalah di bawah Pelan Pengimarahan Masjid Wilayah Persekutuan 2020- 2024.

“Ia dilaksanakan bagi memperluaskan fungsi masjid sebagai pusat komuniti setempat yang menyediakan pelbagai kemudahan meliputi keperluan psikososial dan rohaniah (spiritual).

“Program berkonsepkan perlindungan segera kepada komuniti dan masyarakat setempat dalam kalangan ahli kariah masjid ini diberi kepada mangsa keganasan rumah tangga sama ada lelaki atau wanita tanpa mengira agama.

“Di Wilayah Persekutuan, mangsa boleh mendapatkan perlindungan di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Masjid Al-Ghufran Pinggiran Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

“Di pusat transit, mangsa akan diberi kaunseling dan bimbingan rohaniah oleh pegawai masjid serta pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terlatih. Mangsa akan tinggal di asrama, diberi makan minum sepanjang berada di situ, selain disediakan set persalinan pakaian, selimut, tuala dan peralatan kebersihan diri.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Nor Azrina mengenaipenubuhan pusat sosial setempat, katanya satu akan dibuka di Kelantan manakala dua lagi akan dilaksanakan secara bergerak. -Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts