Masjid pertama di Malaysia miliki gimnasium

 

PASIR PUTEH – Masjid Mukim Sri Aman di sini melakar sejarah baharu apabila menjadi pusat ibadah pertama yang memiliki kemudahan gimnasium di negara ini.

Pengerusinya, Ab Razak Mat Saad berkata, kemudahan itu diwujudkan untuk memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan ahli kariah sekali gus meningkatkan tahap kecergasan mereka untuk beribadah.

“Bila tubuh sihat dan cergas, dapatlah kita beribadah kepada ALLAH sebaik mungkin. Ini merupakan salah satu usaha yang kami lakukan dalam mempelbagaikan peranan masjid supaya tidak tertumpu kepada ibadah semata-mata,” katanya kepada pemberita ketika Majlis Pelancaran Gimnasium Masjid Mukim Sri Aman di sini, hari ini yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, Tuan Saripuddin Tuan Ismail.

Ahli kariah Masjid Mukim Sri Aman mengikuti kelas senaman ringkas yang dikelolakan oleh jurulatih kecerdasan.

Menurut Ab Razak, kemudahan itu diharap mampu memberikan manfaat kepada kira-kira 1,000 ahli kariah dalam mengamalkan gaya hidup sihat dan bagi memastikan harapan itu mencapai sasaran, pihak masjid telah menyediakan jurulatih khas.

“Budaya (hidup sihat) ini turut dipraktikkan kepada kalangan kaum muslimat bagi memastikan mereka terlibat sama tetapi bagi muslimat, aktiviti dilakukan secara berasingan di sebuah dewan khas.

“Selain itu, kita yakin dan percaya kemudahan ini mampu menarik orang ramai untuk mengimarahkan masjid terutama golongan muda,” katanya.

Tuan Saripuddin (kiri) turut hadir memberikan sokongan dan sumbangan kepada ahli kariah Masjid Mukim Sri Aman.
Ab Razak berkata, kos untuk menyediakan gimnasium itu mencecah RM17,000 dan ia menggunakan duitnya sendiri sebagai permulaan.

Beliau berkata, buat masa ini pihaknya masih mengalu-alukan sumbangan orang ramai untuk melengkapkan keperluan yang berkaitan.

Menurutnya, peralatan itu boleh digunakan oleh ahli kariah secara percuma dan ia akan dikenakan sedikit bayaran pada masa hadapan untuk kos penyelenggaraan.

“Setiap kali azan berkumandang perkhidmatan gimnasium akan dihentikan sementara waktu untuk solat berjemaah,” katanya.- Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts