Masjid Terapung di Kuching simbol keagungan syiar Islam

 

MASJID Terapung, yang terletak di tebing Sungai Sarawak, menjadi tarikan terbaharu di bandar raya ini selepas Jambatan Darul Hana.

Masjid yang bernilai RM21 juta dirasmikan Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud pada 1 Mac lalu, mampu menampung 1,600 jemaah pada satu-satu masa, selain mempunyai reka bentuk menarik dan menjadi simbol keagungan syiar Islam di Kuching.

Tatkala waktu senja, panaroma sekitar masjid bertambah mengasyikkan apabila ia dilimpahi dengan cahaya keemasan matahari terbenam menampakkan lagi seni binanya yang agung.

Di sebelah malam pula, Masjid Terapung yang dibina di atas tapak warisan jalan Kuching itu akan diterangi dengan lampu LED pelbagai warna bagi menaikkan seri dan suasana di tebingan sungai itu.

Penduduk setempat, Nur Apriyani Abdul Razak, 18, berkata, dia terpesona dengan keindahan seni bina masjid itu, selain kemudahannya yang selesa.

“Tempat berwuduk juga selesa, disediakan di luar dan dalam. Selain itu, kita akan rasa selamat ketika beribadah kerana masjid berkenaan turut disediakan dengan pengawal keselamatan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui.

Sementara itu, pengunjung dari Selangor, Hafizul Hakimi, 26, berkata, dia tidak menjangka tebingan Sungai Sarawak turut mempunyai Masjid Terapung seperti di Melaka dan Terengganu.

“Sebelum ini, saya hanya tahu mengenai jambatan Darul Hana, sekali berkunjung ke sini rupa-rupanya ada satu lagi mercu tanda terbaharu di Bumi Kenyalang ini.

“Panaromanya sungguh indah apabila menyusuri tebingan sungai ini dengan Sarawak River Cruise pada waktu senja,” katanya.

Masjid, yang memiliki ciri rekaan dan binaan Timur Tengah, itu turut dibuka kepada orang awam bukan beragama Islam yang diberi peluang melihat sendiri rekaan dalamannya.

Ketika berucap pada majlis perasmian Masjid Terapung itu baru-baru ini, Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pembinaan masjid tersebut, hasil cetusan idea dari Abdul Taib, selari dengan usaha untuk memperindahkan kawasan tebingan Sungai Sarawak.

“Kami menjangkakan kerja menaik taraf kawasan tebingan ini, yang bermula dari Kampung Sungai Bedil hingga ke Kampung Tanjung, siap dalam tempoh dua tahun.

“Ia seterusnya memenuhi aspirasi menjadikan Kuching sebagai bandar raya cantik, bersih dan selamat.

“Kedudukannya yang strategik serta bersebelahan Kuching Waterfront mengubah mengubah landskap setempat, sekali gus berpotensi menjadikannya sebagai ikon terbaharu,” katanya. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts