MEDAC – Jakim jalin kerjasama strategik tingkat pencapaian usahawan halal

Islam menitik beratkan soal kesucian dan kebersihan dalam seluruh aspek kehidupan. Pemakanan halal menjadi elemen terpenting dalam kehidupan seharian manusia di dunia.

Permintaan pasaran halal semakin meningkat kerana wujudnya kesedaran dalam kalangan pengguna terhadap kewajipan mencari produk yang halal.

Pensijilan halal adalah satu jaminan kualiti bahawa produk atau perkhidmatan yang disediakan oleh usahawan dan koperasi adalah bersih dan selamat digunakan selain memenuhi keperluan dari segi syariat Islam.

Dari aspek perniagaan, usahawan dan koperasi boleh melebar luas rangkaian pasaran produk dan perkhidmatan mereka hingga ke peringkat antarabangsa.

Bagi industri halal, dijangkakan bahawa menjelang 2030, pasaran halal global dianggarkan mencecah USD5.0 trilion manakala pasaran domestik pula dianggarkan mencecah USD113.2 bilion.

Ini menunjukkan bahawa industri halal kekal mempunyai potensi yang besar untuk diperkasakan dengan strategi terancang dan inklusif.

SPHM yang dikeluarkan oleh Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) adalah perakuan halal yang dipercayai di peringkat domestik dan antarabangsa.

Sejajar dengan kejayaan Jakim memperoleh pengiktirafan akreditasi berdasarkan standard antarabangsa iaitu ISO/ IEC 17065 yang dikeluarkan oleh Jabatan Standard Malaysia, membuktikan bahawa kualiti pensijilan Halal Malaysia setara dengan pensijilan lain di seluruh dunia.

Sehingga kini, Jakim mengiktiraf 84 badan pensijilan halal luar negara daripada 46 negara di seluruh dunia.

“Pencapaian ini jelas menunjukkan kepentingan Jakim dalam menyumbang perkembangan positif terhadap pensijilan halal global melalui acuan pengurusan pensijilan Halal Malaysia,” katanya.

Jakim antara jabatan yang turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC) dan libat urus pelbagai organisasi lain untuk menjadikan Malaysia sebagai peneraju sektor halal global.

Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) Domestik 2020 dan Sistem Pengurusan Halal Malaysia (MHMS) digunakan bagi memberi penjelasan terperinci berkenaan perlaksanaan dan pematuhan prosedur.

Dokumen itu turut menjadi rujukan bagi kegunaan pihak berkuasa, usahawan dan pengguna bagi mengetahui dan memahami keperluan sistem kawalan halal.

“Rujuk Bahagian Pengurusan Halal JAIN masing-masing sekiranya permohonan pensijilan halal mereka diuruskan oleh pihak berautoriti berkenaan,” kata Bukhari.

Tegasnya, pengeluaran SPHM adalah tertakluk kepada garis panduan dan piawaian yang ditetapkan oleh Jakim atau JAIN dan pemohon perlu mematuhinya.

Peraturan dan prosedur berkaitan SPHM adalah terpakai untuk semua syarikat tidak kira berstatus Bumiputera atau sebaliknya.

“Sekiranya terdapat ketidakpatuhan, proses permohonan akan tergendala. Pensijilan halal merujuk kepada proses permohonan produk dari sudut pengurusan, penyembelihan, kebersihan, kawalan kualiti, penyimpanan, penghantaran dan sebagainya,” jelasnya.

Dalam hal pensijilan halal, kebersihan peralatan, pengangkutan, kawasan pengeluaran dan persekitaran amat dititikberatkan. Pekerja perlu mengamalkan kod etika pekerja dan amalan kesihatan yang baik.

MEDAC bertanggungjawab menerajui pembangunan keusahawanan negara yang terancang dan bersepadu.

MEDAC menjalinkan kerjasama strategik dengan Jakim untuk meningkatkan kapasiti usahawan dan koperasi dalam industri halal di negara ini.

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak komited dalam usaha menarik lebih ramai usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dan koperasi bagi memperoleh pensijilan halal.

Usaha sama Jakim melalui Bahagian Pengurusan Halal dan MEDAC melalui Seksyen Halal bertujuan meningkatkan kesedaran serta membimbing usahawan dan koperasi mengenai permohonan Pensijilan Halal Malaysia.

Seramai 100 pegawai MEDAC dan agensi di seluruh negara menjalani kursus Halal Profesional yang diiktiraf oleh Majlis Profesional Halal Jakim.

Mereka ini dilantik sebagai Halal Development Offi cer (HDO) yang berperanan sebagai pembimbing dan pemudah cara kepada usahawan untuk mendapatkan pensijilan halal.

Mereka terdiri daripada pegawai Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), SME Corp. dan Tekun Nasional dari setiap negeri di seluruh negara.

Kerjasama MEDAC – Jakim ini adalah salah satu intervensi strategik di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi meningkatkan daya saing industri halal yang inklusif seterusnya merebut peluang pasaran halal global yang lebih besar.

Sumbangan industri halal kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dijangka akan meningkat kepada 8.1% dan penjanaan pendapatan eksport pula bernilai RM56 bilion pada 2025.

Kerjasama ini juga diperluaskan dengan perlaksanaan program HDO yang melibatkan kementerian lain seperti Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah (KPLB).

Langkah ini selari dengan Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) di bawah Teras Strategik Ke-6 iaitu “Melahirkan Lebih Banyak Juara Halal” dalam kalangan pemain industry tempatan.

Cabaran semasa Menyentuh tentang cabaran yang dihadapi oleh usahawan dalam industry halal, Jakim melihat itu sebagai satu peluang untuk memenuhi keperluan industri mengikut peredaran masa.

“Pihak industri perlu sentiasa bersedia mematuhi prosedur. Usahawan dan syarikat perlu diberi bimbingan bermula dari pemilihan bahan mentah atau ramuan, pemprosesan, pengemaskinian rekod, latihan termasuklah penjenamaan produk yang dihasilkan,” katanya.

Ujarnya, Jakim sering mengadakan siri bimbingan kepada usahawan mikro dan kecil melalui agensi pembimbing usahawan untuk membolehkan segala syarat-syarat pensijilan halal dipenuhi.

Terkini, Jakim buat julung kalinya menghimpunkan 27 agensi pembimbing usahawan dari lima kementerian dalam Persidangan Meja Bulat Bersama Agensi Pembimbing Usahawan Di Malaysia secara dalam talian pada 17 Ogos lalu untuk mengadakan sesi konsultansi berkaitan pensijilan Halal Malaysia.

“Selain itu, Jakim sentiasa mengemaskini maklumat mengenai pensijilan halal semasa menerusi portal Halal Malaysia di www.halal.gov.my, Facebook Bahagian Hab Halal Jakim serta aplikasi telefon pintar SmartHalal,” katanya.

Demi memastikan permohonan pensijilan halal dapat dilaksanakan dengan mudah, pemohon perlu cakna dengan info dan keperluan semasa termasuk mengikut prosedur dengan teliti dan lengkap.

“Elak penggunaan pihak ketiga yang tidak berdaftar kerana ia hanya menambahkan bebanan dari aspek masa dan kos.

“Melalui saluran maklumat dan bimbingan yang betul, saya percaya perkembangan industri halal dapat dirancakkan selain mencapai perkembangan yang positif bagi pensijilan Halal Malaysia,” katanya menutup perbualan.

Skim Pensijilan Halal Malaysia Bagi memenuhi kehendak dan keperluan syarikat dan usahawan, sembilan skim turut diperkenalkan iaitu:

  • Produk makanan & minuman
  • Kosmetik
  • Farmaseutikal
  • Premis makanan
  • Barang gunaan
  • Perkhidmatan logistik
  • Rumah sembelihan
  • Pengilangan kontrak atau OEM
  • Peranti perubatan

sumber: Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
1
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts