Melayu Islam lebih awal diami Australia

 

BANGI – Penemuan pelbagai bahan arkeologi membuktikan pelaut Islam Melayu Makasar sudah mendiami benua itu lebih awal bersama masyarakat pribumi Australia sebelum kedatangan Kapten James Cook pada 1770.

Penemuan kubur masyarakat Makasar di Broome, pesisir Barat Australia dan lukisan di gua batu di sana dapat disandarkan bagi membuktikan keberadaan mereka di bahagian utara serta barat Australia itu.

Malah sehingga kini hampir 250 perkataan oleh masyarakat pribumi Australia yang terus digunakan masyarakat Makasar dan begitu sebaliknya.

Meskipun penemuan fakta itu enggan diterima sesetengah pihak tetapi percanggahan pendapat mengenai siapa yang lebih awal menemui benua Australia yang asalnya disebut ‘pulau besar’ itu bukanlah sesuatu yang baharu.

Malah di negara itu sendiri, dakwaan ‘penemuan’ Australia oleh Cook ketika menyertai ekspedisi bersama Tentera Laut Diraja British pada 1770 sudah sekian lama disanggah dan diperdebatkan.

Pengasas Sekolah Bahasa dan Pusat Islam Ashabul Kahfi Sydney, Dr Teuku Chalidin Yacob, berkata pelaut Makasar sudah mendiami Australia 150 tahun lebih awal sebelum kedatangan Cook.

Pelaut Makasar cari gamat

Beliau yang juga penulis buku Muslim Melayu Penemu Australia berkata, pelaut Makasar berada di Australia sejak abad ke-15 kerana mencari gamat bagi tujuan perdagangan.

“Pelaut Makasar berada di benua itu lebih awal dari kedatangan orang kulit putih. Mereka ke sana mengikut arah angin bagi memudahkan pelayaran dan pulang semula ke tanah air tiga bulan kemudian selepas berjaya mencari gamat.

“Meskipun tidak mempunyai rancangan menetap di benua itu, akhirnya ada juga yang tidak kembali ke tanah air disebabkan pelbagai hal.

“Pelaut yang tinggal ini ada antaranya mengahwini masyarakat orang Asli Australia dan kemudian membina keluarga di sana,” katanya pada Siri Wacana ATMA Muslim Melayu Penemu Australia: Satu Cabaran Fakta Sejarah di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.

Sesi kendalian Pengarah ATMA, Prof Dr Supyan Hussin itu turut menampilkan Profesor di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh dan pengajar di Akademi Tahfiz Al Islah, Selangor, Saiful Islam Mohamad Naser.

 

 

Masyarakat pribumi sambut baik

Teuku Chalidin yang sudah menetap di Australia sejak 25 tahun lalu berkata, kedatangan Muslim Makasar sebagai pelaut dan pedagang ke benua Australia disambut dengan baik masyarakat pribumi di situ.

“Mereka dapat membina hubungan yang baik dengan masyarakat pribumi di Australia kerana kerana kedatangan masyarakat ke sana hanya untuk mencari nafkah dan bukanlah untuk melakukan penjajahan.

“Kedatangan Cook bagaimanapun bukan hanya bertujuan melakukan penguasaan malah mereka juga menyebabkan pelbagai kemusnahan termasuk pemerkosaan terhadap penduduk di sana,” katanya.

Sementara itu, Supyan berkata, catatan awal mengenai keberadaan masyarakat Melayu Islam di benua itu perlu diperkukuhkan dengan pelbagai lagi kajian lain.

Katanya, selain kajian dibuat Teuku Chalidin, perihal keberadaan Melayu Islam di benua Australia itu sebenarnya sudah lama ditulis pengkaji Barat termasuk melalui naskhah The Voyage to Marege oleh Charles Campbell Mcknigh pada 1976.

“Catatan lain mengenainya masih tersimpan dalam bentuk manuskrip justeru kini sudah tiba masanya lebih banyak kajian dilakukan bagi memperkukuh penemuan ini,” katanya. – Berita Harian

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts