Memelihara kemuliaan nama Allah satu tanggungjawab 

Isu berkaitan kesucian nama Allah kembali timbul dan hangat diperkatakan dalam kalangan masyarakat setelah tersebarnya berita sebuah kedai serbaneka menjual stoking yang tertulis kalimah suci tersebut. Peletakan nama Allah pada tempat dan pakaian tersebut telah mencerminkan penghinaan terhadap kalimah suci berkenaan sehingga boleh menimbulkan  sensitiviti  dan kemarahan dalam kalangan umat Islam. Memandangkan isu sebegini kembali timbul dan sering kali berulang, Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan (JMWP) mengambil peluang memberi penjelasan serta menasihati pihak yang terlibat.  

Kesucian Nama Allah 

Dalam agama Islam, ungkapan nama Allah yang merupakan nama tuhan sekalian alam bagi agama Islam dan ia adalah kata nama yang suci serta tidak boleh diletakkan pada mana-mana tempat yang boleh membawa kepada penghinaan. Antara bukti kesucian nama ini di sisi umat Islam ialah kerap kali disebut dalam kitab suci al-Quran. Sebagai contoh, melalui sepotong ayat: 

وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا ۖ وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ ۚ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: “Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu, dan pulaukanlah orang-orang yang berpaling dari kebenaran dalam masa menggunakan nama-namaNya. Mereka akan mendapat balasan mengenai apa yang mereka telah kerjakan.”

(Surah al-A’raf: 180)

Ayat di atas merupakan salah satu bukti yang menjelaskan tentang kesucian nama Allah SWT serta terkandung di dalamnya nama-nama yang baik. Bahkan tokoh Islam terkemuka seperti Imam al-Ghazali turut menjelaskan bahawa lafaz Allah merupakan lafaz yang paling agung di antara 99 namanya kerana lafaz tersebut menunjukkan zat ketuhanan yang mencakupi seluruhnya. 

Malah, secara realiti atau waqi’ di Malaysia secara khususnya merujuk kepada agama Islam dan kepenggunaannya oleh umat Islam dalam berbagai aspek kehidupan harian. Antara bukti lain yang menunjukkan bahawa nama Allah mulia di sisi umat Islam ialah wujudnya nama Allah terutamanya dalam ibadat seperti lafaz syahadah atau lafaz penyaksian sebagai umat Islam beriman, disebut dalam setiap takbir ibadat solat, dilaungkan dalam alunan azan, disebut dalam setiap zikir dan setiap bacaan doa orang Islam serta lain-lain. Oleh sebab itu, kalimah ini eksklusif  dan perlu diletakkan di tempat yang tinggi dan selayaknya.  

Justeru, meletakkan nama Allah SWT pada pakaian seperti stoking dan seumpamanya adalah satu penghinaan dan persendaan terhadap kalimah ini. 

Kedudukan Kesucian Nama Allah di Sisi Islam 

Para ulama dan ilmuan Islam telah membincangkan perkara yang melibatkan kalimah Allah khususnya membabitkan golongan bukan Islam. Selain itu, terdapat banyak pandangan yang menegaskan supaya umat Islam menjaga kesucian nama ini.  

Imam al-Bujairimi menyatakan tentang hukum dan juga perihal penggunaan kalimah Allah oleh orang Islam kepada orang bukan Islam. Beliau menyatakan bahawa orang Islam diharamkan menulis apa-apa surat yang mengandungi nama Allah kepada orang bukan Islam sehingga ia terdedah kepada kesalahan yang boleh menjurus kepada penghinaan terhadap lafaz agung tersebut. Berdasarkan penjelasan ini, dapat difahami bahawa umat Islam sendiri dilarang untuk menulis nama Allah sebagai jawapan kepada orang bukan Islam kerana dikhuatiri terdedah dengan penghinaan apatah lagi kalimah ini sewenang-wenangnya digunakan oleh orang bukan Islam. 

Manakala, Dr Abdul Karim Zaidan dalam kitabnya ahkam al-Zimmiyin wa al-Musta’minin fi Dar al-Islam menjelaskan bahawa antara kewajipan mereka (zimmi) ialah  mereka hendaklah menjauhkan diri daripada perkara yang menyinggung perasaan dan kemarahan terhadap orang Islam serta melakukan sesuatu yang mengurang dan merendahkan agama mereka seperti menyebut Allah SWT, kitab-Nya, Rasul-Nya atau agama mereka dengan cara yang tidak baik. Hal ini kerana mempamerkan perbuatan yang sedemikian merupakan suatu bentuk penghinaan terhadap umat Islam, akidah dan agama Islam yang menjadi asas tertegaknya Daulah Islamiyyah.

Kenyataan-kenyataan di atas menerangkan dengan jelas batasan yang sepatutnya dipelihara oleh orang bukan Islam terutama apabila berhadapan dengan isu sensitif seperti kalimah Allah ini.

Dalam konteks negara Malaysia pula, kalimah atau nama Allah sinonim dengan nama yang Agung dan suci yang melibatkan isu berkaitan Siyasah al-Syariah (pentadbiran berasaskan syariat) yang menjadi kewajipan pihak berautoriti kerajaan untuk memeliharanya demi menjaga kesucian  agama Islam dan kepentingan nasional. Bahkan penggunaan kalimah ini juga telah difatwakan di peringkat kebangsaan. Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) Bil. Muzakarah kali ke 82 bertarikh 5-7 Mei 2008 telah memutuskan bahawa:

“Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam lain. Oleh itu wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.”

Oleh yang demikian, wajib bagi umat Islam menjaga dengan sebaik mungkin jika terdapat sebarang unsur-unsur penghinaan terhadap agama Islam terutama dalam penyalahgunaan kalimah tersebut mengikut ketetapan, peraturan dan perlembagaan yang ditetapkan di Malaysia. 

Elak Menyentuh Sensitiviti Agama 

Isu-isu yang timbul serta terkait dengan agama merupakan isu yang sensitif  dan akan menimbulkan kemarahan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat. Dalam hal ini, ia bukan sahaja berlegar dalam kalangan masyarakat, bahkan ia telah menimbul pelbagai reaksi dalam kalangan pemimpin dan pihak berautoriti, antaranya:

  • Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Dalam satu titah, baginda menyatakan bahawa kalimah Allah itu dipandang tinggi dalam sanubari umat Islam serta isu yang boleh membangkitkan kemarahan tidak sepatutnya timbul. Dalam masa yang sama, baginda turut menegur serta mengingatkan akan kepentingan akan berbilang kaum bersatu padu dan saling menghormati antara satu sama lain. Baginda juga turut menegaskan pihak berkuasa supaya mengambil tindakan yang sewajarnya di atas apa yang berlaku.

  • Pemangku Sultan Johor

Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dalam satu titah menyatakan bahawa kalimah Allah adalah kalimah suci yang sangat tinggi di hati umat Islam.Tegas baginda, isu ini tidak boleh dipandang remeh  dan berharap tidak menggugat keharmonian negara. Baginda juga  menggesa agar pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap isu berkenaan dan memastikan agar isu tersebut tidak berulang lagi.

  • Respon Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

Menurut Dato’ Seri Setia Dr Mohd Na’im Mokhtar, meletakkan nama Allah di kaki adalah satu penghinaan dan isu sebegini tidak boleh diremehkan. Tambah beliau, perkara sensitif yang membabitkan umat Islam sukar dimaafkan serta syarikat dan pemborong yang terlibat perlu mengambil iktibar atas apa yang terjadi. Beliau menjelaskan lagi, meskipun telah menerima permohonan maaf daripada syarikat terlibat, namun perlu memastikan agar tidak berulang lagi pada masa akan datang.

  • Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Datuk Hakimah Mohd Yusoff, Ketua Pengarah JAKIM menegaskan bahawa JAKIM sebagai institusi yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan memandang serius terhadap isu tersebut kerana ia bukan sahaja melibatkan sensitiviti keagamaan malahan boleh menggugat keharmonian masyarakat di negara ini.

JAKIM memberi peringatan kepada semua pengusaha, pengilang, pembekal dan pengimport untuk sentiasa cakna dan memberi perhatian serius terhadap isu-isu sensitif melibatkan agama dan kaum bagi mengekalkan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat keseluruhannya di negara ini.

Dalam masa yang sama, semua pihak dinasihatkan untuk tidak membangkitkan isu-isu lama yang menyentuh aspek 3R (Agama, Raja dan Kaum) dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan. 

Melalui kenyataan-kenyataan daripada pemimpin dan pihak berautoriti di atas, jelas bahawa isu sebegini telah menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat dan pemimpin agama Islam. Isu ini merupakan isu yang sensitif dan tidak boleh dipandang enteng sama sekali oleh umat Islam. Perbezaan dari sudut ideologi politik tidak patut membutakan mata hati nurani umat Islam untuk melihat kebenaran dan menyedari kenyataan bahawa terdapat usaha-usaha musuh-musuh merendahkan dan meremehkan agama Islam secara terbuka.

Respon Dan Nasihat Buat Masyarakat Awam 

Tidak dapat dinafikan isu kalimah Allah ini telah mengundang pelbagai persepsi dan luahan daripada pelbagai individu dalam masyarakat di Media sosial. Hal ini jelas sangat berkait rapat dengan Akidah dan kedaulatan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Negara. Justeru, tidak wajar isu ini disinggung oleh mana-mana pihak dengan apa-apa alasan sekalipun demi memelihara keharmonian hubungan sesama warga yang terdiri daripada berbilang agama, bangsa, keturunan dan budaya. Umat Islam perlu bersatu dalam mendaulatkan Islam di negara ini dan berganding bahu mempertahankan agama, bangsa dan negara.

Oleh itu, dinasihatkan kepada masyarakat secara umumnya memberikan sepenuh kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menangani masalah ini supaya dapat mengelakkan dari menimbulkan sebarang spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan. 3R (Agama, Raja, Kaum)

Penutup

  1. Nama dan kalimah Allah SWT merupakan suatu lafaz yang Agung dan suci bagi umat Islam yang mana ia perlu diletakkan di tempat yang mulia dan selayaknya. 
  2. Perbuatan meletak atau mencetak nama Allah pada stoking kaki merupakan satu penghinaan dan telah mencemarkan kesucian kalimah ini. Perkara sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana ia bukan sahaja boleh menimbulkan kemarahan umat Islam malah dibimbangi akan menjejaskan keharmonian masyarakat yang berbilang agama. 
  3. Pihak yang terlibat seharusnya mengambil perkara ini sebagai pengajaran supaya isu sensitif sebegini tidak berulang. Dalam pada itu, masyarakat awam juga dinasihatkan supaya tidak terburu-buru atau melakukan sebarang tindakan yang boleh mengeruhkan keadaan sebaliknya memberi sepenuhnya kepercayaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan tugas dan siasatan. 

WallahuA’lam. 

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts