Mengapa arak diharamkan?

Pengaharaman arak semenjak sekian lama diketahui umum dalam kalangan masyarakat Islam. Lebih 14 abad yang lalu sebelum kedatangan syariat Islam, amalan minum arak menjadi sebahagian budaya dan kebiasaan masyarakat Arab Jahiliah.

Mereka beranggapan minum arak cara untuk menikmati keseronokan hidup. Sebahagian budaya masyarakat pula menganggap menjamu arak adalah bertujuan memuliakan dan meraikan tetamu.

Mereka sanggup membayar dengan harga yang mahal bagi mendapatkan jenama arak terbaik kerana ia juga melambangkan status sosial. Amalan menyajikan arak sebagai minuman di dalam majlis keraian, keramaian dan perayaan tertentu bukan sahaja berlaku di Barat, tetapi juga dalam kalangan masyarakat timur dan Asia seperti di Jepun dan Korea. Di sesetengah tempat, mengadakan upacara minum  arak bersama tetamu adalah suatu kewajiban moral, bahkan ada yang berpandangan jika tuan rumah atau tetamu tidak turut serta minum  arak dalam sesuatu majlis, tindakan tersebut dianggap sebagai tidak beretika dan bermoral.

Namun,  syariat Islam dengan tegas menegah dan mengharamkan perbuatan minum arak yang memabukkan kerana lebih banyak mendatangkan kemudaratan dan kesan buruk dalam kehidupan. Berdasarkan ijmak ulama, penentuan hukum pengharaman arak adalah berasaskan sifat minuman itu yang memabukkan. Justeru pengharamannya adalah ke atas semua jenis minuman yang memabukkan walau apa pun asal dan jenamanya.

Perkara tersebut berdasarkan sebuah hadis daripada Abu Malik bin al-Asy’ari RA yang mendengar Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Demi sesungguhnya manusia di kalangan umatku akan minum arak yang mereka menamakannya dengan nama yang lain.”

Perintah pengharaman arak dilakukan secara beransur-ansur kerana perkara tersebut menjadi amalan yang sebati dalam kehidupan. Masyarakat Arab Jahiliyah menganggap arak sebagai ubat dalam menangani beberapa gejala penyakit.

Justeru ada individu yang baru memeluk Islam cuba memberitahu Rasulullah SAW dengan menyatakan arak adalah ubat. Namun baginda menyanggah pandangan tersebut dengan bersabda yang bermaksud: “Ia bukan ubat, bahkan arak sebenarnya punca kepada penyakit.”

Peringkat pertama pengharaman arak dilakukan melalui penjelasan tentang kebaikan dan keburukan arak sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud:

“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya dan mereka bertanya pula kepadamu: Apakah yang mereka akan belanjakan (dermakan)? Katakanlah: Dermakanlah (apa-apa) yang berlebih daripada keperluan (kamu). Demikianlah Allah menerangkan kepada kamu ayat-ayat-Nya (keterangan-keterangan hukum-Nya) supaya kamu berfikir.” 

Ayat berkenaan  memberikan kesedaran dan keinsafan kepada golongan yang beriman agar menjauhi arak dan judi.

Peringkat kedua pengharaman arak adalah ditegah pengambilannya ketika hampir waktu solat sebagaimana firman Allah SWT dalam bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci. Dan jika kamu sakit atau sedang dalam musafir, atau salah seorang di antara kamu datang dari tempat buang air atau kamu bersentuh dengan perempuan, kemudian kamu tidak mendapat air (untuk mandi atau berwuduk), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah – debu, yang suci, iaitu sapukanlah ke muka kamu dan kedua tangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Pemaaf, lagi Maha Pengampun.”

Perintah tegahan minum arak dalam ayat itu diturunkan sewaktu peristiwa seorang sahabat menunaikan solat dalam keadaan mabuk dan melakukan kesilapan ketika membaca ayat suci al-Quran.

Peringkat ketiga adalah pengharaman arak yang dilakukan secara mutlak.

Firman Allah SWT dalam yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya. Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu, mahukah kamu berhenti (daripada melakukan perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil)?”

Perintah tegas larangan minum arak diturunkan susulan majlis jamuan golongan Muhajirin dan Ansar. Apabila ramai dalam kalangan mereka yang mabuk, mereka mula bermegah sehingga menghina dan mencaci sesama sendiri serta akhirnya mencetuskan pergaduhan.

Arak memudaratkan dan memberikan kesan yang buruk kepada agama, nyawa, akal, keturunan, maruah dan harta yang menjadi perkara penting untuk dipelihara selaras dengan prinsip maqasid syariah.

Maka tidak hairan jika ia disifatkan sebagai kunci segala kejahatan  dan punca segala kerosakan serta kemungkaran sebagaimana sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Hendaklah kamu menjauhi arak kerana ia punca segala kejahatan dan kerosakan.”

 Di Malaysia misalnya, beberapa tahun kebelakangan ini, kes kemalangan jalan raya akibat pemandu mabuk begitu ketara sehingga mengakibatkan kematian orang tersayang. Begitu juga kes pembunuhan insan yang tidak bersalah, merogol dan memperkosa berlaku disebabkan kesan buruk akibat pengambilan arak.

Berdasarkan kajian, kesan buruk pengambilan alkohol dan arak termasuk memperlahankan tindak balas, membataskan dan menjejaskan penglihatan, mengganggu fokus dan tumpuan, tubuh badan tidak bermaya, melakukan tindakan yang tidak rasional dan pelbagai kesan fizikal dan mental yang lain.

Di Wilayah Persekutuan, peruntukan di bawah Akta Kesalahan  Jenayah Syariah  (Wilayah-Wilayah  Persekutuan) 1997 menegah orang Islam daripada terlibat dalam sebarang aktiviti berkaitan arak dan minuman memabukkan. Di bawah Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Kesusilaan, Seksyen 19 menyatakan bahawa: Mana-mana orang yang, di mana-mana kedai atau tempat awam lain, minum apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya; Mana-mana orang yang membuat, menjual, menawarkan atau mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli apa-apa minuman yang memabukkan adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Hakikatnya, syariat dan hukum pengharaman arak khususnya bagi umat Islam lebih 1,400 tahun yang lalu adalah bertujuan memelihara kesejahteraan kehidupan manusia dan masyarakat sama ada dari aspek fizikal, mental dan spiritual.

Justeru usahlah diragui segala hikmah yang terkandung dalam syariat ciptaan Tuhan, kerana hanya dengan kehidupan yang berlandaskan syariat dapat melahirkan insan berkualiti sekali gus membangunkan ketamadunan ummah yang gemilang dan harmoni.

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) -My Metro

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM
5622 6352 7695 (Maybank Islamik)

Total
52
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts