Menjaga keharmonian dalam kerangka Perlembagaan: Timbalan Mufti

 

KEUNIKAN Malaysia adalah kepelbagaian rakyatnya dari sudut agama, bangsa, bahasa dan budaya. Kepelbagaian ini sememangnya satu fenomena yang sejak dari awal lagi diiktiraf kewujudannya di dalam al-Quran.

Firman Allah SWT : Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). (QS al Hujurat :13)

Mengurus sebuah negara yang multi-racial, multi-etnik dan multi-agama ini dan mengekalkannya di dalam keamanan adalah satu tugas yang besar dan mencabar. Ini disebabkan setiap kumpulan mempunyai kehendak-kehendak dan tuntutan tersendiri dan sudah tentu jika setiap kumpulan sebebas-bebasnya menuntut setiap kehendak mereka maka pertembungan sesama kumpulan-kumpulan yang bertentangan ini sukar untuk dielakkan. Negara kita juga mempunyai pengalaman-pengalaman pahit dalam beberapa insiden yang berlaku.

Di samping usaha-usaha pemupukan nilai-nilai hidup harmoni, bekerjasama, saling hormat-menghormati melalui pendidikan dan sebagainya sesama rakyat di negara ini, undang-undang negara juga perlu digubal dan dikuatkuasakan untuk menghadapi tindakan ekstrim golongan-golongan tertentu di dalam menuntut hak-hak mereka.

Semua pihak yang berkepentingan di negara ini perlu akur dengan kedudukan Islam sebagai agama negara, mempunyai kedudukan yang tertinggi dan istimewa dalam susuk tubuh negara ini. Ini sangat wajar kerana Islam telah melatari sejarah rantau ini dan sangat kukuh terpasak di kalangan orang melayu yang menghuni lama negara ini berbanding dengan orang-orang lain.

Tuntasnya Malaysia merupakan sebuah negara Islam, di mana Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan. Namun, pada masa yang sama agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Perkara 11(1), Perlembagaan Persekutuan pula memperuntukkan bahawa: “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.”

Berdasarkan kepada peruntukan di atas, jelas membuktikan bahawa orang Islam berhak menganuti dan mengamalkan agama Islam sebagai cara hidup mereka. Fasal (4) pula menyebut bahawa undang-undang boleh dibuat untuk mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa iktikad atau kepercayaan agama lain terhadap umat Islam.

Islam telah diberikan hak dan kedudukan istimewa oleh Perlembagaan. Di samping itu, Islam tidak pula menyekat hak kebebasan mengamalkan agama bagi penganut-penganut agama lain. Walau bagaimanapun, itu tidak bermakna kebebasan tersebut adalah mutlak kerana ia masih tertakluk kepada Perkara 11(4) yang menyekat penyebaran agama bukan Islam di kalangan umat Islam. Kebebasan hak asasi manusia turut dijamin oleh Perlembagaan di bawah Bahagian II. Namun, ia tertakluk pula kepada syarat-syarat tertentu seperti ketenteraman awam, kesihatan awam dan prinsip moral yang merupakan hak awam.

Memang diakui sensitiviti antara agama sangat tinggi di negara ini dan ia perlu diurus dengan bijaksana dan penuh hikmah. Di negara kita Akta Keharmonian Nasional dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2012 dan masih dalam peringkat rang undang-undang bagi menggantikan Akta Hasutan 1948, yang akan dimansuhkan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap mereka yang menggunakan isu-isu sensitif yang boleh memecahbelahkan perpaduan nasional.

Baru-baru ini lebih 300 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, membantah penggubalan Akta Keharmonian Nasional yang menggugat kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan
mendapati ia tidak meletakkan Islam pada kedudukan sepatutnya. Hasil penelitian terhadap Rang Undang-undang itu mendapati ada beberapa perkara pokok yang masih perlu diperhalusi oleh pihak kerajaan.

Antaranya wujud elemen untuk menyamaratakan Islam dengan agama-agama lain kuasa yang diberikan kepada Suruhanjaya Keharmonian menerusi akta itu cukup besar, yang mana mereka tidak boleh dikenakan tindakan mahupun disaman. Mereka seperti ada imuniti, ada kuasa besar sehingga boleh menyentuh isu-isu berkaitan agama Islam. Kuasa mereka boleh mengugat agama Islam yang hakikatnya di bawah kuasa negeri-negeri serta Raja-Raja Melayu.

Penggubalan Undang-undang berkenaan adalah usaha yang sangat baik dan wajar disokong untuk menjaga perpaduan di kalangan penduduk negara ini namun ketika proses penggubalan, hendaklah dilibatkan sekali para ulama, Badan-badan Bukan Kerajaan Islam, para pengamal undang-undang di kalangan peguam Muslim, para akademia dan sekali-kali menjaga tonggak asas negara bahawa Islam adalah agama persekutuan dan isu-isu agama Islam adalah dibawah kuasa Sultan dan negeri.

Sahibus Samahah Ustaz Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts