Musabaqah Cilik TaHa inisiatif TH martabatkan al-Quran kalangan pelajar sekolah

KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Haji (TH) menerusi Kelab TaHa berhasrat meneruskan program Musabaqah Cilik TaHa Peringkat Kebangsaan pada tahun-tahun akan datang dan merancang penganjurannya diluaskan bagi pelajar sekolah menengah.

TH dalam kenyataan menyebut Musabaqah Cilik TaHa yang telah dilaksanakan sejak 2022 mempunyai objektif utama untuk membudayakan pembacaan dan melahirkan generasi cintakan al-Quran dalam kalangan pelajar sekolah.

Pada 22 Disember lepas, Musabaqah Cilik TaHa Peringkat Kebangsaan 2023 telah diadakan di Dewan Besar TH, Menara TH Jalan Tun Razak di sini yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi TH.

Program tersebut adalah khusus kepada pendeposit TH yang merupakan ahli Kelab TaHa yang berumur 7 hingga 12 tahun untuk menunjukkan potensi dan bakat mereka mengalunkan ayat-ayat al-Quran.

Musabaqah Cilik TaHa 2023 telah dilaksanakan di seluruh negara sejak September tahun lepas yang mendapat sambutan lebih 1,000 penyertaan.

Johan qari dan qariah Musabaqah Cilik TaHa peringkat negeri seterusnya bertanding di peringkat wilayah melibatkan Wilayah Utara, Tengah, Selatan, Timur serta Sabah dan Sarawak sebelum merebut gelaran johan qari dan qariah Musabaqah Cilik TaHa Peringkat Kebangsaan 2023.

Muhammad Aqeef Ahmad Zuhdi, 12, yang mewakili Wilayah Utara telah dinobatkan sebagai johan qari manakala Nur Qiesya Zhafirah Mohammad Ramdan, 10, yang mewakili Wilayah Sabah/Sarawak dinobatkan sebagai johan qariah.

Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM1,000 dan barangan cenderahati Kelab TaHa.

Dalam kenyataan sama, Pengarah Eksekutif Operasi TH Mohamed Ameen Abdul Wahab berkata penganjuran musabaqah itu antara inisiatif TH untuk memartabatkan al-Quran dalam diri para pelajar sekolah.

Beliau berkata ia juga sebagai usaha TH mendekati pendeposit muda selain menyampaikan kelebihan menyimpan di institusi kewangan Islam itu.

“TH melalui program ini yakin bahawa platfom ini dapat menarik minat pelajar sekolah untuk menjadikannya sebagai batu loncatan untuk mewakili negara di persada antarabangsa, insya-Allah,” katanya. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts