Sepakat jayakan kempen World #QuranHour

image

 

SHAH ALAM – Semua wakil media menyuarakan kesanggupan menjayakan World #QuranHour pada 9 Zulhijjah nanti. Pengurus Saluran Astro Oasis, Ahmad Fuad Mat Ali berkata, program itu tidak mustahil dijayakan, lebih-lebih lagi ia dilakukan secara bersama dengan agensi media lain.

“Kempen ini lebih kepada satu umat, untuk menjayakan program ini perlu dibuat dari semua segi. Lepas ini kita akan duduk semeja untuk berbincang semula. Saya tengok tadi semua orang (wakil media) setuju.

“Cuma berapa dan macam mana kita nak buat itu, kita kena duduk bincang sekali lagi. Mungkin RTM dan Media Prima ada bahagian, kepakaran dan kemudahan yang boleh digunakan (siaran langsung),” katanya selepas majlis Sinergi Media-media Malaysia World #QuranHour di Dewan Muhammad V, Kumpulan Media Karangkraf, semalam.

Ahmad Fuad berharap World #QuranHour akan melonjakkan kesedaran umat Islam, bukan sahaja di negara ini, bahkan seluruh dunia untuk kembali kepada al-Quran.

“Kita kena gerak dan timbulkan semula minat baca al-Quran itu. Kadang-kala ia dibuat dalam skala yang kecil atau kapasiti yang begitu terhad.

“Dengan kempen besar-besaran ini, saya harap ia jadi satu momentum untuk menyedarkan seluruh umat Islam tentang pentingnya kembali kepada al-Quran,” katanya.

Bagi Pengarah Operasi Perkhidmatan Audio Visual Bernama TV, Hakimi Mohd Zain pula menyatakan komitmen tinggi untuk menguar-uarkan program itu sepanjang tempoh 40 hari sebelum berlangsungnya World #QuranHour di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa (UIAM).

“Di Bernama TV, kita akan buat promo dan apa yang patut dari segi media sosial, kandungan program TV, insya-ALLAH kita boleh jayakan,” katanya.

Bernama TV katanya juga, merancang untuk membuat siaran langsung bersama stesen TV tempatan lain pada hari tersebut.

Pengarang Utusan Melayu (M) Berhad, Zulkefli Hamzah pula menyahut usaha tersebut dalam menjadikan al-Quran sebagai matlamat semua orang, khususnya umat Islam.

“Kita akan bersama dalam usaha itu, terutamanya beberapa hari sebelum tarikh 9 Zulhijjah, kita akan gerakkan momentum itu dengan lebih luas lagi, terutamanya kepada pembaca-pembaca Utusan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar, Pengurusan Kumpulan Penjenamaan dan Perisian Media Prima, Siti Nurlisia Mohd Nadzri berkata, pihaknya turut mempunyai program keagamaan dan inisiatif Kumpulan Media Karangkraf itu perlu dipandang positif.

“Sebagai seorang Islam, kita kena junjung al-Quran itu, jadi kita memandang baik dan positif terhadap kempen yang diuar-uarkan oleh pihak Karangkraf,” katanya.

Ditanya kesediaan Media Prima membuat siaran langsung World #QuranHour pada 9 Zulhijjah ini, katanya, pihaknya perlu membuat perbincangan lanjut dengan pihak pengurusan sebelum membuat komitmen.

“Insya-ALLAH, ini taklimat pertama kita dapat, kita akan balik dan berbincang dengan pihak perisian kita dan juga pengurusan mengenai perkara ini,” katanya.

Ketua Seksyen Perhubungan Media dan Publisiti RTM, Purkhan Mokhtar pula berkata, inisiatif itu memudahkan umat Islam mendekatkan diri kepada al-Quran terutama generasi muda dan warga emas yang masih tercari-cari kaedah sesuai untuk mendalaminya.

“Diharapkan usaha sebegini dapat berterusan, pertemuan dengan semua media elektronik, cetak dan TV untuk memberi persetujuan membantu menjayakan program ini,.

“Dalam saluran radio, kita boleh beri kesedaran kepada masyarakat untuk meluangkan masa mendekatkan diri dengan al-Quran dan ini sesuatu yang boleh dilaksanakan,” katanya.

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/nasional/sepakat-jayakan-kempen-world-quranhour-1.548157

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts