Nadhiroh wakili negara pertandingan hafazan antarabangsa di Jordan

12924538_1268781143135979_4719476995839140674_n

Anak ketiga bagi pasangan aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Gombak berpeluang mengharumkan nama negara di pertandingan hafazan antarabangsa di Amman, Jordan.

Nadhiroh Mohd Asri, 20, telah dipilih oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mewakili negara ke pertandingan International HashemiteCompetition For Females of Holy Quran Recitation and Memorization yang akan berlangsung pada 7 hingga 15 April.

Pelajar jurusan undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Petaling Jaya itu bertanding bagi kategori hafazan 30 juzuk.

Nadhiroh ketika dihubungi Ismaweb hari ini berkata, beliau pada awalnya dilema untuk menerima tawaran daripada Jakim itu, namun sokongan kedua ibu bapanya memberi keyakinan kepada beliau untuk menyertai pertandingan tersebut.

“Tempoh untuk membuat keputusan sama ada terima atau tidak tawaran itu sangat singkat, tetapi abi (ayah) bagi sokongan semangat dan saya buat keputusan untuk terima.

“Tambah lagi, tawaran itu datang ketika saya agak sibuk dengan program persatuan dan universiti,” katanya.

Nadhiroh sebelum ini adalah Naib Juara dalam pertandingan hafazan peringkat kebangsaan mewakili negeri Selangor.

Beliau ketika ditanya persediaan menghadapi pertandingan berkata, setiap hari akan mengulang sekurang-kurangnya 2 juzuk dan maksimum sebanyak 4 juzuk.

“Saya memang tekankan betul-betul rutin mengulang setiap juzuk yang saya hafaz. Selain itu, saya lebih menjaga kesihatan saya untuk elak daripada menganggu aktiviti hafazan dan sewaktu pertandingan.

“Persediaan akhir juga ialah menjaga hubungan dengan Allah dan manusia serta menyelesaikan sebarang tanggungjawab di sini sebelum berangkat ke Jordan, awal pagi esok,” katanya.

Nadhiroh yang mula menghafaz Al-Quran seawal usia 6 tahun itu berkata, beliau akan cuba melakukan yang terbaik untuk negara.

“Apa yang saya harapkan hanya mahu ‘perform’ yang terbaik pada pertandingan nanti kerana semua peserta yang menyertai sudah tentu hebat-hebat,” katanya.

Nadhiroh akan berlepas ke Jordan bersama ibu bapanya pada awal pagi esok.

Ustaz Mohd Asri Hashim adalah mantan Yang Dipertua Isma Gombak dan kini menjadi ahli jawatankuasa cawangan.

Manakala, ibu beliau Ustazah Junainah Abd Samad pula kini memegang jawatan Timbalan Ketua Biro Tarbiyah Isma Gombak.

Sumber: http://www.ismaweb.net/2016/04/nadhiroh-wakili-negara-pertandingan-hafazan-antarabangsa-di-jordan/

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts