Nama Malaysia bergema, dipuji bijak urus jemaah haji

MAKKAH – Bukan sekali tetapi lebih daripada 10 kali nama Malaysia bergema bersama pujian serta penghargaan ketika berlangsungnya Simposium Perdana Haji di Makkah pada Isnin.

Majlis yang menghimpun pemimpin dari pelbagai negara Islam itu turut menjadi saksi pada pengiktirafan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) dalam membentuk sistem teratur dan terkini pada setiap kali musim haji.

Lebih membanggakan ia dinyatakan sendiri oleh Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr Taufiq Fawzan Al-Rabiah ketika berucap serta memberi kenyataan eksklusif kepada pihak media dari tanah air.

Beliau berkata, adalah wajar negara lain mempelajari strategi yang dilaksanakan Malaysia dalam mendidik jemaah haji, terutama dari segi pelaksanaan dan pemahaman rukun Islam kelima itu.

“Kami menghargai apa yang kerajaan Malaysia lakukan untuk memberi jemaah latihan, persediaan, pendidikan…ia menjadikan ibadah haji lancar dan selamat.

“Kami mengharapkan (lebih banyak) kerjasama dengan kerajaan Malaysia. Kami berbesar hati dengan kerjasama yang telah kita lakukan bersama dan saya merancang untuk melawat Malaysia tidak lama lagi, insya-ALLAH,” katanya selepas pertemuan khas bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.


Turut hadir Pengerusi TH, Tan Sri Azman Mokhtar; Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin dan Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman.

Selain itu, Taufiq Fawzan berkata, persediaan awal dengan melaksanakan kursus secara berfokus telah membantu jemaah haji Malaysia melakukan ibadah haji dengan mudah meskipun terpaksa berdepan dengan cabaran, terutama ketika dalam ihram.

“Latihan yang diberikan kerajaan Malaysia harus diikuti oleh negara lain…kami menghargai impak besar yang diberikan jemaah Malaysia. Latihan yang betul menjadikan mereka tahu apa yang perlu dilakukan dan ke mana ingin pergi. Ia satu contoh yang baik,” katanya.-Sinar Harian


www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts