Normalisasi melalui permainan istilah: Timbalan Mufti Perak

 

1. SECARA mudahnya, normalisasi ialah satu proses yang menjadikan sesuatu yang agak asing dan luarbiasa menjadi tidak asing lagi dan diterima umum. Barangkali ini yang diungkap di dalam pepatah melayu “alah bisa tegal biasa”.

2. Proses ini sangat baik dalam keadaan-keadaan tertentu dan sangat bahaya dalam keadaan-keadaan tertentu. Contoh normalisasi yang baik ialah satu ketika dahulu adalah tidak normal melihat anak-anak gadis Muslimah menutup aurat ketika berada di sekolah mahupun tempat-tempat umum. Bahkan mahasiswi yang mendalami pengajian Islam pun tidak menutup aurat secara sempurna ketika itu.

3. Namun alhamdulillah, hasil dari kehendak politik para pemimpin negara satu ketika dahulu yang secara bersungguh-sungguh melancarkan Kempen Penerapan Nilai-nilai Islam” dan kesedaran yang mencetuskan kebangkitan agama maka wanita-wanita Muslimah bertudung dan menutup aurat telah normal dan diterima oleh masyarakat serta tidak dianggap ganjil.

4. Namun jika proses normalisasi ini menjurus kepada mencairkan pegangan, penghayatan dan pengamalan agama, maka umat Islam wajar diperingatkan selalu. Umat Islam wajib sedar agar tidak terjerat dalam perangkap normalisasi ini. Adakalanya permainan normalisasi ini melalui penggunaan nama-nama dan perbahasaan.

5. Al-Quran menjelaskan bahawa salah satu cara syaitan memperdaya manusia melalui “permainan” istilah. Pendekatan ini dilakukan apabila gagal berdepan dengan hujjah-hujjah kebenaran Islam serta memperdayakan umat Islam yang kurang ilmu.

6. Para Nabi dan Rasul sebagai pembawa risalah Allah SWT digelar dengan berbagai-bagai gelaran oleh pemuka-pemuka musuh mereka, yang tidak suka sistem Allah SWT sebagai pengatur masyarakat. Mereka menghina Nabi-Nabi mereka dan menggambarkan mereka sebagai pendusta, seorang ahli silap mata, seorang penyair.Tidak sedikit di kalangan masyarakat akan terpedaya dengan strategi licik syaitan.

7. Hari ini diwujudkan istilah muslim moderate mengikut versi barat dan secara tidak langsung jika ada pihak yang menentangnya, secara automatik dianggap sebagai ekstrim. Diajak masyarakat muslim terperangkap dalam dua blok muslim sahaja, samada muslim sedehana atau muslim ekstrim walhal kedua-duanya adalah melampau.

8. Muslim yang sebenar adalah muslim yang mengikut piawai al-Quran dan al-Sunnah. Akan tetapi, mereka terpinggir dari arus perdana. Inilah sebenar bahayanya sebuah istilah!

 

 

9. Iblis memperdaya Adam A.S menggunakan istilah “syajarah alkhuldi” bermaksud pokok kekal yang jika dimakan buahnya akan menyebabkan baginda kekal di dalam syurga. Sedangkan mendekatinya pun sudah dilarang oleh Allah SWT.

10. Arak yang sudah jelas haramnya dan juga jelas hukuman kepada peminumnya juga melalui proses normalisasi melalui penggunaan istilah, untuk dimesrakan penggunaan di kalangan umat Islam.

11. Nabi ﷺ telah mengingatkan kita tentang gejala permainan istilah, agar memudahkan normalisasi arak di kalangan umat Islam melalui hadith Imam Abu Daud dan Ibn Majah dari Abu Musa al Asy’ary bahawa Nabi ﷺ pernah bersabda, “nescaya ada di kalangan umatku akan minum arak tetapi dinamakan dengan nama lain,”

12. Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pernah melaporkan, puluhan syarikat bukan Islam dipercayai mengeks­ploitasi nama dan istilah agama Islam untuk tujuan pemasaran sekali gus menjadi jalan pintas dalam melariskan produk jualan di negara ini.

13. Istilah hak asasi telah digunakan secukupnya untuk mencairkan kefahaman Islam yang sebenar, bahkan telah berjaya melonggarkan pegangan kepada Islam yang sebenar. Hak dalam Islam mempunyai dua implikasi, iaitu pertama, apa yang kita dapat dan kedua apa yang kita beri.

14. Hak asasi manusia diperjuangkan selama ini lebih menjurus kepada apa yang kita dapat yang menunjukkan perbezaan pandangan alam Barat dan Islam. Penafsiran yang tidak selari dengan kerangka itu akan mengelirukan fahaman kebebasan agama dalam Islam, lebih-lebih lagi apabila kefahaman ingin dipaksakan bertentangan kerangka pandangan Islam.

15. Dalam Islam, manusia adalah hidupan yang berkata-kata, ada roh dan jiwa (rohaniah) sedangkan istilah hak asasi manusia Barat tidak ada rohaniah. Oleh itu, kebebasan beragama dalam Islam tidak sama dengan Barat.

16. Istilah hak itu sendiri sudah ada cerminan cukup besar kerana hak dalam bahasa Arab bermaksud kebenaran, sedangkan ‘right’ ialah apa yang betul dan salah dari sudut bersifat praktikal. Tafsiran istilah mengelirukan itu yang dipaksa diterima, bertentangan dengan kerangka pandangan alam Islam dan menyebabkan perdebatan mengenai kebebasan manusia diwarnai kerangka pandangan sekular.

Sahibus Samahah Haji Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts