Orang Islam halalkan maksiat boleh menjerumus ke masalah akidah

Orang yang tenggelam dalam maksiat tidaklah merisaukan kerana ramai sahaja pelaku maksiat tegar yang bertaubat. Allah Maha Pengampun.

Tetapi yang merisaukan adalah orang Islam yang menghalalkan maksiat kerana itu boleh menjerumuskan beliau ke permasalahan akidah.

Merisaukan juga adalah orang Islam yang memberikan kebenaran kepada orang bukan Islam untuk melakukan maksiat. Itu adalah salah faham yang akan menjadikan orang bukan Islam makin jauh dari hidayah.

Bila tular geng MUDA minum arak dan alasan yang diberikan, banyak batas agama yang telah dilanggar sebenarnya. Bertaubatlah selagi masih ada waktu.

* saya kongsikan artikel lama untuk perkongsian

———————————-

Adakah Allah Membenarkan Arak Kepada Bukan Islam?

1. Timbul persoalan berkenaan isu ini dalam minggu ini. Saya cuba untuk kongsikan di sini pandangan saya, moga membantu kita untuk memahami isu ini berdasarkan neraca pandang syarak. Saya cuba sampaikan dengan bahasa yang mudah tanpa terlalu banyak menggunakan istilah usul yang rumit.

2. Ulama usul telah pun membincangkan isu ini lama dahulu sejak dari zaman awal Islam lagi. Persoalan ini termasuk di dalam satu topik perbahasan:

هل الكفار مخاطبون بفروع الشريعة؟

“Adakah orang kafir ditaklifkan (diwajibkan) dengan kewajipan furu’ syariah?”

3. Syariah mempunyai kewajipan yang kita panggil sebagai usul dan furu’. Usul syariah adalah isu-isu berkait keimanan seperti kewajipan beriman kepada Allah. Manakala furu’ syariah adalah isu-isu berkait amalan yang selalu kita bincangkan di dalam fiqh seperti kewajipan solat.

4. Orang beriman ditaklifkan (diwajibkan) dengan perkara usul dan furu’. Dia wajib beriman dan di masa yang sama dia wajib solat. Dia berdosa jika tidak beriman dan dia berdosa jika dia tidak solat.

5. Manakala orang bukan Islam ditaklifkan (diwajibkan) dengan perkara usul tanpa khilaf di kalangan ulamak. Makanya menjadi kewajipan ke atas orang bukan Islam untuk beriman kepada Allah. Jika dia tidak beriman, maka dia berdosa.

Tetapi bagaimana dengan furu’ syariah? Adakah orang bukan Islam ditaklifkan (diwajibkan) untuk solat, membayar zakat, tidak minum arak dan sebagainya? Di sini terdapat khilaf di kalangan ulamak usul kepada banyak pandangan. Tetapi pandangan yang rajih (kuat) dan merupakan pandangan jumhur ulamak adalah mereka juga ditaklifkan (diwajibkan) dengan furu’ syariah.

6. Jumhur ulamak berhujah dengan beberapa dalil, di antaranya adalah firman Allah:

“في جنات يتساءلون . عن المجرمين . ما سلككم في سقر . قالوا لم نك من المصلين . ولم نك نطعم المسكين . وكنا نخوض مع الخائضين . وكنا نكذب بيوم الدين . حتى أتانا اليقين .”

“(Mereka ditempatkan) di dalam syurga (yang penuh nikmat), mereka bertanya-tanya, tentang (tempat tinggal) orang-orang yang bersalah, (Setelah melihat orang-orang yang bersalah itu, mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam (neraka) Saqar?” Orang-orang yang bersalah itu menjawab: “Kami tidak termasuk dalam kumpulan orang-orang yang mengerjakan sembahyang; “Dan kami tidak pernah memberi makan orang-orang miskin; “Dan kami dahulu selalu mengambil bahagian memperkatakan perkara yang salah, bersama-sama orang-orang yang memperkatakannya; “Dan kami sentiasa mendustakan hari pembalasan, “Sehinggalah kami didatangi oleh perkara yang tetap diyakini (kematian)”.
(Al-Mudatthir: 40-47)

Allah memasukkan mereka yang kufur (tidak beriman dengan hari akhirat) disebabkan oleh kerana mereka tidak sembahyang, tidak memberi makan orang misikin, mereka-reka kata-kata palsu dan menolak hari akhirat. Satu dari empat sebab adalah perkara usul, tetapi tiga lagi adalah perkara furu’.

Dan syariah sebelum Naib Muhammad saw juga berjalan dengan kaedah yang sama iaitu orang bukan Islam (ditaklifkan) diwajibkan dengan furu’ syariah. Lihatlah bagaimana Allah mewajibkan kaum Ad untuk beriman kepada Allah dan di masa yang sama melarang mereka dari menyeksa manusia (surah as-Syuara’: 130).

Dan lihat juga bagaimana Allah mewajibkan ke atas kaum Nabi Lut as agar beriman kepada Allah dan di masa yang sama melarang mereka dari melakukan liwat (surah as-Syuara’: 165). Larangan menyeksa manusia dan liwat adalah furu’ syariah.

Dan banyak lagi hujah ulamak berkenaan kewajipan bukan Islam terhadap furu’ syariah ini.

7. Mungkin timbul satu persoalan, bagaimana mereka hendak melakukan furu’ syariah (solat, berpahala jika tidak minum arak dan lain-lain) sedangkan mereka tidak beriman? Jawapannya sama seperti persoalan bagaimana seseorang hendak mengerjakan solat dalam keadaan dia tidak berwudhuk? Oleh kerana iman adalah syarat sah solat, maka dia wajib beriman sebelum solat seperti dia wajib berwudhuk sebelum solat. Tidak ada ulamak mengatakan oleh kerana dia tidak ada wudhuk, maka dia tidak wajib solat.

8. Mungkin timbul juga persoalan, bukankah orang bukan Islam boleh minum arak di rumah mereka? Penjelasannya, ‘dosa kerana melakukan maksiat dalam keadaan dia tidak beriman’ adalah perkara yang berbeza dengan ‘hukuman melakukan maksiat di dunia’. Fiqh mungkin tidak menghukumnya jika minum di rumah, tetapi di sisi Allah dia tetap berdosa. Topik yang kita bincangkan adalah adakah Allah membenarkan arak kepada bukan Islam … bukan adakah orang bukan Islam akan dijatuhkan hudud jika minum arak. Persoalan kedua itu panjang perbahasannya di dalam fiqh dan kita tidak bincangkan di sini.

9. Seterusnya sebahagian ulamak pula seperti Syeikh ِAbu al-Toyyib Maulud al-Sariri pula meluaskan kaedah:
الكفار مخاطبون بفروع الشريعة
‘Orang kafir ditaklifkan (diwajibkan) dengan kewajipan furu’ syariah’ kepada kaedah seterusnya iaitu:

المسلمون مخاطبون بمنع إعانتهم على ترك هذه الشرائع ومخالفتها
‘Orang Islam ditaklifkan (diwajibkan) dengan larangan membantu orang kafir dari meninggalkan furu’ syariah dan melanggarnya’.

Dari kaedah ini difahami, orang Islam yang membantu orang bukan Islam minum arak juga adalah berdosa.

10. Demikianlah sedikit perkongsian saya berkenaan dengan isu ini berdasarkan neraca fikir syariat. Moga dapat menjelaskan persoalan yang berligar di sekitar isu arak bagi bukan Islam.

Wallahu a’lam

Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.



Sumbangan
Related Posts