Para ulama yang dipenjara kerana memperjuangkan kebenaran

 

1. Sejarah menyaksikan begitu ramai pejuang Islam dipenjarakan oleh pemerintah kerana memperjuangkan kebenaran. Mereka tidak mengalah bahkan cekal atas pendirian mereka mempertahankan Islam. al-Imam Malik ditangkap kerana mempertahankan hadith yang disangkakan pemerintah sebagai menentang mereka. Kata al-Imam al-Zahabi:

فأمر بتجريده ، وضربه بالسياط ، وجبذت يده حتى انخلعت من كتفه

“Lalu (Ja’far Gabenor Madina) memerintahkan agar al-Imam Malik ditangkap, dikenakan hukuman sebatan sehingga dikatakan terkehel tangan Malik daripada bahunya (akibat hukuman itu). (al-Zahabi, Siyar A’lam)

Begitu cekal al-Imam Malik berpegang pada pandangannya tentang hadith sehigga beliau ditangkap dan diseksa.

2. Al-Imam al-Syafie pula ditangkap kerana disangka cenderung kepada Syiah yang memberontak. al-Syafie diheret dari Yaman untuk dibicara di Baghdad. Menurut Ibn Hajar, kekuatan hujah serta ketinggian ilmu al-Syafie berjaya meyakinkan Khalifah al-Rasyid sehingga beliau dibebaskan. (Ibn Hajar, Tawali al-Ta’sis)

 

 

3. Al-Imam Ahmad pula dipenjara kerana menolak pandangan muktazilah ketika itu berkenaan al-Quran itu adalah makhluk. Kesannya Khalifah al-Makmun memerintahkan agar al-Imam Ahmad ditangkap, dipenjara dan dikenakan hukuman sebat. Malah al-Imam Ahmad dilarang dari mengajar. Ini semua berlaku kerana ketegasan beliau mempertahankan pendirian Islam yang menolak tafsiran Muktazilah tentang al-Quran.

4. Al-Imam al-Izz ibn Abd Salam pula ditangkap dan dipenjara kerana menentang perjanjian pemerintah Damsyiq ketika itu dengan golongan salibiyyin (tentera Perang Salib). Beliau membantah perjanjian bersama tentera salib tersebut kerana bimbang perjanjian tersebut hanya akan menguntungkan orang kafir dan merugikan Muslim. Kata al-Izz:

يحرم عليكم مبايعتهم لأنكم تتحققون أنهم يشترونه ليقاتلوا به إخوانكم المسلمين

“Haram ke atas kamu menjalankan baiah bersama mereka kerana kamu tahu, mereka (tentera salib) membeli (sebahagian tanah) itu untuk membunuh saudara-saudara kamu.” (al-Afani, Zahru al-Basatin)

Lalu al-Izz ibn Abd Salam ditangkap atas pendirian mempertahankan umat Islam.

5. Malah Abu Hanifah dikatakan dipenjara di zaman Khalifah Abu Ja’far al-Mansur kerana menolak daripada dilantik sebagai Qadhi. Beliau bukan sahaja dipenjara malah dikenakan hukuman sebat. Lihatlah pendirian Abu Hanifah yang menolak dari diberikan jawatan dalam kerajaan. Bukan dipenjara kerana meminta untuk dilantik dalam sebagai pemimpin kerajaan.

Kemuliaan kita di sisi Allah adalah dengan memperjuangkan Islam.

Semoga Allah membimbing kita semua.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Penasihat Syariah Indahnya Islam

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts