Peguam Negara digesa tarik balik afidavit Adib tak dipukul: UMMAH

 

AMPANG – Tindakan Peguam Negara, Tommy Thomas menfailkan afidavit bahawa kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim bukan akibat dipukul adalah bercanggah dengan prinsip undang-undang negara.

Serentak itu, Gerakan Pembela Ummah (Ummah) hari ini menggesa kerajaan supaya ‘melepaskan’ Tommy daripada jawatannya, walaupun beliau berpengalaman dalam bidang guaman.

Pengerusi Ummah yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Haji Aminuddin Yahaya berkata, tindakan Peguam Negara telah menyebabkan rakyat keliru tujuan inkues diadakan.

“Sebelum ini kita telah bantah inkues kerana polis telah menjalankan siasatan dan mengklasifikasikan kematian Adib sebagai kes bunuh dan telah dikenalpasti empat suspek yang terbabit.

“Dalam kenyataan lepas juga, Adib diberitahu dipukul dalam akhbar dan media sosial… Jadi ini semua menyebabkan rakyat keliru dengan apa yang berlaku. Sebab itu kita minta inkues ini diadakan sampai habis, kemudian baru buat keputusan.

“Tetapi malangnya AG telah membuat satu tindakan yang tidak wajar dengan mengemukakan afidavit itu,” katanya ketika sidang media di Pejabat Pertubuhan Muafakat Malaysia (Muafakat), di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan media tempatan pada 15 April lalu bahawa Jawatankuasa Bertindak Menyelamatkan Kuil Mariamman Seafield menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Koroner menolak permohonannya untuk menjadi pemerhati dalam inkues kematian Adib.

Peguam, M Visvanathan, yang mewakili jawatankuasa itu berkata, anak guamnya menarik balik rayuan itu berdasarkan afidavit yang difailkan Jabatan Peguam Negara pada 3 April.

Beliau berkata, afidavit itu, yang disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hamdan Hamzah, menyatakan kematian Adib bukan akibat dipukul.

Afidavit itu turut menyatakan pakar patologi forensik memberi keterangan dalam prosiding inkues bahawa kecederaan yang dialami Adib, sehingga membawa kepada kematiannya, bukan kecederaan akibat dipukul.

Pada masa sama, UMMAH turut menggesa Peguam Negara menarik balik afidavit difailkan Jabatan Peguam Negara itu menyatakan kematian Adib bukan akibat dipukul.

“Kita difahamkan sekarang sudah masuk hari ke-50 dan dijangka akan bersambung lagi beberapa hari kerana masih ada lagi saksi yang dipanggil untuk dibicarakan untuk mendapatkan bukti-bukti diperlukan,” kata Haji Aminuddin.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Adib menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara (IJN). – Ismaweb

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

https://www.billplz.com/indahnyaislam

MYDAKWAH RESOURCES
5628 3464 5315 (Maybank Islamik)

Total
0
Shares
2 comments
  1. Sesuai kalau dipecat pun peguam TT murahan dan ideologi pun tidak mempertahankan islam dan beliau pun tidak mendaulatkan undang undang negara

  2. Ya Allah…Ya Rahman…Ya Rahim….tunjukkanlah kebenaran dalam hal ini agar yang teraniya dan keluarga mereka terbela dan berilah hidayah dan petunjukMu kepada mereka yang cuba untuk menyembunyikab kebenaran……..Amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts