Sultan Selangor titah pentadbiran Islam perlu bebas pengaruh politik kepartian

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru dan menggesa semua pihak, termasuk pakar-pakar perundangan agar membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-undang Islam (Jawatankuasa Khas) dengan memberikan cadangan-cadangan berilmiah, bernas serta praktikal bagi memudahkan pelaksanaan tugasnya.

“Beta faham adalah menjadi satu amanah yang berat yang perlu dipikul oleh Jawatankuasa Khas ini, namun Beta percaya dengan pengalaman dan kelayakan yang ada pada ahli-ahli Jawatankuasa ini serta dengan izin Allah, satu penyelesaian dapat dicapai bagi manfaat semua pihak terutama umat Islam di negara ini.

“Sementara itu, Beta menyeru kepada semua pihak terutama umat Islam agar bertenang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan sementara menantikan cadangan dari Jawatankuasa Khas berkenaan,” titah baginda.

Sultan Selangor turut menasihatkan umat Islam di negara ini terutama para alim ulama dan para ilmuan Islam agar sentiasa memelihara adab dalam mencetuskan sesuatu pandangan bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Baginda turut menasihatkan umat Islam supaya tidak berbalah secara terbuka dalam perkara yang boleh diselesaikan secara bermesyuwarah dan tertutup di samping perlu meraikan perbezaan pendapat, menyelesaikan perbezaan pandangan melalui pendekatan ilmiah, berhemah serta melalui saluran yang betul.

“Rakyat terutama umat Islam sentiasa melihat dan memandang tinggi para ilmuan Islam, para alim ulama dan sentiasa mengharapkan sesuatu ketetapan berkaitan sesuatu hukum itu dapat disepakati oleh semua,” titah baginda.

Sultan Sharafuddin turut menitahkan agar ahli politik supaya tidak mengambil kesempatan mempolitikkan isu melibatkan agama Islam sehingga menjadi modal persengketaan politik yang tidak berkesudahan, salah faham serta kekeliruan dalam kalangan umat Islam.

Di samping itu, baginda bertitah pentadbiran agama Islam di negara ini perlulah bebas daripada pengaruh politik kepartian dan amalan mempolitikkan setiap urusan agama.

“Teguran Beta ini tidak dimaksudkan kepada mana-mana pihak… Isu agama adalah sesuatu yang boleh menjadi sensitif kepada umat Islam, oleh itu elakkanlah daripada tuduh-menuduh antara satu sama lain atas isu agama yang pada asasnya boleh kita selesaikan secara bersama,” titah Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin turut berharap amalan melantik Menteri Agama dari kalangan bukan ahli politik yang dilaksanakan sekarang ini dapat diteruskan demi memastikan isu berkaitan hal ehwal agama Islam tidak dijadikan sebagai bahan politik.

Baginda juga menyarankan kelayakan akademik berasaskan ijazah Pendidikan Islam perlu dijadikan sebagai kriteria utama dalam melantik seorang Menteri Agama. – Bernama

www.indahnyaislam.my

—-—

Sumbangan ikhlas untuk dakwah Indahnya Islam:

www.indahnyaislam.my/Sumbangan-Indahnya-Islam

PERSATUAN INDAHNYA ISLAM

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts