Hak wanita dalam perudangan Islam

 

DI mana hak kami? Bertahun menanti untuk dilepaskan, bertahun juga menanggung derita menyimpan status ‘isteri’ yang derita. ‘Kami tidak daya lagi untuk terus merayu.

Penangguhan demi penangguhan itu umpama neraka yang memedihkan. Sukarkah cerai dan ikatan itu dileraikan? Janganlah diseksa kami lagi. Berikanlah hak itu kepada kami…”

Inilah antara luahan segelintir wanita di luar sana. Kegagalan memahami fungsi dan hak, membuatkan kredibiliti mahkamah syariah sentiasa dipertikai.

Pelbagai tanggapan negatif dan tohmahan terus dilempar, seolah-olah mahkamah syariah tidak pantas dan dianggap lambat menangani sesuatu kes. Benarkah seperti yang dikata?

Ikuti temu bual wartawan Sisipan Fikry bersama Penasihat Undang-undang dan Syariah, Ustaz Ahmad Jailani Abdul Ghani perihal fahami hak wanita, minggu ini.

KENAPA kes di mahkamah syariah mengambil masa lama untuk diselesaikan?

Sebenarnya ada banyak faktor yang melambatkan perjalanan kes mahkamah.

1. Wanita tersebut tidak menyedari, dia sedang atau akan menjadi mangsa. Apabila ini berlaku, dia tidak tahu betapa pentingnya mempersiapkan segala bukti untuk kegunaan pada masa yang diperlukan iaitu bukti dalam bentuk dokumen.

Seseorang mangsa perlu mengetahui, tindakan melaporkan sesuatu kezaliman kepada pihak berkuasa sangat perlu untuk membantunya apabila kes tersebut tiba ke peringkat mahkamah.

Laporan polis, laporan perubatan, laporan kaunseling dan seumpamanya sangat penting bukan sahaja untuk membantunya mengingati apa yang telah berlaku pada sesuatu tempoh malah lebih penting daripada itu mampu meyakinkan mahkamah terhadap aduannya.

2.Sikap dan kejahilan ahli keluarga. Sering kali berlaku, apabila seseorang wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga membuat aduan kepada kaum keluarganya, maka mereka disuruh agar bersabar. Malah tidak keterlaluan, ada di antara mereka yang dipersalahkan, sedangkan mereka adalah mangsa.

3. Sistem perjalanan mahkamah sendiri. Terdapat kes di mana hakim bicara suka menangguhkan kes sama ada kerana tingkah laku peguam atau disebabkan hakim sendiri. Lebih malang, ada kakitangan mahkamah suka mengaibkan kaum wanita yang hadir ke mahkamah sehingga menyebabkan mangsa berasa serik untuk hadir ke mahkamah.

Tidakkah tempoh itu memberi sedikit tekanan dan menzalimi wanita?

Ya, sudah tentu ini memberi tekanan kepada kaum wanita yang terlibat dan menzalimi mereka. Bayangkan, bagaimana peritnya seorang wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga, terpaksa turun naik mahkamah setiap bulan. Banyak pihak tidak menyedari bagaimana wanita ini sering ketakutan apabila mereka hadir ke mahkamah.

Mereka diekori oleh suami yang menzalimi mereka. Ada isteri yang sering diintip oleh individu yang tidak dikenali tetapi sebenarnya orang upahan atau suruhan suami mereka.

Ada mangsa yang dilanggar, diugut termasuk diculik dan dilarikan. Mahkamah pula apabila melihat mangsa gagal hadir ke mahkamah pada kebiasaannya akan membatalkan kes. Sedangkan mangsa telah dihalang dan diugut.

Sebahagian mangsa mengalami kesukaran hadir ke mahkamah setiap kali ditetapkan untuk sebutan atau bicara. Ini kerana ia akan melibatkan kos pengangkutan, permohonan cuti kepada majikan dan belum lagi mengambil kira kos peguam yang tinggi.

Mungkin ada pihak yang terfikir kenapa mereka tidak mendapatkan bantuan daripada kerajaan yang menyediakan bantuan percuma.

Sebenarnya ia tidak semudah yang dijangka. Ini kerana, ada ketikanya mangsa dilayan acuh tidak acuh oleh individu tidak bertanggungjawab tanpa pengetahuan pegawai yang berkelayakan sehingga menyebabkan mangsa tidak diberi nasihat yang sewajarnya.

Sesetengah wanita memandang hak mereka tidak diadili. Benarkah begitu?

Perkara sebegini boleh berlaku disebabkan pelbagai masalah.

Pertama: Mangsa terlibat tidak memahami prosedur yang perlu mereka lalui sehingga mereka salah sangka hak mereka tidak diberikan layanan sewajarnya. Sebagai contohnya kes permohonan nafkah.

Sebahagian isteri yang membuat permohonan nafkah sama ada untuk diri sendiri atau anak-anak, menyangka apabila mahkamah meluluskan permohonan, duit nafkah terus diperoleh dalam jangka waktu singkat.

Mereka tidak menjangkakan kemungkinan suami mereka tetap tidak mengendahkan perintah mahkamah.

Kes menjadi lebih sukar jikalau suami bekerja swasta, sendiri atau langsung tidak bekerja. Isteri yang terlibat tidak mengetahui mereka perlu melalui satu lagi peringkat yang dikenali sebagai peringkat perlaksanaan perintah.

Walaupun mereka telah ‘menang’ dan memperoleh perintah mahkamah yang mengarahkan suami membuat bayaran tertentu, tetapi jika suami tetap enggan membayarnya, isteri terpaksa memfailkan satu lagi kes perlaksanaan. Ini yang menyebabkan ada mangsa yang putus asa atau berhenti sekerat jalan lantaran kecewa dengan perjalanan kes mereka.

Bagaimanakah situasi suami yang lari daripada tanggungjawab, apakah tindakan yang perlu isteri ambil?

Terdapat beberapa pilihan, di antaranya ialah membuat aduan kepada ahli keluarga yang dihormati oleh suami. Tujuannya agar suami yang terlibat dapat dibawa berbincang dengan cara yang lebih mesra dan bersifat lebih kekeluargaan tanpa dibocorkan keluar masalah rumah tangga yang sebenarnya sangat sulit dan mengaibkan jika diketahui oleh orang luar.

Selain itu mangsa boleh juga membuat aduan di bahagian kaunseling rumah tangga, di pejabat agama berdekatan.

Tujuannya agar suami yang tidak menunaikan tanggung jawab ini dapat dinasihati dengan cara yang lebih formal. Pegawai yang terlibat juga adalah pegawai yang terlatih untuk mengenal pasti punca permasalahan agar kedua-dua pihak dapat memperbetulkan kesalahan masing-masing.

Jika kesalahan suami itu melibatkan unsur jenayah keganasan, maka isteri boleh mendapatkan bantuan polis.

Pihak berkuasa khususnya Polis DiRaja Malaysia menyediakan pegawai polis wanita untuk mengendalikan kes-kes yang berkaitan agar dapat memberi keselesaan kepada kaum wanita supaya mereka berani tampil untuk mendapatkan bantuan pihak berkuasa.

Bagaimana pula hak wanita yang tidak diwakili mana-mana peguam sepanjang tempoh perbicaraan?

Berdasarkan pengalaman saya, hakim mahkamah boleh kita bahagikan kepada dua kategori.

Pertama, hakim yang langsung tidak mahu kes dikendalikan sendiri oleh pihak terlibat tanpa keterlibatan peguam.

Alasan hakim ialah peguam memudahkan mahkamah untuk membicarakan kes dengan lebih teratur. Ini kerana, peguam mengetahui fakta yang penting untuk dimasukkan, dan fakta apa yang tidak perlu dimasukkan dalam perbicaraan.

Jika dibiarkan pihak terlibat tanpa peguam, ini boleh menyebabkan hakim bermasalah dengan lambakan cerita yang tidak tersusun dan tidak relevan. Maka, hakim seperti ini pada kebiasaannya akan menasihatkan pihak terlibat mendapatkan khidmat peguam swasta bagi yang mampu atau boleh juga peguam percuma yang disediakan kerajaan.

Kedua, ada juga hakim yang bertindak seperti peguam membimbing pihak terlibat dalam perbicaraan bagaimana cara mengendalikan kes mereka. Tetapi hakim yang berada dalam kategori ini sedikit jumlahnya.

Ramai di kalangan wanita tidak mengetahui hak-hak wanita yang boleh dituntut di mahkamah, boleh tuan jelaskan?

Kaum wanita mempunyai hak yang banyak. Suami wajib menyediakan nafkah yang sesuai kepada isteri. Ini meliputi makan minum, pakaian, tempat tinggal dan keperluan kehidupan semasa bersesuaian dengan taraf hidup pasangan yang terlibat.

Isteri berhak kepada kediaman yang selesa dan selamat. Suami berkewajipan memastikan rumah kediaman mereka tidak mempunyai ancaman terhadap keselamatan ahli keluarganya.

Sebagai ketua keluarga, suami perlu mengetahui bahawa makan-minum yang disediakan kepada ahli keluarganya bukan setakat mampu mengenyangkan mereka, malah ia adalah makanan yang menyihatkan tubuh badan mereka. Begitu juga nafkah pakaian. Apabila suami membeli pakaian ahli keluarganya jangan sekadar melihat kepada jenama atau cantik semata-mata.

Lebih penting daripada itu, hendaklah suami memastikan bahawa pakaian yang dipakai oleh isterinya adalah pakaian orang yang bertakwa.

Jika berlaku perceraian, biarlah punca perceraian itu menjadi rahsia hidup suami isteri sahaja. Jangan sekali-kali dihebohkan kepada orang yang tidak sepatutnya.

Isteri berhak kepada harta sepencarian jika sekiranya terdapat harta yang diperoleh oleh mereka sewaktu perkahwinan. Walaupun harta tersebut adalah milik suami sepenuhnya tetapi mahkamah akan mengambil kira takat sumbangan isteri yang menjaga dan menguruskan rumah tangga sehingga membantu suami menumpukan perhatian kepada kerjayanya.

Lazimnya, hak jagaan anak-anak yang belum mencecah mumayyiz akan diberikan kepada isteri. Maka suami perlu memastikan mereka tetap membayar nafkah anak-anak walaupun selepas perceraian. Ini kerana yang bercerai hanya ayah dan ibu, manakala anak-anak, tetap menjadi anak-anak mereka selamalamanya. Nasihat tuan kepada wanita.

Bukan sahaja kepada kaum wanita yang terlibat malah kepada semua pihak. Hidup ini adalah ujian daripada ALLAH SWT untuk membezakan antara hamba ALLAH yang soleh dan sebaliknya.

Setiap orang tidak ketinggalan diuji oleh ALLAH. Tiada seorang pun manusia di dunia ini yang terkecuali daripada terkena ujian hidup ini.

Maka jadikanlah segala ujian ini sebagai sebab untuk kita mendapat sebaik-baik pahala daripada ALLAH dengan cara melalui kesemua episod kehidupan ini dengan berbaik sangka kepada-Nya. Tunaikan kesemua hak ALLAH dan manusia.

Selepas kehidupan di dunia ini, kita akan menemui kehidupan sebenar di hari akhirat. Nasihat tuan kepada suami di luar sana?

Kepada suami ingatlah, isteri dan anak-anak adalah amanah daripada ALLAH. Semua ini akan ditanya ALLAH. Jika kita benci dipermainkan oleh manusia lain, maka begitulah perasaan isteri dan ahli keluarga kita. Sebelum kita lakukan sesuatu kezaliman, kita perlu bertanya kepada diri sendiri, mampukah kita berhadapan dengan seksa kubur, ujian di padang mahsyar, titian sirat dan akhirnya api neraka? Tentu sekali tidak mampu!

Tidak ada istilah buta undang-undang

HAKIM Mahkamah Rayuan Syariah; Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar secara peribadi berpandangan, tiada sebab untuk mengaitkan seseorang wanita itu buta undang-undang. Selagi mana mereka berinisiatif untuk mempelajari dan memahami secara jelas perihal hukum dan undang-undang.

Beliau membawakan pepatah Arab yang bermaksud sesiapa yang berusaha, dia akan beroleh kejayaan. Dan hak-hak wanita telah diperuntukkan dalam hukum mahupun undang-undang sejak lama dulu, demikian katanya dalam temu bual bersama Sisipan Fikry.

Menurut beliau lagi, ALLAH telah menyebut secara jelas dalam Surah Zumar ayat 39 yang bermaksud bahawa orang yang berpengetahun adalah tidak sama dengan orang yang tidak ada ilmu.

“Saya mengaitkan dengan ayat berkenaan yang menyentuh siapa yang berusaha untuk mendapat maklumat dia akan bertindak mengikut maklumat yang diperolehnya.

Sebagai contoh, ada wanita didera suaminya dan dia tahu bahawa ada peruntukan undang-undang yang memberikan hak kepadanya untuk memohon fasakh (supaya dia dilepaskan daripada suaminya yang zalim itu).

Tetapi dalam masa ada faktor lain yang diambil kira seperti masa depan anak-anak, jika dia bercerai nanti bagaimana dengan anak-anak.

Dengan lain perkataan ada pertimbangan lain yang diambil kira oleh wanita itu dan bukan kerana dia buta undang-undang.

“Bagaimana kita hendak kaitkan isu dengan ilmu dan maklumat perundangan.

Kita lihat satu lagi contoh, di mana wanita yang tidak ada maklumat mengenai ilmu perundangan dia akan beranggapan bahawa selagi mana suaminya tidak hadir ke mahkamah, perbicaraan kesnya akan tertangguh sehinggalah suaminya menghadirkan diri.

Sedangkan Undang-undang Tata Cara memberi hak kepada wanita tadi, iaitu:

1. Di bawah Seksyen 51 Akta/Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah untuk mohon kepada mahkamah supaya keluarkan waran tangkap terhadap suaminya yang gagal hadir.

2. Seksyen 121 (1) (b) Akta/Enakmen Tatacara Mal mahkamah syariah membenarkan isteri tadi untuk mohon kepada mahkamah meneruskan perbicaraan tanpa kehadiran suaminya selama mana proses penyampaian saman tadi telah sempurna,” jelas beliau panjang.

Menurutnya, ada dua hak yang diberikan oleh hukum syarak dan undang-undang iaitu hak substantif dan prosedur untuk wanita. Katakan isteri ini tadi langsung tidak mempunyai pengetahuan atau pun tidak ada ilmu perihal undang-undang, bagaimana dia mahu bertindak? Jika dia ada maklumat, maka bolehlah dia mohon kepada mahkamah dan tidaklah perbicaraannya sering tertangguh.

Beliau menambah, sama ada lelaki atau wanita masing-masing perlu menambah ilmu di dada. Jika berilmu, mereka akan menemui jalan dan cara untuk membawa kes yang dihadapi ke peringkat seterusnya dan secara langsung keadilan dapat ditegakkan.

Sarannya, hadirilah seminar, majlis ilmu atau kuliah agama yang menjelaskan perihal hukum dan undang-undang, lakukanlah untuk diri sendiri. Jangan biarkan diri kosong tanpa sebarang ilmu kerana dengan adanya ilmu, barulah diri benar benar mendapat pembelaan. – Sinar Harian

www.indahnyaislam.my

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Sumbangan
Related Posts